Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 9, 2012

Rumah Nanting, Pentik bakal dapat bekalan air bersih - Rayong



Caption: TERIMA KASIH...Rayong sedang menerima cenderamata sambil disaksikan oleh Nyalau ketika berlangsungnya majlis berkenaan di Skrang, Engkilili baru-baru ini.

ENGKILILI, Khamis (3 Mei) - Rumah Nanting, Pentik dari daerah kecil Engkilili akan mendapat bekalan air bersih daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mencatatkan kos pembinaan berjumlah RM200,000 tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, projek bekalan air bersih tersebut secara tidak langsung akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan air yang sering dialami oleh penduduk di situ selama ini.

“Penduduk dari Rumah Nanting, Pentik kini hanya mendapat bekalan air bersih, air mandi dan air bagi membasuh pakaian dari kawasan sungai yang berdekatan dengan rumah panjang mereka.

“Atas sebab ini kerajaan BN telah bercadang untuk melaksanakan projek bekalan air bersih ke rumah panjang terbabit demi mengurangkan masalah yang sering dihadapi oleh penduduk di situ pada akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Merakyatkan Seni Dan Budaya (PMS) serta Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rh Nanting, Pentik, Skrang, Engkilili, baru-baru ini.

Selain itu rakyat yang tinggal di kawasan rumah panjang kata Rayong juga tidak perlu bimbang memandangkan pihak Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan usaha bagi membangunkan kawasan mereka dari masa ke semasa.

“BN telah diberi mandat oleh penduduk untuk mentadbir Kerajaan Negeri ini. Justeru kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan kawasan luar bandar menerusi pelbagai pelan pembangunan yang dirancang sebelum atau selepas ini,” katanya.

Terdahulu majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak itu menyaksikan Rayong mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada JKKK Rumah Nanting dan RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Penolong Pengarah II, Jabatan Kebudayaan  Dan Kesenian Negara Sarawak, Johan Wahyuddin Taid dan Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat.

Tamat…


No comments:

Post a Comment