Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Kerja naiktaraf loji rawatan air Bayai akan dilaksana dalam masa terdekat - Harden


Caption: TERIMALAH...Harden menyampaikan insentif kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Cassidy (dua kanan) dan Roger (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (24 Mac) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berharap agar kerja menaiktaraf Loji Rawatan Air Bayai, Empago, Sri Aman akan dimulakan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya Majlis Makan Malam Kelab Sokanjaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Katanya kontraktor yang bertanggungjawab untuk projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Bayai bernilai RM40 juta ini hanya akan diketahui pada penghujung bulan ini melalui keputusan Lembaga Tender Negeri.

“Loji Rawatan Air Bayai sedia ada sekarang hanya dapat menampung keperluan sejumlah 40,000 orang penduduk di kawasan Bahagian Sri Aman dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 13.5 Juta Liter Sehari (MLD).

“Jika projek ini selesai pada pertengahan tahun 2012 maka ia akan dapat menghasilkan kapisiti pengeluaran sebanyak 33.5 MLD bagi menampung keperluan 50,000 orang penduduk di kawasan Tanjung Bijat, Stumbin, Lingga dan Sri Aman dengan,” katanya.

Harden turut menambah bahawa pihaknya juga sedang menunggu peruntukan bernilai RM30 juta untuk menukar kesemua saluran paip yang sudah usang di Bandar Sri Aman selepas ini.

Sementara itu projek pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman bernilai RM200 juta yang baru kata beliau juga dijangka akan siap pada tahun 2014 atau pertengahan tahun 2015 ini disebabkan oleh masalah perlantikan khidmat perunding dan perancangan.

“Projek Hospital Bahagian Sri Aman sudah pun diluluskan. Cuma kini kita sedang menunggu keputusan daripada pihak Kementerian Kesihatan untuk melantik kontraktor yang bertanggungjawab bagi projek tersebut.

“Justeru saya berharap agar majlis pecah tanah bagi projek pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman akan dapat diadakan dalam masa terdekat kelak,” katanya sambil menambah bahawa pihak perunding sudah pun dilantik bagi menjayakan projek tersebut.

Dengan kerja persiapan tapak dan lot tanah bakal siap pada penghujung tahun ini, Harden juga berharap kerja pembinaan projek Hospital Bahagian Sri Aman baru terbabit dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin selepas ini.

Terdahulu Majlis Makan Malam Kelab Sokanjaya JKR Sri Aman telah diadakan dengan penuh meriah menerusi Pertandingan Ratu Kebaya, penyampaian insentif pendidikan, persembahan kugiran, tayang video, suara Emas dan banyak lagi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Liew Ju Ming, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris dan Presiden Kelab Sokanjaya JKR Sri Aman, Roger Geoffery Kendawang.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada biro wanita Kelab Sokanjaya JKR Sri Aman dan tambahan RM3,000 lagi untuk kelab itu sendiri.

Tamat.





No comments:

Post a Comment