Caption: SELESAI...Sarkawi (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan
bersama peserta Kursus Pengadil Bolasepak dan Futsal yang berlangsung di Sri
Aman baru-baru ini.
SRI AMAN, Selasa (15 Mei) – Sejumlah 27 orang peserta telah mengambil bahagian dalam
Kursus Pengadil Bolasepak dan Futsal yang berlangsung kuaters penginapan
kakitangan perubatan, Jalan Sabu, Sri Aman baru-baru ini.
Kursus anjuran Persatuan Pengadil Bolasepak Sarawak (SFRA) berkenaan melibatkan
kebanyakkan peserta dari kawasan Sri Aman termasuk Kem Pakit dan juga dari
Maludam, Betong.
“Setelah sekian lama tidak diadakan, kursus kali ini menyaksikan
penglibatan ramai pengadil muda demi mewujudkan golongan pelapis pengadil di
masa akan datang,” kata Timbalan Presiden SFRA, Sarkawi Haji Mohammad.
Kursus berkenaan menurut beliau telah membolehkan kesemua peserta untuk mempertingkat
dan mengemaskini maklumat tentang undang-undang bolasepak, futsal dan street
soccer.
Ia menurut sejajar dengan perubahan undang-undang sukan berkenaan yang
sering berlaku sebaik sahaja tamat Pertandingan Bolasepak Piala Dunia iaitu
antara bulan Februari dan bulan Mac.
“Kesemua maklumat terbaru mengenai undang-undang sukan tersebut akan dimaklum
kepada para ahli demi mewujudkan keseragaman ketika mengadili perlawanan sukan
terbabit di seluruh negeri ini dari masa ke semasa.
“Justeru kita berharap agar Kursus Pengadil Bolasepak dan Futsal ini akan
dapat mengelakkan berlakunya percanggahan dalam undang-undang perlawanan sukan
terbabit pada masa akan datang,” kata beliau.
Terdahulu kesemua 27 orang peserta pada hari pertama perlaksanaan kursus
berkenaan telah menghadiri taklimat mengenai Undang-Undang Permainan Bolasepak
Siri I dan II serta Undang-Undang Permainan Futsal.
Mereka kemudiannya menghadiri taklimat mengenai Undang-Undang Permainan
Bolasepak Siri III, ulangkaji dan sesi soal jawab, Ujian, Ujian II serta
Praktikal dan Latihan (Ujian Kecergasan, Praktikal dan Tugas-Tugas Pengadil).
Pengerusi Persatuan Pengadil Bahagian Sri Aman, Abang Yahya Haji Abang
Sulaiman turut hadir sama dalam Kursus Pengadil Bolasepak dan Futsal yang
berlangsung selama dua hari itu.
Tamat.
No comments:
Post a Comment