Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Amal semangat kejiranan jaga kebersihan



Caption: MENJIJIKKAN...Longgokan sampah menimbulkan bau busuk sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dikalangan penghuni bangunan Lot 916 pada masa sekarang.

SRI AMAN, Jumaat (11 Mei) – Setiap individu perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di kawasan bangunan bilik sewa masing-masing demi keselesaan bersama.

Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menimbulkan rasa tidak puashati dan marah dikalangan lain-lain individu yang turut sama menyewa bilik dalam sesebuah bangunan tersebut.

Perkara ini sememangnya terjadi apabila beberapa orang penyewa bilik di bangunan lot 916, Jalan Hospital, Sri Aman melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap seorang jiran yang enggan membuang sampahnya sendiri seminggu lepas.

Menurut seorang penyewa, sampah terbabit dipercayai milik seorang wanita yang baru sahaja berpindah ke sebuah bilik dalam bangunan Lot 916 terbabit semenjak awal tahun ini.

“Penyewa berkenaan sering melonggokkan sampahnya di luar pintu. Pada mulanya para jiran beliau bersikap terbuka untuk membuang sampah berkenaan di lokasi pembuangan sampah sebelah bangunan ini.

“Namun jirannya kini sudah muak untuk membuang sampah tersebut. Akibatnya sampah tersebut telah menimbulkan bau yang amat busuk sehingga menarik kedatangan lalat ke situ semenjak seminggu lepas,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa hairan berhubung sikap malas wanita tersebut memandangkan lokasi pembuangan sampah terletak tidak jauh dari bangunan lot 916 berkenaan.

Wanita berkenaan menurut beliau perlu menghormati sensitiviti kebersihan jiran-jiran penyewa yang lain dan bukannya bersikap mementingkan diri sendiri dengan membiarkan longgokan sampah di situ.

“Kami tidak akan membuang sampah tersebut. Biarlah wanita itu sendiri yang mengangkut sampah berkenaan ke lokasi pembuangan sampah bersebelahan bangunan ini,” kata seorang lagi penyewa yang lain.

Terdahulu bau busuk berkenaan juga turut dihidu oleh para kakitangan sebuah syarikat di bangunan sewa tersebut yang mula mengadu kemasukkan lalat ke dalam pejabat mereka pada masa sekarang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment