Caption: SIBUK...Ngumbang bersama ahli keluarganya ketika sedang sibuk
membelah dan mengeluarkan isi koko di rumahnya kelmarin.
SIMUNJAN, Sabtu (14 April) – Bersara daripada perkhidmatan kerajaan tidak semestinya
perlu bergantung kepada elaun pencen hanya untuk menyara keperluan hidup
keluarga masing-masing.
Ada di antara golongan individu terbabit akan mengambil kesempatan untuk
meraih pendapatan tambahan iaitu bekerja dengan syarikat swasta atau menubuhkan
perniagaan sendiri selepas itu.
Manakala golongan pesara kerajaan
yang memiliki tanah di kampung halaman pula akan bertindak untuk
menceburi bidang pertanian komersial seperti penanaman lada, getah atau sawit
bagi mempertingkatkan pendapatan isi rumah mereka.
“Tanaman koko saya sudah mula membuahkan hasil secara berterusan semenjak
ia mula ditanam di belakang rumah semenjak tiga tahun lepas,” kata seorang
pesara tentera, Ngumbang Aron, 56, dari Rumah Gana, Kesindu, Simunjan.
Walaupun harga belian koko untuk satu kilogram masih dianggap rendah pada
masa sekarang namun beliau berpendapat bahawa tanaman komersial tersebut
mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding tanaman komersial yang lain.
Tanaman koko kata Ngumbang dapat mengeluarkan hasil secara berterusan
selagi ia dijaga dengan baik berbanding dengan tanaman lada yang hanya dapat
memberikan hasil bagi sekali tuaian untuk satu masa.
“Getah pula tidak dapat dipotong ketika musim hujan. Walaupun harga belian
koko masih berada pada paras RM4 sekilogram berbanding getah (RM8 sekilogram)
dan lada hitam (RM17 sekilogram) namun ia tetap mempunyai kelebihannya
tersendiri.
“Nilai mungkin tampak rendah namun jika ia dikumpul untuk sekali jualan
saya yakin ia akan memberi keuntungan yang cukup besar kepada mana-mana penanam
koko yang bertindak sedemikian selepas ini,” katanya.
Terdahulu buah koko yang sudah masak akan dipetik daripada pokok dan
seterusnya dibelah untuk membolehkan bijinya dikumpul sebelum ia dibiarkan di
dalam guni selama tiga hari.
Isi yang meliputi biji koko akan mulai mengecut setelah disimpan di dalam
guni dan seterusnya dijemur di bawah kepanasan matahari selama beberapa hari
sehingga ia menjadi kering.
Rata-rata para penanam koko akan mula menjual biji koko yang sudah kering
ketika hasil terkumpul mencecah antara lapan hingga 16 kilogram atau akan
menjualnya bila sudah mencecah sebanyak 200 kilogram (satu guni baja bersaiz
besar).
Tamat.
No comments:
Post a Comment