Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, April 16, 2012

Bank Rakyat Sri Aman turut meriahkan Pesta Benak



1. TAHNIAH...Masir sedang menyampaikan hadiah kepada seorang kanak-kanak ketika berlangsungnya pertandingan mewarna anjuran Bank Rakyat Sri Aman baru-baru ini.

2. UNTUK ALBUM...Kakitangan Bank Rakyat Sri Aman bergambar kenangan setelah tamat mengadakan program karnival di hadapan cawangan bank mereka baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (12 April) – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan sambutan Pesta Benak Sri Aman dengan mengadakan tiga buah acara di premis mereka baru-baru ini.

Ketua projeknya Azmil Sulaiman menerusi siaran media hari ini memberitahu tiga acara yang berlangsung di premis cawangan bank tersebut adalah Karnival Autoshow,Sukan Rakyat dan Pertandingan Mewarna Nuri bersempena Pesta Benak 2012.

Aktiviti yang dihadiri lebih daripada 3,000 orang pengunjung dari dalam dan luar daerah Sri Aman itu katanya turut diselitkan dengan aktiviti Kaunter Bank Rakyat bersama Pelanggan.

“Karnival yang melibatkan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan bahagian Sri Aman dan Unlimited Modification Club itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat,” katanya.

Karnival Autoshow kata Azmil menyaksikan pihaknya menerima sebanyak 48 buah penyertaan bagi kategori scooter dan kereta dengan 32 buah piala dipertaruhkan bagi 10 kategori termasuk  “Best of the Best”(johan keseluruhan).

Bagi Pertandingan Mewarna Nuri pula, pihak penganjur katanya menerima penyertaan daripada 54 orang pelajar yang memiliki akaun Nuri untuk Darjah Satu hingga Tiga dari SK Abang Aing, SK Agama Sri Aman, SK Sri Aman serta SK Saibt Luke.

“Bank Rakyat Sri Aman turut memeriahkan sambutan Pesta Benak dengan mengadakan aktiviti Sukan Rakyat yang terbuka kepada pengunjung dari kategori kanak-kanak dan dewasa pada karnival terbabit.

“Menerusi Sukan Rakyat ini pihak kita telah mengadakan Pertandingan Meniup Belon, Mencari Gula-Gula Dalam Tepung, Bowling Buah Kelapa, Mengisi Air Dalam Botol Menggunakan Span serta Kerusi Beracun,” katanya.

Kesemua hadiah kepada para pemenang terbabit telah pun disampaikan oleh Pengurus Bank Rakyat Cawangan Sri Aman, Roslan Ali serta Penolong Pengurus Cawangan,Encik Zulhiszam Ahmad.

“Secara keseluruhannya pihak kita telah menerima maklum balas yang amat memberansangkan daripada pengunjung disamping memberikan kesan positif kepada pihak cawangan untuk imej kita selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment