Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Saya difitnah salah guna kuasa - Masir


Caption: SOKONG...Rakyat sedang mengangkat tangan sambil menunjukkan sepanduk menyokong Masir (tengah) sebagai calon BN untuk PRU13 sebaik sahaja tamat program itu hari ini.

BALAI RINGIN, Jumaat (25 Mei) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat melahirkan rasa kecewa berhubung tindakan pihak tertentu yang mendakwa bahawa beliau menyalahguna kuasa untuk meraih sokongan rakyat dalam kawasannya selama ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 20 12 yang berlangsung di Rumah Alex Libau, Ensebang Kuari B, dalam kawasan Balai Ringin, Serian hari ini.

Katanya, kumpulan tersebut telah bertindak berani dengan menuduhnya memberi duit secara sesuka-hati kepada rakyat sehingga laporan polis dibuat di Kuching berhubung perkara itu baru-baru ini.

“Dakwaan mereka nyata tidak benar sama-sekali memandangkan duit yang diberi kepada rakyat dalam kawasan parlimen saya selama ini adalah bagi menjayakan aktiviti di bawah Program Touch Point,” katanya.

Jelas Masir, resit hasil aktiviti Program Touch Point ini akan diberi kepada pihak perbendaharaan di Kuala Lumpur sebelum wangnya boleh dimasukkan ke dalam akaun bank mereka.

Atas sebab ini dakwaan salahguna kuasa terhadap beliau berhubung perkara ini tidak harus timbul memandangkan Program Touch Point juga dilaksana oleh Ahli Parlimen dan juga para Menteri Kabinet Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Setiap Ahli Parlimen di Sarawak diperuntuk sebanyak RM2.5 juta bagi melaksana Program Touch Point demi memajukan hidup rakyat dalam kawasan parlimen masing-masing.

“Justeru saya mahu rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman sedar bahawa tindakan kumpulan itu adalah berniat jahat demi mengurangkan sokongan mereka terhadap calon BN pada PRU13 akan datang,” katanya.

Masir juga turut memberitahu bahawa beliau masih seorang wakil rakyat BN dan akan terus turun padang bagi memantau masalah hidup rakyat dalam kawasannya dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah Abdillah, Pegawai Penerangan Simunjan, Maria Tungkat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Bekalan Air Alternatif akan dibina di Batang Ai Hilir dan Skrang - Nyalau


Caption: PRIHATIN...Nyalau dan Rayong sedang berbual dengan nenek mangsa iaitu Anjam Manja ketika mengadakan pertemuan dengan keluarga terbabit di sini kelmarin.

ENGKILILI, Jumaat (25 Mei) – Kerajaan harus memberi fokus terhadap usaha pembinaan Bekalan Air Alternatif di kawasan penempatan penduduk di sepanjang sungai di Batang Ai Hilir dan Skrang.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata pembinaan Bekalan Air Alternatif di situ akan mengurangkan penggantungan penduduk terhadap sumber air sungai bagi kegunaan seharian selepas itu.

“Saya sudah mengusulkan perkara terbabit terhadap pihak kerajaan sebelum ini memandangkan kita tidak mahu penduduk di situ terdedah kepada ancaman serangan buaya di sungai berkenaan selepas ini.

“Justeru pembinaan Bekalan Air Alternatif berasaskan sumber telaga air di situ akan mengurangkan ancaman serangan buaya terhadap penduduk pada masa akan datang,” menurut beliau.

Nyalau berkata demikian ketika mengadakan pemantauan ke Kampung Linggang, Ulu Tekalong, Engkilili bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa di situ lewat petang kelmarin.

Beliau juga meminta pihak kerajaan untuk mencari jalan bagi mengurangkan populasi buaya di kawasan Batang Ai Hilir dan Skrang bagi keselamatan hidup penduduk di situ selepas ini.

“Tindakan segera berhubung masalah ini perlu diambil oleh pihak kerajaan memandangkan secara puratanya terdapat tiga kes serangan buaya terhadap penduduk berlaku di sini pada setiap tahun,” katanya.

Beliau juga yakin pembinaan Bekalan Air Alternatif itu akan memberi manfaat kepada 29 buah rumah panjang di Batang Ai Hilir serta 14 buah rumah panjang di Skrang pada masa akan datang.

Terdahulu Nyalau dan Rayong tiba di Kampung Linggang, Ulu Tekalong, Engkilili sekitar jam 5.30 petang untuk bertemu dengan keluarga mendiang Peter Heerema Sagan, 13, yang dilaporkan hilang di sungai berhadapan rumah mereka pada 22 Mei lepas.

Mangsa iaitu Heerema dilaporkan hilang hingga sekarang di tebing sungai berkenan setelah adiknya, Clement pulang menghantar air ke rumah sekitar jam 4.30 petang pada hari tersebut.

Mayat mangsa ditemui oleh penduduk di Ijok pada 23 Mei yang kemudiannya bertindak mengikat mayat mangsa di perahu dengan tali sebelum ia hilang semula apabila pihak bomba datang ke situ.

Kejadian terbabit menimbulkan spekulasi bahawa mangsa mati dibaham buaya apabila adiknya melaporkan terlihat buih udara muncul dari dalam permukaan sungai di situ sebaik sahaja mangsa hilang.

Tamat.








Pesta Benak kelima terbaik di Sarawak

Caption: TAHNIAH...Johnathan menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain pada majlis itu malam tadi.
SRI AMAN, Jumaat (25 Mei) – Pesta Benak Sri Aman kian popular dikalangan pelancong asing dan tempatan apabila ia berada di tempat kelima dalam 10 buah aktiviti pelancongan yang terbaik di Sarawak.
Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh berkata kedudukan terbabit telah meningkat dari kedudukan tangga kesembilan seperti yang direkodkan pada tahun 2010 lepas.
“Berada pada kedudukan teratas sekali adalah Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kuching diikuti dengan Sarawak Regatta dan Borneo Jazz Festival yang berada pada kedudukan ketiga.
“Tempat keempat dalam 10 acara pelancongan terbaik di negeri ini pula adalah Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo di Bintulu dengan Pesta Benak Sri Aman menduduki tangga kelima dalam senarai itu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan Pesta Benak 2012 bersempena dengan Majlis Malam Pra-Gawai dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.
Walaupun berpuashati dengan penganjuran Pesta Benak kali ini, Johnathan berkata bahawa masih ada ruang untuk dibaiki bagi memperhebatkan sambutan pesta itu pada masa akan datang.
“Pihak kita akan mempertimbangkan banyak cadangan daripada pihak yang mahu bahawa Pesta Benak diadakan pada waktu musim cuti sekolah dan selepas musim menuai padi,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Pesta Benak kali ini masih mengekalkan sambutan memberansangkan apabila kira-kira 50,000 orang pengunjung datang ke Sri Aman sepanjang tiga hari berlangsungnya pesta itu.
Bilangan peluncur juga turut meningkat dengan kehadiran lima orang peluncur antarabangsa dan beberapa peluncur tempatan dari Semenanjung Malaysia.
Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck, Temenggung Abang Bohari dan Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem.

Tamat

Jangan sabotaj program pertemuan saya dengan rakyat kata Masir


Caption: UNTUK RAKYAT...Masir sedang menyampaikan cek MRP kepada salah seorang wakil penerima sambil disaksikan oleh para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

SIMUNJAN, Khamis (24 Mei) – Kumpulan atau individu tertentu dinasihat agar tidak mensabotaj program pertemuan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dengan rakyat di kawasan mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat mendakwa kumpulan seperti itu sudah wujud dan mula bergerak untuk mengelirukan rakyat termasuk juga dalam kawasan parlimen beliau pada masa sekarang.

“Kumpulan ini menyalahgunakan saluran ketua kaum (seperti Penghulu) untuk mengadakan pertemuan dengan rakyat dan seterusnya memburuk-burukkan imej wakil rakyat BN di hadapan mereka.

“Lagipun kumpulan ini juga cuba mengeliru dan menghasut penyokong kerajaan dengan menyampaikan berita palsu berhubung program yang bakal diadakan oleh wakil rakyat BN di kawasan mereka selepas itu,” katanya.

Beliau meluahkan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Abdul Halem, Kampung Gawang Lama, Simunjan kelmarin.

Masir juga mengingatkan rakyat khasnya dalam kawasan Parlimen Sri Aman agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang disampaikan oleh kumpulan tertentu memandangkan ia merupakan tindakan berniat politik.

“Saya masih seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Justeru saya menasihatkan kumpulan tersebut agar tidak mensabotaj program pertemuan wakil rakyat BN dengan rakyat termasuk di sini (Sri Aman).

“Tolong bersikap ‘gentlemen’ jika mahu bertanding. Parti Pekerja Sarawak, Parti KeAdilan Rakyat atau Parti Tindakan Demokratik terbuka untuk mereka jika mahu bertanding di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah Abdillah, Pegawai Penerangan Simunjan, Maria Tungkat, Temenggung Anthony Nyipa, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Masir menerusi majlis itu juga turut menyampaikan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada penerima dan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar kepada beberapa buah rumah panjang di sini.

Terdahulu sebuah kumpulan dilaporkan sedang bergerak di kawasan Simunjan untuk mensabotaj program pertemuan antara Masir Kujat dan rakyatnya semenjak dua minggu lepas.

Ketua kumpulan terbabit kononnya janji akan menyalur kesemua gajinya sebagai seorang Ahli Parlimen ke dalam tabung kebajikan rakyat di rumah panjang jika memenangi PRU13 akan datang.

Mereka juga turut mendakwa bahawa hanya orang kaya layak menjadi Ahli Parlimen dan justeru menidakkan kelayakan Masir sebagai wakil rakyat memandangkan beliau dituduh tidak berduit, suka memburu dan tidak pernah masuk sidang parlimen selama ini.

Tamat.


Sistem longkang di Jalan Kelab naiktaraf


 
Caption: DALAM PROSES...Beberapa orang pekerja sedang melakukan kerja naiktaraf longkang tersebut semenjak projek itu bermula satu bulan lepas..

SRI AMAN, Khamis (24 Mei) – Kerja naiktaraf longkang di kawasan Jalan Kelab dalam Bandar Sri Aman dianggap wajar dalam usaha mengurangkan masalah banjir yang berlaku di situ selama ini.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak sebelum ini mendapati bahawa kerja naiktaraf terbabit membabitkan usaha memperbesarkan luas lubang dan kedalaman longkang di situ semenjak satu bulan lepas.

“Ya, saya memandangkan baik usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperbesarkan lagi longkang tersebut,” kata seorang penduduk iaitu Henry Peng ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, kejadian air pasang surut di Sungai Batang Lupar dan hujan lebat yang berlaku serentak sebelum ini telah menyebabkan kawasan Jalan Kelab serta sekitarnya banjir sekitar jam 6 hingga 8 malam.

Henry percaya bahawa ia berpunca daripada luas dan kedalaman longkang tersebut yang tidak releven ketika menampung air hujan lebat dan benak Sungai Batang Lupar yang berlaku serentak waktu itu.

“Kejadian banjir yang disebabkan oleh faktor terbabit di kawasan Jalan Kelab sebelum ini menyebabkan banyak kenderaan mengalami kesukaran untuk memasuki laluan Jalan Hospital serta Jalan Resak,” katanya.

Sementara itu Lakuang Ading memberi pujian terhadap usaha PBT dalam membantu mengurangkan kejadian banjir di kawasan bulatan (Jalan Kelab) dengan memperluaskan longkang di situ.

“Saya ada terlihat projek perluasan longkang berkenaan. Justeru saya berharap agar banjir tidak berlaku lagi di kawasan Jalan Kelab sekiranya projek naiktaraf longkang itu siap dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Tamat.


Saluran paip air di Kampung Sigak alami kebocoran


Caption: BASAH...Kebocoran saluran paip air ke rumah panjang Sigak hampir setahun yang lepas perlu diatas segera oleh pihak berkaitan demi kebaikan mereka selepas ini.

SRI AMAN, Khamis (24 Mei) – Penduduk dari Rumah Jerry Lai, Kampung Sigak, Sri Aman memohon jasa baik pihak berkaitan untuk memperbaiki segera saluran paip air yang bocor di rumah panjang mereka selepas ini.

Menurut salah seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan di sini memberitahu paip bekalan air bersih ke rumah panjang mereka sudah bocor semenjak setahun yang lepas

Beliau mendakwa bahawa penduduk rumah panjang di situ sudah pun melaporkan masalah kebocoran paip air terbabit kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tujuan tindakan lanjut selepas ini.

“Kebocoran paip bekalan air terbabit telah menyebabkan tekanan air ke rumah panjang mereka menjadi rendah sehingga menyukarkan penduduk untuk melakukan kerja harian rumah.

“Kami yakin masalah tekanan air rendah ke rumah panjang akan dapat diatasi sekiranya pihak JKR bertindak segera untuk memperbaiki semula kebocoran pada saluran paip air berkenaan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kebocoran saluran paip air tersebut telah mempercepatkan proses kerosakan jalan raya tar ke rumah panjang mereka selain menyebabkan permukaan tanah di situ berbecak.

Justeru penduduk Rumah Jerry, Siga memohon pihak JKR atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk datang segera bagi meninjau dan menyelesaikan masalah kebocoran saluran paip tersebut selepas ini.

Tamat.


Mayat Peter Heerema masih hilang



Caption:

1. HILANG DI SINI...Datuk mangsa menunjukkan lokasi salah seorang cucunya yang dipercayai hilang setelah bermain bersama si adik lewat petang kelmarin.

2. CARI...Gambar menunjukkan pasukan pencari dan penyelamat sedang mencari mangsa sebelum mayatnya ditemui di kawasan sungai Ijok, Engkilili jam 6 petang hari ini.

ENGKILILI, Rabu (23 Mei) – Pihak polis masih belum menemui mayat seorang budak lelaki yang dipercayai lemas ketika bermain di kawasan tebing sungai kawasan Linggang, Ulu Tekalong, Engkilili pada jam 6 petang hari ini.

Mayat Peter Heerema Sagan, 13, telah ditemui oleh penduduk di kawasan Ijok (hilir), Engkilili namun hilang semula apabila pihak polis dan bomba cuba ke kawasan tersebut untuk mengambil mayat mendiang.
 
“Pihak polis bagaimanapun masih belum mengenalpasti punca kematian mangsa terbabit,” kata Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnathan ketika dihubungi pemberita berhubung kejadian itu hari ini.

Terdahulu sebelum berlakunya kejadian itu, mangsa bersama adiknya Clement Bayang Man, 11 telah menemani neneknya Anjam anak Manja untuk membasuh pakaian di tebing sungai kawasan Linggang tersebut sekitar jam 4.30 petang kelmarin.

Setelah selesai membasuh pakaian, si nenek telah pulang ke rumah buat sementara waktu untuk menghantar pakaian dengan kedua-dua adik-beradik tersebut masih berada di tebingan sungai berkenaan.

Clement kemudiannya dilaporkan pulang ke rumah untuk menghantar air ke rumah dengan mangsa iaitu Peter masih lagi bermain-main di tebing sungai tersebut.

“Apabila si adik kembali ke sungai tersebut, beliau mendapati bahawa abangnya sudah hilang dengan datuk mangsa mengesan buih yang muncul di salah satu sudut kawasan sungai tempat abangnya bermain sebelum itu.

“Si nenek yang mendapati salah seorang cucunya hilang selepas itu terus meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa malam tadi namun gagal sebelum pasukan pencari tiba untuk mencari mangsa pada hari ini,” katanya sumber.

Peristiwa terbabit terus mencetus spekulasi penduduk yang mendakwa bahawa mangsa telah dibaham oleh buaya memandangkan sungai tersebut menampung habitat reptilia ganas berkenaan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dilaporkan telah turun padang ke lokasi kejadian dan menasihatkan penduduk di situ agar berhati-hati sekiranya mahu mandi di kawasan sungai itu selepas ini.

Tamat.

Pelihara nilai muzik lama - Rohani


Caption: TAHNIAH...Rohani menyampaikan hadiah kepada johan Bintang Kecil iaitu Perry Yang sambil disaksikan oleh Ismawi ketika berlangsungnya pertandingan itu pada malam Sabtu lepas di Mini Stadium Sri Aman.

SRI AMAN, Rabu (23 Mei) – Nilai muzik dan pembawaan maksud yang pernah diterap dalam lagu-lagu lama perlu terus dipertahan serta disemai dalam jiwa artis moden pada masa sekarang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karem berkata lagu lama dianggap amat unik dengan maksud lagu oleh artis ketika itu banyak berkisar tentang kehidupan masyarakat setempat.

“Kita semua sedia maklum bahawa rentak lagu zaman moden ini banyak didengar oleh golongan generasi muda kita berbanding dengan rentak lagu ketika era Tan Sri Allahyarham P. Ramlee.

“Lagu zaman dulu (60 –an) dahulu sebenar amat unik dan banyak memberi pengajaran berguna kepada masyarakat...justeru usaha itu amat penting bagi membolehkan lagu zaman dulu terus diterima oleh masyarakat moden kita pada zaman sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Dan Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 bagi Zon Sri Aman, Betong dan Sarikei yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman pada malam Sabtu lepas.

Selain itu Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berharap agar lebih ramai masyarakat mengambil bahagian dalam pertandingan lagu-lagu lama seperti P . Ramlee bagi mengangkat semula kegemilangan era lagu tersebut selepas ini.

“Saya juga berharap agar lebih banyak pihak tampil untuk menganjurkan pertandingan lagu seperti itu untuk menyedarkan masyarakat muda kita tentang kegemilangan era lagu-lagu lama termasuk P . Ramlee di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu seramai 18 orang peserta telah melayakkan diri dalam Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Dan Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 serta juga Bintang Kecil tiga buah zon itu yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh.

Tamat.

Arip juara Bintang P Ramlee Zon Sri Aman, Betong, Sarikei 2012

Caption: BERBAKAT...Sang juara iaitu Perry Yang dengan memakai pakaian tentera ketika mempersembahkan lagu berjudul Baju Hijau pada pertandingan tersebut.

SRI AMAN, Rabu (23 Mei) – Tuah menyebelahi Arip Abu Bakar, 31, apabila beliau dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee bagi Zon Sri Aman, Betong dan Sarikei yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman pada malam Sabtu lepas.

Pemuda kelahiran Kampung Baru Seberang, Sarikei itu muncul juara menerusi lagu dendangan berjudul Berkorban Apa Saja dan sekaligus menewaskan lima orang peserta yang turut berentap dalam kategori terbabit.

Wahid Agi, 54, dari Kampung Bungin, Spaoh, pula muncul sebagai naib juara menerusi lagu berjudul Madu Tiga dengan Abang Yusuf Buasan, 55, dari Kampung Hilir, Sri Aman muncul pemenang tempat ketiga menerusi lagu berjudul Jangan Tinggal Daku.

Manakala itu Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 bagi zon tersebut juga menyaksikan Noorashikin Sekedar, 21, dari Kampung Melango Baru, Saratok muncul juara setelah mempersembahkan lagu berjudul Selendang Sayang.

Hafiza Azura Mohammad Hamzan, 28, dari Kampung Hulu Sri Aman pula muncul naib juara setelah membawa lagu Mengapa Dirindu dengan Norsitama Abdullah, 33, dari Kampung Hulu Saratok muncul pemenang tempat ketiga menerusi lagu berjudul Perwira.

Finalist Bintang Kecil Peringkat Negeri Sarawak 2011 iaitu Perry Yang dari Jalan Pasir Panas, Sri Aman dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bintang Kecil 2012 bagi zon tersebut setelah membawa lagu berjudul Baju Hijau dendangan Allahyarham Sudirman.

Kedudukan naib juara pula disandang oleh Elvinson Ng Jia Tao dari Engkilili menerusi lagu berjudul Hoore Hoore dengan Allahyarham Sudirman dengan Mohd Izmir Aizat Affendi dari Taman Malong, Saratok muncul pemenang tempat ketiga bagi kategori itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karem telah merasmikan majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para peserta bagi pertandingan tersebut.

Terdahulu seramai 18 orang peserta telah melayakkan diri dalam Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Dan Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 serta juga Bintang Kecil tiga buah zon itu yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh.

Tamat.

SRS Kampung Muhibbah Sri Aman hadapi cabaran misteri


Caption: UNTUK ALBUM...Rickardo (belakang tengah) bersama Ramli (kanan) dan anggota SRS Kampung Muhibah serta kakitangan Jabatan Perpaduan Sri Aman bergambar kenangan sebelum bermulanya operasi tersebut.

SRI AMAN, Rabu (23 Mei) – Cabaran ketika menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat setempat sememangnya datang dalam bentuk sama ada dari segi realiti atau pun yang mencabar akal minda manusia.

Jika datangnya cabaran seperti itu maka ia terpulang kepada individu atau kumpulan itu sendiri dalam menangani cabaran berkenaan khasnya ketika menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat selepas ini.

Itulah perkara yang terjadi terhadap anggota pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari Kampung Muhibbah, Sri Aman ketika mereka melakukan operasi rondaan di penempatan mereka selama ini.

“Pernah dalam rondaan terdahulu anggota kami berhadapan dengan kejadian menyeramkan ketika melimpasi salah satu kuaters kerajaan kosong yang terdapat di kawasan penempatan kampung ini.

“Kami terdengar bunyi titikan air tanpa henti suara orang menangis di kuaters berkenaan. Namun apabila cuba diperiksa oleh anggota kami, kesemua bunyi berkenaan tiba-tiba berhenti serentak,” kata Ketua Pasukan SRS Kampung Muhibbah, Ramli Abu Sera.

Sejurus selepas itu anggotanya menurut beliau mengesan pergerakan bayang-bayang di kawasan semak sekitar kuaters kosong kerajaan berkenaan hingga menimbulkan rasa takut dikalangan mereka.

Namun setelah ditenangkan, anggota SRS Kampung Muhibbah bersama beliau meneruskan rondaan di lain-lain kawasan dalam penempatan itu sehingga tamat waktu operasi mereka (sekitar jam 1 pagi).

“Boleh jadi itu manusia...tapi Tuhan sahaja yang tahu. Pentingnya di sini ialah SRS Kampung Muhibbah tidak boleh melunturkan semangat tanggungjawab keselamatan mereka terhadap masyarakat kampung hanya disebabkan oleh kejadian itu,” katanya.

Ramli turut memberitahu bahawa pasukan SRS Kampung Muhibbah akan tetap meneruskan rondaan seperti itu meskipun akan dicabar oleh pihak tertentu atau pun makhluk halus selepas ini.

Terdahulu seramai 13 orang anggota SRS Kampung Muhibbah telah melakukan rondaan di kampung itu sambil disertai oleh kakitangan dari Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Mereka adalah Pegawai Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Rickardo Dorlen, Penolongnya, Siti Rohani Abdullah dan Mohd Sapuan Ahmad Tarmidi termasuk juga Pengerusi KRT Kampung Muhibbah Sri Aman, Latipah Mantali.

Tamat.



RM4 juta untuk projek air Parlimen Lubok Antu



Caption: BERKAT...Nyalau sedang merenjis air kudus sebagai simbolik perasmian pili air sistem AGM di Rumah Lepang sambil disaksikan oleh Alex (kiri) pada majlis itu kelmarin

LUBOK ANTU, Selasa (22 Mei) – Sejumlah RM4.01 juta bakal diperuntukan kepada kawasan Parlimen Lubok Antu bagi melaksanakan projek Sistem Penapisan Air Sungai Ringkas (SPASR) dan Sistem Air Graviti Bukit (AGB) untuk kegunaan penduduk di situ.

Daripada jumlah tersebut, RM3.4 juta akan diguna bagi melaksanakan satu projek SPASR dan 18 projek AGB menerusi Pelan Pusingan Bekalan Elektrik Luar Bandar Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia Sarawak (JMG) Bagi Tahun 2013 – 2014.

“Empat projek AGB juga telah dicadang untuk dibina oleh pihak JMG di kawasan Lubok Antu dengan kos bernilai RM610,000. Maka jumlah keseluruhan bagi projek ini di sini ialah RM4.01 juta ,” kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Katanya projek tersebut akan dilaksana di Rumah Juan, Nanga Gemah, Ulu Lemanak / Rumah Dau, Nanga Entalau / Rumah Bau, Nanga Lalang, Rumah Jemat Nanga Tiga, Lemanak dan Rumah Jelani Darai, Ulu Skrang / Rumah Morris Soh / Rumah Igar Bukit Tungku.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Rasmi Sistem AGB Rumah Lepang Gerang, Sayat dan AGB Rumah Tan Tumba, Seremat di Rumah Lepang Gerang, Lubok Antu kelmarin.

Selain itu beliau juga berharap agar pihak JMG dapat mengkaji lebih banyak sumber air graviti dan air bawah tanah di sekitar rumah panjang atau kampung dalam kawasan Lubok Antu selepas ini.

Pihak JMG kata Nyalau dapat melaksanakan kajian seperti ini menerusi peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

“Justeru kita berharap agar rakyat di kawasan luar bandar tahu bahawa ia merupakan salah satu usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memajukan taraf hidup mereka dari segenap segi bermula dari dahulu hingga sekarang,” katanya.

Majlis penyerahan projek AGB yang berlangsung di Rumah Lepang Jawa itu juga turut dihadiri oleh Pengarah Mineral Dan Geosains Sarawak, Alex Unya Ambun, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.


Terdahulu projek AGB Rumah Lepang Sayat, Engkilili telah dibangunkan pada 2011 dengan kos RM70,000 manakala projek AGB Rumah Tan Tumba, Seremat pula dinaiktaraf pada 2011 dengan kos bernilai RM50,000.

Tamat…

SK Nanga Klassen rai Hari Guru


Caption: SIMBOLIK...Warga SK Nanga Klassen sedia memotong kek sebagai simbolik sambutan perayaan Hari Guru 2012 baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (22 Mei) – Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen tidak ketinggalan untuk menyambut perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Sekolah yang berlangsung di situ baru-baru ini.

Dengan bertemakan Guru Innovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, sekolah terbabit nyata menyahut seruan Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan barisan guru berinnovatif serta berdaya saing mengharungi dunia globalisasi sekarang.

Jurucakap sekolah ketika ditemui memberitahu kejayaan melaksanakan misi dan visi sekolah akan dapat meningkatkan prestasi akademik amnya dan juga lain-lain bidang dikalangan murid sekolah bagi tahun ini.

“Jauhkan sikap suka mengata, hasad dengki dan tidak ingin melihat orang lain maju dalam sesuatu organisasi seperti di dalam sekolah ni kerana ia boleh mengundang kepada penurunan prestasi sekolah disamping menganggu proses pembentukan modal insan.

“Justeru adalah amat penting bagi semua warga sekolah untuk saling bekerjasama dan berfungsi seperti satu institusi keluarga demi mempertingkatkan prestasi sekolah selepas ini,” katanya.

Pihaknya juga berharap agar SK Nanga Klassen akan dapat mencapai misi dan visi untuk menjadi sebuah sekolah yang gemilang dan maju seiiring dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini.

Terdahulu sambutan Hari Guru SK Nanga Klassen, Sri Aman telah diserikan dengan upacara nyanyian lagu Hari Guru dan upacara memotong kek yang membabitkan semua kakitangan sekolah.

Tamat.

Perkhemahan SMK Taee berjaya


Caption: BERJAYA...Para peserta bergambar kenangan ketika berlangsungnya Perkhemahan Bersepadu Unit – Unit Beruniform SMK Taee di Gung Sadong, Serian baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (22 Mei) - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taee telah berjaya mengadakan Perkhemahan Bersepadu Unit – Unit Beruniform yang berlangsung di kawasan Gunung Sadong, Serian bermula dari 11 hingga 13 Mei lepas.

Jurucakapnya, Cajetan Abang menerusi siaran akhbar kepada Utusan Sarawak memberitahu aktiviti tahunan sekolah terbabit yang berlangsung selama tiga hari itu bertemakan “GO GREEN” menerusi ilham daripada pengetuanya iaitu Ch’ng Oon Hock.

“Tujuh Persatuan Unit-Unit Beruniform telah menyertai perkhemahan kali ini antaranya ialah Bulan Sabit Merah Malaysia, Pengakap, Bomba Dan Penyelamat, Pandu Puteri, Kadet Remaja Sekolah, Saint John Ambulance dan Kadet Polis.

“Jumlah peserta yang menyertai Perkhemahan Bersepadu Unit – Unit Beruniform kali ini ialah 140 orang dan ia tidak termasuk para Urusetia dan guru pengiring yang menyertai aktiviti itu,” kata beliau.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan terbabit katanya ialah Malam Suai Kenal, Persembahan Spontan Setiap Kumpulan, Mencari Harta Karun, Sukaneka, Larian Cabaran, Malam Bakat, Masakan Rimba, Pertandingan Gajet dan acara selingan yang lain.

Terdahulu Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMK Taee, Alex Dondong ketika berucap pada majlis penutupan acara tersebut berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Beliau juga mengingatkan supaya para peserta yang terlibat dalam acara terbabit tidak menjadikan aktiviti ko-kurikulum sebegini sebagai alasan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap peperiksaan Pertengahan Tahun yang bakal berlangsung selepas ini.

“Pembelajaran adalah sepanjang masa. Kesimpulannya, aktiviti Ko-Kurikulum dapat membantu kecemerlangan akademik para pelajar memandangkan golongan aktif lebih cergas dan cerdas pemikiran mereka berbanding pelajar lain,” kata beliau.

Perkhemahan Bersepadu Unit – Unit Beruniform ini telah pun dirasmikan oleh Penolong Kanan 1 SMK Taee iaitu Anthony Taguk dengan Damien Mpulop menjadi Ketua Komanden perkhemahan acara tersebut.

Tamat.

Muafakat tunjang integrasi nasional - Masir


Caption:

1.TERHIBUR...Masir (tengah) sedang tetamu khas ketika menyaksikan program berkenaan di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.

2.BERTENAGA...Inochi sedang mempersembahkan lagu ketika berlangsungnya program tersebut malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (21 Mei) – Semangat muhibah dan permuafakatan menjadi tunjang kekuatan integrasi nasional dalam mewujudkan masyarakat pelbagai kaum yang dinamik di negara ini.

Justeru Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat mahu semangat seperti itu dikekalkan demi membolehkan masyarakat majmuk di negara ini hidup secara aman dan harmoni disamping berpegang teguh kepada tradisi budaya dari masa ke semasa.

“Misalnya perayaan Gawai Dayak yang akan berlangsung pada 1 Jun ini patut diraikan bersama dengan masyarakat bukan Dayak demi mewujudkan semangat perpaduan yang tinggi dikalangan mereka.

“Semangat perpaduan yang utuh dikalangan masyarakat majmuk ini akan dapat memberi manfaat kepada negara kita khasnya dari segi perlaksanaan projek pembangunan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Rakaman Pentas Gawai Dayak 2012 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau menyeru semua lapisan masyarakat perlu mengamalkan semangat 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi masa depan pembangunan negara ini.

“Saya juga mengajak masyarakat majmuk di kawasan Sri Aman untuk terus menyokong teguh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, wakil Pengarah Penyiaran Sarawak, Faridah Sulong dan Pengurus Stesen RaSA FM (RTM Sri Aman), Valentino Jefferyson Munjan.

Terdahulu Program Rakaman Pentas Gawai Dayak 2012 tersebut telah diserikan lagi dengan persembahan nyanyian lagu oleh Ernesto, Inochi Austin, Nor, Renny Pet, Bob AF, Penny Yang dan Hafiza Azura.

Program yang dihadiri sekitar 500 orang penduduk itu turut dimeriahkan dengan persembahan khas oleh Bunyau dan Mujab iaitu watak lawak segmen popular dari stesen radio Wai FM.

Tamat.



Rakyat tidak harus berpecah belah kerajan politik - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Pengeran (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Rayong (kanan) sambil disaksikan oleh tetamu jemputan khas pada majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (21 Mei) – Rakyat khasnya dari kawasan luar bandar tidak harus berpecah-belah dari segi politik demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Katanya rakyat di kawasan luar bandar seharusnya perlu menyokong politik pembangunan Barisan Nasional (BN) yang diperkukuhkan oleh pelbagai komponen parti berkenaan dari masa ke semasa.

“Sokonglah parti itu selagi ia bernaung di bawah BN kerana tujuan utama kesemua komponen parti itu adalah untuk memajukan hidup rakyat tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.

“Jangan berpecah-belah hanya disebabkan sokongan terhadap pihak pembangkang. Ingatlah bahawa rakyat kawasan luar bandar masih memerlukan BN sebagai payung pembangunan mereka selepas ini,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau @ Makan Tengah Hari yang berlangsung di Rumah Pengeran, Baloi, Skim Skrang dalam daerah kecil Engkilili, kelmarin.

Selain itu beliau juga meminta rakyat dalam kawasan DUN Engkilili untuk terus memberi sokongan tidak berbelah-bagi terhadap Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak pada Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang.

Rayong pada majlis itu juga menasihatkan pelajar agar belajar bersungguh-sungguh memandangkan Yayasan 1 Engkilili sedia untuk membantu mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Hadir sama pada majlis itu Zaini Aji iaitu wakil kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda dan ketua masyarakat di sini.

Rayong pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM7,000 kepada JKKK Rumah Pengeran, Baloi dengan RM3,000 lagi diperuntuk kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Tamat.

Christy Swieton Salleh dinobat sebagai Kumang Gawai Dayak SIDS Sri Aman 2012


Caption: ANGGUN...Chirsty (tengah) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2012 sambil diapit oleh Urai dan Niki sebaik sahaja keputusan pertandingan itu diumumkan malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (20 Mei) – Tuah menyebelahi seorang guru interem apabila beliau dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2012 yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Juara terbabit iaitu Christy Swieton Salleh, 25, telah dinobatkan sebagai ‘Kumang’ hingga membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, piala kemenangan, selampai kumang (Sas) dan sijil penyertaan.

Manakala itu kedudukan naib juara bagi Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2012 ini telah dimenangi oleh Urai Genna manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Nikki Kinyang.

Kedua-dua mereka berhasil membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM800 dan RM600 beserta dengan piala dan sijil penyertaan bagi Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2012 tersebut.

Enam orang peserta yang membawa pulang hadiah wang saguhati bernilai RM200 dan sijil penyertaan bagi pertandingan ini ialah Milin Antau, Bellynie Johnek, Tracy Hillary Kinyang, Sharon Sinai James Victor, Pylissia Jannet Liap dan Christina Lussy Chee.

Hadiah kepada para pemenang terbabit telah disampaikan oleh Dora Jemat iaitu isteri kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sambil disaksikan oleh Pengerusi Sarakup Induk Dayak (SIDS) cawangan Sri Aman, Roselyn Abunawas.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pengurus Dewan Suarah Sri Aman, Nelson Jinn.

Terdahulu Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2012 terbabit merupakan salah satu dari empat buah acara yang terkandung dalam Majlis Makan Malam 2012 anjuran SIDS Sri Aman sambil disaksikan oleh 800 orang penduduk dari bandar ini.

Tamat.






Tolong nilai sumbangan BN - Masir


Caption: TAHNIAH...Masir sedang menyampaikan insentif pendidikan kepada wakil penerima sambil disaksikan oleh Lugoh (tengah) dan Roselyn (dua kanan) pada majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (20 Mei) – Rakyat diminta untuk menilai sendiri sumbangan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam memajukan hidup mereka selepas ini kata Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Katanya kemajuan yang dikecapi oleh rakyat khasnya di Sarawak pada masa sekarang menjadi bukti bahawa kerajaan BN telah berhasil memajukan hidup mereka dan bukannya pembangkang.

“Kerajaan pimpinan BN telah membuktikan keupayaan mereka untuk memerintah negara ini termasuk Sarawak dengan mewujudkan kestabilan politik yang membolehkan Sarawak menikmati kemajuan pesat pada masa sekarang.

“Justeru saya meminta rakyat menyayangi nikmati kemajuan yang mereka kecapi sekarang dengan menyokong sepenuhnya BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2012 anjuran Sarakup Induk Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu Masir juga meminta rakyat berketurunan Dayak untuk mencapai tahap intelektual yang tinggi seiring dengan kemajuan negara menjelang tahun 2020 akan datang.

“Orang Dayak perlu menguasai ilmu intelektual yang tinggi agar mereka mampu bersaing dengan rakyat dari lain-lain kaum bagi merebut pasaran kerja bertaraf profesional pada tahun tersebut.

“Kita tidak mahu orang Dayak ketinggalan hanya disebabkan oleh faktor ini. Jika mahu menikmati kemajuan yang dirasai oleh lain-lain kaum maka saya meminta mereka agar serius dalam mencapai usaha berkenaan selepas ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pengurus Dewan Suarah Sri Aman, Nelson Jinn, Pengerusi SIDS cawangan Sri Aman dan Roselyn Abunawas.

Majlis pada malam tadi turut diserikan dengan Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2012, jamuan makan malam, persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian karaoke oleh para hadirin.

Tamat.

RES mudah disalur di kawasan penduduk yang sudah ada jalan raya - Nyalau


Caption: ADAT...Nyalau sedang menyempurnakan istiadat resam Iban sebaik sahaja tiba di rumah panjang tersebut bagi merasmikan jalan raya berkenaan kelmarin.

LUBOK ANTU, Ahad (20 Mei) – Rumah panjang atau kampung yang sudah dihubungi jalan raya akan memudahkan usaha kerajaan bagi menyediakan Kemudahan Elektrik Luar Bandar di situ selepas ini.

Justeru Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berjanji akan mendapat peruntukan daripada kerajaan bagi menyediakan kemudahan itu kepada beberapa buah rumah panjang yang sudah dilalui jalan raya di kawasan Ulu Lemanak / Engkari, Lubok Antu selepas ini.

Antara rumah panjang di situ yang masih belum dapat mendapat kemudahan tersebut ketika ini adalah rumah panjang Tugong Lepong Mawan Ulu, Rumah Pagang, Mawang Ili, Rumah Raba, Kapu Ulu, Sekandis dan Rumah Ulin, Sekunyit.

“Saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan itu untuk memboleh penduduk rumah panjang di Ulu Lemanak dan Engkari menikmati kemudahan tersebut di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek Jalan Raya Ulu Lemanak / Engkari Fasa III di rumah panjang Ulin, anak Anggak, Sekunyit, Lubok Antu, kelmarin.

Sementara itu Nyalau turut menjelaskan bahawa jalan raya berturap sepanjang 7.7 kilometer di Ulu Lemanak yang bernilai RM42.56 juta dari simpang Lubok Subong hingga ke rumah panjang Ulin, Sekunyit sudah pun dapat dilalui kenderaan ketika ini.

Justeru Nyalau berharap rakyat di kawasan itu terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membolehkan rancangan pembangunan tersebut dapat diteruskan selepas itu.

Terdahulu beliau pada majlis berkenaan berjanji akan menyalurkan peruntukan bernilai RM3,000 bagi menukar atap baru di rumah panjang Ulin, Sekunyit dengan RM3,000 lagi diperuntukan kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassiddy Morris, Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan Daerah Lubok Antu, Geoffery Unding dan para ketua kaum di sini.

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di rumah panjang tersebut adalah merupakan anjuran bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lubok Antu.

Tamat.