Caption: TAHNIAH...Rohani menyampaikan hadiah kepada johan Bintang Kecil
iaitu Perry Yang sambil disaksikan oleh Ismawi ketika berlangsungnya
pertandingan itu pada malam Sabtu lepas di Mini Stadium Sri Aman.
SRI AMAN, Rabu (23 Mei) – Nilai muzik dan pembawaan maksud yang pernah diterap dalam
lagu-lagu lama perlu terus dipertahan serta disemai dalam jiwa artis moden pada
masa sekarang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk
Hajah Rohani Abdul Karem berkata lagu lama dianggap amat unik dengan maksud
lagu oleh artis ketika itu banyak berkisar tentang kehidupan masyarakat
setempat.
“Kita semua sedia maklum bahawa rentak lagu zaman moden ini banyak didengar
oleh golongan generasi muda kita berbanding dengan rentak lagu ketika era Tan
Sri Allahyarham P. Ramlee.
“Lagu zaman dulu (60 –an) dahulu sebenar amat unik dan banyak memberi
pengajaran berguna kepada masyarakat...justeru usaha itu amat penting bagi membolehkan
lagu zaman dulu terus diterima oleh masyarakat moden kita pada zaman sekarang,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir
Bintang P. Ramlee Dan Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 bagi Zon Sri Aman, Betong
dan Sarikei yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman pada malam Sabtu lepas.
Selain itu Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berharap agar lebih
ramai masyarakat mengambil bahagian dalam pertandingan lagu-lagu lama seperti P
. Ramlee bagi mengangkat semula kegemilangan era lagu tersebut selepas ini.
“Saya juga berharap agar lebih banyak pihak tampil untuk menganjurkan
pertandingan lagu seperti itu untuk menyedarkan masyarakat muda kita tentang
kegemilangan era lagu-lagu lama termasuk P . Ramlee di masa akan datang,”
katanya.
Terdahulu seramai 18 orang peserta telah melayakkan diri dalam Pertandingan
Akhir Bintang P. Ramlee Dan Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 serta juga Bintang
Kecil tiga buah zon itu yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman,
Ismawi Salleh.
Tamat.
No comments:
Post a Comment