Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Jangan sabotaj program pertemuan saya dengan rakyat kata Masir


Caption: UNTUK RAKYAT...Masir sedang menyampaikan cek MRP kepada salah seorang wakil penerima sambil disaksikan oleh para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

SIMUNJAN, Khamis (24 Mei) – Kumpulan atau individu tertentu dinasihat agar tidak mensabotaj program pertemuan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dengan rakyat di kawasan mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat mendakwa kumpulan seperti itu sudah wujud dan mula bergerak untuk mengelirukan rakyat termasuk juga dalam kawasan parlimen beliau pada masa sekarang.

“Kumpulan ini menyalahgunakan saluran ketua kaum (seperti Penghulu) untuk mengadakan pertemuan dengan rakyat dan seterusnya memburuk-burukkan imej wakil rakyat BN di hadapan mereka.

“Lagipun kumpulan ini juga cuba mengeliru dan menghasut penyokong kerajaan dengan menyampaikan berita palsu berhubung program yang bakal diadakan oleh wakil rakyat BN di kawasan mereka selepas itu,” katanya.

Beliau meluahkan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Abdul Halem, Kampung Gawang Lama, Simunjan kelmarin.

Masir juga mengingatkan rakyat khasnya dalam kawasan Parlimen Sri Aman agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang disampaikan oleh kumpulan tertentu memandangkan ia merupakan tindakan berniat politik.

“Saya masih seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Justeru saya menasihatkan kumpulan tersebut agar tidak mensabotaj program pertemuan wakil rakyat BN dengan rakyat termasuk di sini (Sri Aman).

“Tolong bersikap ‘gentlemen’ jika mahu bertanding. Parti Pekerja Sarawak, Parti KeAdilan Rakyat atau Parti Tindakan Demokratik terbuka untuk mereka jika mahu bertanding di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah Abdillah, Pegawai Penerangan Simunjan, Maria Tungkat, Temenggung Anthony Nyipa, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Masir menerusi majlis itu juga turut menyampaikan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada penerima dan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar kepada beberapa buah rumah panjang di sini.

Terdahulu sebuah kumpulan dilaporkan sedang bergerak di kawasan Simunjan untuk mensabotaj program pertemuan antara Masir Kujat dan rakyatnya semenjak dua minggu lepas.

Ketua kumpulan terbabit kononnya janji akan menyalur kesemua gajinya sebagai seorang Ahli Parlimen ke dalam tabung kebajikan rakyat di rumah panjang jika memenangi PRU13 akan datang.

Mereka juga turut mendakwa bahawa hanya orang kaya layak menjadi Ahli Parlimen dan justeru menidakkan kelayakan Masir sebagai wakil rakyat memandangkan beliau dituduh tidak berduit, suka memburu dan tidak pernah masuk sidang parlimen selama ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment