Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Kukuhkan sokongan padu untuk BN - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (kiri) dan Masir (kanan) ketika menerima cenderamata daripada Tr Kedeney (dua kanan) dan wakil biro wanita (dua kiri) ketika berlangsungnya majlis itu Sabtu lepas.

SRI AMAN, Isnin (2 April) – Rakyat dipinta untuk memperkukuhkan sokongan padu mereka terhadap kerajaan pimpinan parti Barisan Nasional (BN) selepas ini demikian menurut Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Katanya kerajaan pimpinan BN telah membuktikan pengalaman dan keupayaan mereka dalam mentadbir negara ini khasnya negeri Sarawak semenjak 50 tahun lepas hingga sekarang.

“Malaysia khasnya negeri Sarawak mempunyai perbezaan yang amat ketara dari segi pembangunan berbanding zaman dahulu hingga sekarang semenjak berada di bawah teraju Kerajaan BN.

“Rakyat masih dapat mengecapi kemajuan lebih pesat di masa akan datang sekiranya mereka terus memberi mandat memerintah negara ini kepada Kerajaan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penghayatan 1 Malaysia yang berlangsung di Rumah Kedeney, Beletik, Sri Aman pada hari Sabtu lepas.

Selain itu beliau pada majlis itu juga turut menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda pihak pembangkang menjelang PRU13 ini nanti.

“Itu taktik mereka untuk mendapatkan sokongan politik daripada rakyat. Justeru saya berharap agar rakyat tidak memperjudikan masa depan mereka dengan menyokong pihak pembangkang pada PRU13 ini nanti,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman, Saini Bojeng, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 untuk JKKK dan RM2,000 untuk biro wanita Rumah Kedeney dengan Masir turut mengumumkan nilai peruntukan yang sama kepada rumah panjang berkenaan.

Terdahulu Program Penghayatan 1 Malaysia terbabit adalah merupakan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti 1 Malaysia Kampung Sabu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment