Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Arip juara Bintang P Ramlee Zon Sri Aman, Betong, Sarikei 2012

Caption: BERBAKAT...Sang juara iaitu Perry Yang dengan memakai pakaian tentera ketika mempersembahkan lagu berjudul Baju Hijau pada pertandingan tersebut.

SRI AMAN, Rabu (23 Mei) – Tuah menyebelahi Arip Abu Bakar, 31, apabila beliau dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee bagi Zon Sri Aman, Betong dan Sarikei yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman pada malam Sabtu lepas.

Pemuda kelahiran Kampung Baru Seberang, Sarikei itu muncul juara menerusi lagu dendangan berjudul Berkorban Apa Saja dan sekaligus menewaskan lima orang peserta yang turut berentap dalam kategori terbabit.

Wahid Agi, 54, dari Kampung Bungin, Spaoh, pula muncul sebagai naib juara menerusi lagu berjudul Madu Tiga dengan Abang Yusuf Buasan, 55, dari Kampung Hilir, Sri Aman muncul pemenang tempat ketiga menerusi lagu berjudul Jangan Tinggal Daku.

Manakala itu Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 bagi zon tersebut juga menyaksikan Noorashikin Sekedar, 21, dari Kampung Melango Baru, Saratok muncul juara setelah mempersembahkan lagu berjudul Selendang Sayang.

Hafiza Azura Mohammad Hamzan, 28, dari Kampung Hulu Sri Aman pula muncul naib juara setelah membawa lagu Mengapa Dirindu dengan Norsitama Abdullah, 33, dari Kampung Hulu Saratok muncul pemenang tempat ketiga menerusi lagu berjudul Perwira.

Finalist Bintang Kecil Peringkat Negeri Sarawak 2011 iaitu Perry Yang dari Jalan Pasir Panas, Sri Aman dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bintang Kecil 2012 bagi zon tersebut setelah membawa lagu berjudul Baju Hijau dendangan Allahyarham Sudirman.

Kedudukan naib juara pula disandang oleh Elvinson Ng Jia Tao dari Engkilili menerusi lagu berjudul Hoore Hoore dengan Allahyarham Sudirman dengan Mohd Izmir Aizat Affendi dari Taman Malong, Saratok muncul pemenang tempat ketiga bagi kategori itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karem telah merasmikan majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para peserta bagi pertandingan tersebut.

Terdahulu seramai 18 orang peserta telah melayakkan diri dalam Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Dan Solo Wanita Era P. Ramlee 2012 serta juga Bintang Kecil tiga buah zon itu yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh.

Tamat.

No comments:

Post a Comment