Caption: PELIK..Saudara-mara Ngumbang menunjukkan kedudukan sarang Burung
Lelayang di ruang hadapan penjuru rumah ketika ditemui kelmarin.
SIMUNJAN, Rabu (4 April) – Bunyinya mungkin kedengaran seperti tahyul. Sekiranya
Burung Layang membina sarang di ruang dalam hadapan rumah maka ia menunjukkan
kediaman anda ‘sejuk’ dan tidak akan ditimpa sial.
Itulah perkara yang terjadi terhadap Ngumbang Aron, 55, apabila seekor
Burung Layang masih terus membina sarang di penjuru ruang atas dalam hadapan
rumahnya walaupun sudah dimusnahkan sebanyak tiga kali sebelum itu.
“Ini kali tiga Burung Layang bersarang di ruang hadapan rumah saya,” kata
pesara Angkatan Tentera Darat Malaysia semenjak rumahnya dibina di Kampung Kesindu,
Simunjan semenjak dari tahun 1996 dahulu.
Katanya Burung Layang buat pertama kalinya telah membina sarang di ruang
hadapan rumahnya (bahagian ‘ruai’ jika disebut dalam Bahasa Iban) pada tahun
2008 namun di penjuru yang berbeza berbanding sekarang.
Burung terbabit buat pertama kalinya membina sarang di sebelah lampu
pendaflour rumah sebelum berpindah ke tiang alang hadapan rumah untuk buat kali
keduanya pada tahun 2010.
“Burung terbabit tidak akan melarikan diri jika kita menghampiri sarangnya.
Namun jika kita berniat mahu menyentuh sarang terbabit, burung tersebut akan
sedar dan terus melarikan diri sebelum ia datang semula lima minit kemudian.
“Saya sudah memusnahkan sarang burung itu beberapa kali namun ia tetap
datang membina semula...atas sebab itu saya terus membiarkan ia membiak di situ
sebelum anak burung terbabit sudah dewasa dan mampu terbang sendiri,” katanya.
Bagaimanapun semenjak seminggu yang lepas beliau telah nekad untuk
memastikan burung tersebut tidak lagi bersarang di rumahnya apabila ia kembali
datang untuk membina sarangnya buat kali ketiga di situ.
“Pada suatu hari ketika saya cuba membuang sarang tersebut, seorang rakan
saya berketurunan Cina telah datang dan menegur saya agar membiarkan burung
berkenaan membina sarang di situ.
“Katanya jika Burung Layang gemar membina sarang berhampiran manusia dan
dalam kediamannya maka ia bermakna bahawa seisi keluarga tersebut tidak akan
ditimpa nasib malang. Atas sebab ini saya terus berhenti bertindak demikian,”
katanya.
Beliau juga melahirkan rasa hairan berhubung perkara berkenaan memandangkan
Burung Layang adalah haiwan liar dan tidak akan berani membina sarang
berhampiran dengan manusia.
“Benar atau tidak saya tidak tahu. Jika demikian saya akan membiarkan anak
burung itu membesar dan terbang sebelum kerja menghapuskan sarang dilakukan
selepas itu,” menurut beliau.
Tamat.
No comments:
Post a Comment