Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, March 24, 2012

Rakyat tak sabar nantikan Pesta Benak Sri Aman 2012





Mugshot:

1. EBIT...Jom cari pondan

2. JOSHUA...Jual skirt dan kasut tunjik

3. LIEW...Lai lai kedai Kuang

SRI AMAN, Khamis (22 Mac) – Dalam tempoh dua minggu lagi, Bandar Sri Aman bakal menjadi tumpuan ribuan orang pengunjung yang mahu menyaksikan sambutan Pesta Benak 2012 bermula 6 hingga 8 April ini nanti.

Sudah semestinya ia menimbulkan rasa tidak sabar penduduk khasnya dari kawasan Bahagian Sri Aman yang mahu menyaksikan pelbagai acara menarik menerusi pesta berkenaan.

Seorang Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Betong iaitu Ebit Seng, 31, ketika ditemui berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menyaksikan Pesta Benak Sri Aman semenjak lima tahun lepas.

“Regatta merupakan acara kegemaran saya acapkali berlangsungnya sambutan Pesta Benak pada setiap tahun selain dari penganjuran aktiviti jualan beraneka,” katanya yang merupakan anak jati kelahiran Rumah Lada, Melugu Skim, Sri Aman itu.

Sementara itu Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua Ijau pula berpendapat Pesta Benak bakal memacu pertumbuhan sektor eko pelancongan di Bandar Sri Aman selepas ini.

Buktinya menurut beliau ialah sambutan Pesta Benak telah pun tersenarai dalam kedudukan kelima dari 10 buah acara pelancongan tahunan terbaik di Sarawak pada masa sekarang.

“Lagipun pihak penganjur telah pun merangka beberapa acara terbaru bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung bagi tahun ini seperti persembahan oleh peluncur ombak antarabangsa, lumba jet ski dan makanan tradisional,” katanya.

Justeru pelayan minuman Kuang iaitu Liew Koh San, 24, pula berharap agar kerajaan memperbanyakkankemudahan penginapan di Bandar Sri Aman untuk kegunaan pengunjung bagi sambutan Pesta Benak akan datang.

Terdahulu Pesta Benak Sri Aman 2012 ini nanti akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 7 April bermula jam 3 petang di Astaka Reggata Batang Lupar.

Beberapa kategori aktiviti utama bakal diadakan sempena Pesta Benak ini antaranya Regatta Benak Batang Lupar, Meluncur Benak Batang Lupar, Bazaar Ria Benak, Budaya Ria Benak, Perasmian Pesta Benak, Pameran Benak dan Karnival Permotoran.

Antara acara menarik yang terkandung dalam kategori itu adalah lumba perahu, lumba jet ski, malam kesenian dan kebudayaan, Miss Tourism Benak, Benak Idol, Pertunjukkan Bunga Api, Pertandingan Bertanda dan banyak lagi.

Ketika berlangsungnya sambutan Pesta Benak, fenomena benak atau air pasang di Sungai Batang Lupar akan mencapai paras ketinggian 5.9 meter pada 6 April, 6.2 meter pada 7 April dan 6.4 meter pada 8 April.

Tamat.

Rayong : Bersatu jayakan pembangunan


Caption: TERIMA KASIH...Rayong menerima cenderamata penghargaan daripada ketua kampung sambil disaksikan oleh Nyalau ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

ENGKILILI, Khamis (22 Mac) – Rakyat khasnya dari kawasan luar bandar dinasihat untuk terus sehaluan dalam politik demi mencipta masa depan pembangunan yang lebih cerah selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata faktor ini akan membolehkan rakyat terus bersatu dalam menjayakan lagi pembangunan yang dirancang di kawasan mereka dari masa ke semasa.

“Contohnya boleh kita lihat apabila saya dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak begitu sehaluan dalam politik hingga membolehkan proses pembangunan di kawasan Lubok Antu dan Engkilili berlangsung dengan pesat pada masa sekarang.

“Saya yakin rakyat akan terus menikmati kemajuan jika terus sehaluan dengan Barisan Nasional (BN) dalam politik selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kujat, Ijok Ulu, Batang Ai Ili, Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar agar tidak mensia-siakan nikmat kemajuan yang mereka kecapi sekarang dengan menyokong pihak pembangkang pada pilihan raya akan datang.

Rakyat katanya harus sedar bahawa nikmat kemajuan yang mereka kecapi sekarang adalah merupakan hasil usaha kerajaan BN dan bukannya pihak pembangkang hanya tahu melafazkan janji kosong ketika musim pilihan raya.

“Justeru harapan saya ialah agar rakyat di kawasan Engkilili terus bersatu hati menyokong Politik Pembangunan oleh kerajaan BN demi masa depan hidup mereka selepas ini,” katanya.

Terdahulu majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Bahagian Sri Aman itu telah dirasmikan oleh Nyalau sambil dihadiri oleh Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Nyalau menerusi majlis berkenaan juga turut menyerahkan geran kerajaan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM195,000 kepada 15 buah rumah panjang di situ.

Tamat.

Beradik bergaduh kerana binatang peliharaan



SRI AMAN, Khamis (22 Mac) – Gara-gara disebabkan oleh binatang peliharaan, dua orang adik-beradik telah bertengkar hingga nyaris melibatkan penggunaan senjata tajam di sebuah rumah panjang dalam kawasan Bahagian Sri Aman malam tadi.

Kisah bermula apabila salah seorang dari adik-beradik berkenaan terlibat dalam kerja pembahagian daging di sebuah kampung berdekatan sambil menikmati minuman keras di situ dari pagi hingga ke petang.

Sebaik sahaja pulang ke rumah panjang pada waktu malam, beliau telah bertindak membawa masuk anjing ke bilik untuk memberi makan sehingga ia menimbulkan rasa kurang senang terhadap abangnya sendiri.

“Si abang menegur adiknya agar memberi anjing makan di luar rumah panjang. Tindakan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati si adik yang juga menyalahkan abangnya kerana turut memberi kucing makan di dapur rumah.

“Disebabkan tidak mahu bertengkar, si abang kemudiannya hanya mendiamkan diri dan melakukan kerja rumah sebelum adiknya itu bertindak mahu menetak kucing dengan menggunakan senjata tajam di dapur rumah,” kata sumber.

Si adik yang dipercayai berada dalam pengaruh alkohol itu kemudiannya mahu bertindak melibas si abang dengan menggunakan senjata tajam itu setelah ditegur berhubung kejadian terbabit.

“Ibubapa kedua-dua beradik tersebut terus bertindak untuk meleraikan pergaduhan terbabit. Kejadian itu nyata tidak mengembirakan hati abangnya setelah diperlakukan demikian oleh adiknya sendiri.

“Si adik dipercayai hanya mahu mengertak abangnya dengan senjata tajam itu namun bukan dengan sepenuh hati,” kata sumber sambil menambah bahawa kejadian tersebut menyebabkan abangnya mahu bertindak keluar dari rumah selepas ini.

Tamat.









Tujuh restoran di Sri Aman join Program Menu Rakyat 1 Malaysia



TAHNIAH…Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Sarawak (KPDNKK), Wan Ahmad Uzir Haji Wan Sulaiman sedang menyampaikan sijil penghargaan kepada pemilik Restoran Asam Pedas, Sri Aman yang menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia menerusi majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat KPDNKK Bahagian Sri Aman baru-baru ini. Setakat ini sejumlah tujuh buah gerai dan restoran di Bandar Sri Aman menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia antaranya ialah Restoran Seribu Dinar, Nur Salam Cafe, Aman Briyani Cafe, Asam Pedas, Gerai Seri Bestari, Nono Cafe dan Farysha Cafe. KPDNKK kini mensasarkan penyertaan 150 buah gerai dan restoran makanan ke dalam program tersebut menjelang akhir tahun ini. Program Menu Rakyat 1 Malaysia menawarkan juadah makanan tengahari pada harga RM5 ke bawah manakala RM2.50 pula untuk sarapan pagi. - 22 Mac


Pameran Pendidikan di Dewam Suarah Sri Aman pada 30 Mac ini


 
Mugshot: LUCY CHUO

SRI AMAN, Rabu (21 Mac) – Persatuan Guru Bimbingan Dan Kaunseliong Sarawak Zon Sri Aman akan menganjurkan Pameran Pendidikan bertempat di Dewan Suarah Sri Aman pada 30 Mac ini.

Jurucakap penganjur, Lucy Chuo berkata pameran yang akan bermula dari 8.30 pagi hingga jam 3 petang di Dewan Suarah Sri Aman itu turut mendapat kerjasama daripada Syarikat Minda Inovatif.

“Pameran Pendidikan anjuran Persatuan Guru Bimbingan Dan Kaunseliong Sarawak Zon Sri Aman dan Minda Inovatif ini akan disertai oleh institusi-institusi pengajian tinggi, Institut Kemahiran Belia dan Yayasan Sarawak.

“Tujuan Pameran Pendidikan ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan lanjut berhubung peluang melanjutkan pelajaran, tawaran kursus dan cara mendapatkan bantuan kewangan kepada mereka yang hadir pada pameran tersebut,” katanya.

Chuo turut memberitahu bahawa semua pelajar sekolah menengah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan ibubapa tidak harus melepaskan peluang untuk berkunjung ke pameran terbabit.

Justeru pihaknya berharap agar orang awam terutama sekali para pelajar dari sekitar kawasan Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Sarawak tidak melepaskan peluang untuk datang ke pameran berkenaan pada masa yang telah dinyatakan.

“Mereka yang ingin mengetahui keterangan lebih lanjut tentang Pameran Pendidikan pada 30 Mac ini nanti boleh menghubungi saya sendiri menerusi talian telefon 019-8187708,” menurut beliau.

Tamat.

BN ada pelan pembangunan tersendiri - NYalau


Caption: TERIMALAH...Nyalau menyerahkan cek kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Rayong ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (21 Mac) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelan rancangan pembangunan tersendiri untuk rakyat dan bukannya seperti yang dijanjikan oleh pihak pembangkang menerusi Buku Jingga mereka.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata Buku Jingga sebenarnya tidak lebih dari sekadar janji pihak pembangkang terhadap rakyat yang kebiasaannya tidak akan ditunaikan kepada mereka pada bila-bila masa.

“Ia berbeza berbanding dengan pihak Kerajaan BN yang mempunyai pelan rancangan pembangunan bagi tempoh lima dan 10 tahun seperti Rancangan Malaysia terhadap rakyat di seluruh negara ini khasnya sekali negeri Sarawak.

“Strategi inilah yang menyebabkan negara kita lebih cepat maju berbanding dengan negara yang sudah dahulu menikmati kemerdekaan,” katanya berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kujat, Ijok Ulu, Batang Ai Ili, Engkilili kelmarin.

Selain itu pihak pembangkang kata Nyalau tidak akan dapat menunaikan janji yang terkandung dalam Buku Jingga untuk rakyat memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk menunaikan janji terbabit.

Lagipun Buku Jingga menurut beliau cumalah helah politik daripada pihak tersebut untuk menarik sokongan rakyat terhadap mereka lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Justeru saya menasihatkan rakyat khasnya di kawasan Parlimen Lubok Antu untuk meneruskan sokongan padu terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang demi hala tuju pembangunan hidup mereka selepas itu,” katanya.

Terdahulu majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Bahagian Sri Aman itu menyaksikan Nyalau menyerahkan geran kerajaan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM195,000 kepada 15 buah rumah panjang di situ.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

PTPL jayakan program Hari Keluarga





Caption:

1. UNTUK ALBUM...Efida (kanan sekali) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para peserta dan guru sekolah mereka ketika berlangsungnya sambutan program berkenaan.

2. SERONOK...Para peserta sedang menyertai acara senamtari yang diadakan bersempena dengan sambutan program itu.

3. TAHNIAH...Efida (tengah) sedang menyampaikan hadiah kepada para pelajar yang berjaya bersempena dengan sambutan program tersebut.

KUCHING, Rabu (21 Mac) – Sekolah Sains Kesihatan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Sarawak telah menjayakan Program Hari Keluarga Sekolah Sains Kesihatan 2012 yang berlangsung di Siar Beach Resort, Lundu baru-baru ini.

Program Hari Keluarga Sekolah Sains Kesihatan 2012 itu telah pun berlangsung selama dua hari dan membabitkan seramai 60 orang pelajar serta pensyarah dari sekolah berkenaan.

Siaran media hari ini memberitahu para peserta telah mendapat masa yang berkualiti untuk beramah mesra dalam sebuah keluarga besar tanpa mengira peringkat menerusi aktiviti santai terbabit.

“Program ini nyata bersesuaian sejajar dengan objektif pihak kita yang mahu memupuk semangat kekeluargaan dan kekitaan dalam kalangan pelajar serta pensyarah Sekolah Sains Kesihatan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan PTPL.

“Lagipun ia juga turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta kerana menganggap bahawa aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Sekolah Sains Kesihatan, PTPL Sarawak,” katanya.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan menerusi program itu adalah pecah ruyung, sukaneka seperti isi air dalam botol, galah panjang, bawa belon dalam air, cari gula-gula dalam tepung, malam kebudayaan, BBQ, jelajah dan senamtari.

Terdahulu koordinator Program Hari Keluarga Sekolah Sains Kesihatan 2012, Abdul Rahmat Abdullah Chik berkata program ini telah mencapai objektifnya dalam mempertingkatkan kefahaman antara para peserta yang berlainan kemasukan.

“Malahan para peserta juga telah mendapat banyak manfaat daripada program ini yang mampu menyumbang kepada budaya menyayangi dan menghormati secara positif dalam kolej PTPL,” katanya.

Program hari keluarga ini juga turut dihadiri oleh Naib Pengetua (Hal Ehwal Akademik) Efida Nawawi dan Ketua Sekolah Sains Kesihatan, Kolej PTPL Sarawak iaitu Felicia Girim.

Tamat.



Simpang jalan masuk ke Taman Bayu B rosak


Caption: PERLU PERHATIAN...Kerja pembinaan saluran longkang telah menyebabkan berlakunya kerosakan jalan di simpang masuk menuju ke Taman Bayu B semenjak tiga bulan lepas.

SRI AMAN, Selasa (20 Mac) – Kawasan simpang jalan masuk menuju ke Taman Bayu B telah mengalami kerosakan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penghuni taman berkenaan sebelum ini.

Seorang penghuni yang enggan namanya disiarkan di sini memberitahu simpang jalan masuk menuju ke perumahan mereka telah mengalami kerosakan semenjak tiga bulan lepas akibat kerja pembinaan saluran parit di situ pada tahun lepas.

“Simpang jalan masuk menuju ke Jalan Taman Bayu B senang dilalui oleh semua pengguna kenderaan selama ini sehinggalah pihak kontraktor datang membina saluran longkang di situ pada tahun lepas.

“Bagaimanapun sebaik sahaja kerja terbabit selesai pihak kontraktor hanya menimbun semula kesan pembinaan longkang tersebut dengan batu kecil sehingga menyebabkan kesan kerosakan itu muncul,” katanya.

Justeru pengguna kenderaan di Taman Bayu B yang berasa tidak selesa ketika melalui laluan rosak berkenaan mahu pihak kontraktor membaikpulih semula kerosakan di kawasan itu selepas ini.

“Kami mengalu-alukan tindakan baik mereka untuk mengurangkan risiko banjir yang sering melanda kawasan Taman Bayu B selama ini dengan membina saluran longkang di situ.

“Bagaimanapun kami berharap agar tidak bersikap ambil mudah dengan menimbun batu kecil di atas bekas tapak pembinaan mereka hingga menimbulkan kesukaran terhadap penduduk di sini,” katanya.

Tamat. 

Dapatkan pengetahuan secukupnya mengenai AIDS - Nyalau



Caption: SEDIA...Nyalau (tiga kiri) sebelum memulakan upacara simbolik memalu gong ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

LUBOK ANTU, Selasa (20 Mac) – Penduduk kawasan luar bandar perlu mendapatkan pengetahuan yang secukupnya mengenai bahaya Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit atau AIDS selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pelan Strategik Nasional HIV / AIDS di Rumah Seblie Mujap, Batu Bebini Atas, Lubok Antu kelmarin.

Menurut beliau langkah tersebut adalah penting agar penduduk di kawasan luar bandar tahu cara untuk mengelak daripada dijangkiti oleh penyakit berbahaya tersebut di masa akan datang.

“AIDS disebabkan oleh jangkitan virus HIV dikalangan individu yang mengamalkan hubungan seks dengan bebrilang pasangan, berkongsi jarum suntikan dan dari ibu kepada bayi di dalam kandungan.

“Ini antara fakta yang penduduk luar bandar mesti tahu. HIV tidak boleh merebak melalui perkongsian perkakas dan perkongsian tandas dengan pengidap AIDS, sentuhan, gigitan nyamuk dan derma darah,” katanya.

Justeru Nyalau berharap agar penduduk di kawasan Lubok Antu memberi sokongan moral terhadap pengidap penyakit AIDS dan bukannya bertindak memulau mereka selepas ini.

Terdahulu majlis yang turut dihadiri oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Musalnizan binti Mustalkah itu menyaksikan Nyalau mengumumkan peruntukan bernilai RM7,000 untuk JKKK dan RM3,000 untuk biro wanita Rumah Seblie.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman itu diserikan dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan, derma darah, pemeriksaan mata, pemeriksaan gigi, pat smear, pemeriksaan HIV, pertandingan poco-poco, pekit Kumang dan pekit Keling.

Tamat.

Jabatan Hal Ehwal Veteran turun padang ke Pantu



Mugshot: LEFTENAN KOLONEL MONDAY JUHID

PANTU, Selasa (20 Mac) – Masalah kesempitan hidup yang melanda pasangan suami isteri Warga Emas dari Rumah Lanyau, Pantu akhirnya mendapat perhatian kerajaan setelah kisah mengenai mereka disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak (20 Mac).

Ia terbukti apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Negeri Sarawak iaitu Leftenan Kolonel Monday Juhid bersama rombongannya bertindak turun padang untuk menemui pasangan keluarga tersebut pada jam 2 petang hari ini.

“Pihak kami pun mengenalpasti masalah kemiskinan yang dihadapi oleh Chama anak Manchu, 68, dan isterinya iaitu Januri anak Samat, 60, setelah bertindak untuk turun padang menemui mereka.

“Atas sebab ini pihak kami telah bertindak membantu Chama untuk memohon bantuan Skim Kebajikan Sara Hidup, Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi tujuan tindakan selanjutnya selepas ini,” katanya.

Jabatan Hal Ehwal Veteran katanya juga akan membantu Chama untuk disenaraikan dalam e – kasih demi memudahkan pihak beliau membantu memohon rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin.

Malah pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran kata Monday juga akan membuat kad keahlian Persatuan Bekas Tentera Malaysia untuk Warga Emas terbabit bagi tujuan pengenalan identiti dan lain-lain urusan kemudahan berkaitan di masa akan datang.

“Berhubung masalah kad pengenalan pula, beliau (Chama) sudah pun boleh menuntut kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara, Kuching selepas ini setelah pihak kita memohon kad tersebut dihantar dari Putrajaya ke sini,” katanya.

Monday juga menasihatkan bekas tentera yang mengalami masalah kesulitan hidup agar bertindak melaporkan segera perkara terbabit kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk tindakan susulan selepas ini.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak Utusan Sarawak kerana membantu Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk menjejak bekas anggota tentera yang mengalami kesulitan hidup selama ini,” katanya.

Terdahulu Chama dan isterinya, Januri menetap di sebuah pondok usang selama 31 tahun setelah berhenti dari perkhidmatan Angkatan Tentera Darat Malaysia pada 22 Jun 1980 dahulu.

Beliau yang hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 hingga RM350 sebulan itu pernah mengalami kecederaan di lengan kiri dan dada akibat tembakan pengganas komunis ketika operasi di Sarikei pada tahun 1972.

Kedua-dua Warga Emas terbabit hanya dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Rayong, 31, yang kini sudah berumahtangga dan bekerja sebagai seorang mekanik di kawasan Pantu.

Tamat.

Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bantu lahir golongan bijak - Rayong



Caption: TERIMA KASIH...Rayong (tengah) menerima cenderamata dari Tr Silon Janda (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (19 Mac) –  Penubuhan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dilihat mampu melahirkan ramai golongan bijak pandai dari kawasan luar bandar khasnya mereka yang berketurunan Bumiputera di negeri ini nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnichal Rayong Ngipa berkata penubuhan TEGAS mampu membantu golongan itu untuk membangunkan negeri ini setelah tamat menjalani latihan atau pengetahuan hasil bantuan tabung itu nanti.

“TEGAS merupakan sebahagian daripada strategi Kerajaan Negeri untuk melahirkan ramai modal insan bagi menampung keperluan tenaga kerja khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional di kawasan masing-masing.

“Justeru ibu bapa kepada anak yang tidak lagi bersekolah, tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tinggal di rumah panjang boleh memaklumkannya kepada TEGAS untuk tindakan selanjutnya selepas ini,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau anjuran Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Silon Janda, Baloi  di Balai Raya Skim, Skrang, Engkilili kelmarin.

Selain itu Rayong juga berharap agar rakyat di luar bandar tidak mudah terpengaruh terhadap hasutan daripada pihak yang mahu menentang kerajaan pada Pilihanraya Umum Ke-13  akan datang.

“Saya meminta rakyat untuk terus memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, iaitu William Nyalau Badak sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk mengibarkan bendera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Umum nanti,” katanya.

Terdahulu Rayong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan Peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 kepada JKKK Rumah Silon dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Tamat
.



Longkang di bangunan Lot 916 tersumbat dan kotor


Caption: MENJIJIKKAN...Gambar menunjukkan longgokan sampah yang terdapat longkang bangunan Lot 916, Jalan Hospital, Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Isnin (19 Mac) – Penghuni dan pekerja di bangunan Lot 916, Jalan Hospital, Bandar Sri Aman memohon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membersihkan laluan longkang tersumbat dan kotor di situ selepas ini.

Seorang kakitangan akhbar tempatan, Zulia Haji Jemat berkata longgokan sampah menyebabkan saluran longkang di situ sering tersumbat dan mengeluarkan bau busuk selama ini.

“Orang tidak bertanggungjawab sering bertindak membuang sampah di dalam saluran longkang berkenaan dan bukannya di lokasi pembuangan sampah yang terletak berdekatan bangunan lot 916.

“Atas sebab ini saya dan penghuni bangunan Lot 916 memohon PBT agar melakukan kerja membersihkan semula saluran longkang terbabit agar ia sentiasa bersih dan tidak menimbulkan bau busuk selepas ini,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa terdapat individu tidak bertanggungjawab yang sengaja membuang air besar di situ tanpa memperdulikan sensitiviti kebersihan para penghuni bangunan berkenaan.

Zulia juga mahu agar penghuni bangunan Lot 916 bertindak untuk menegur mana-mana individu yang gemar bersikap ambil mudah dengan membuang sampah di saluran longkang berkenaan dari masa ke semasa.

“Kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Justeru saya berharap agar penghuni bangunan lot 916, Jalan Hospital, Sri Aman bertindak menegur orang ramai yang cuba membuang sampah di saluran longkang terbabit di masa akan datang,” katanya.

Tamat.

PPWS Tanjung Engkabang adakan AGM


Caption: SELESAI...Barisan jawatankuasa PPWS Tanjung Engkabang bergambar kenangan bersama tetamu khas sebaik sahaja tamat mesyuarat tersebut kelmarin.

SRI AMAN, Isnin (19 Mac) – Perkumpulan Persatuan Wanita Sarawak (PPWS) Tanjung Engkabang, Sri Aman telah mengadakan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di sini kelmarin.

Jurucakap persatuan terbabit memberitahu, mesyuarat terbabit bertujuan untuk membubar jawatankuasa sesi tahun 2009 – 2009 dan seterusnya memilih barisan baru bagi penggal tahun 2012 – 2015 kelmarin.

Mesyuarat Agung Tahunan PPWS Tanjung Engkabang itu menyaksikan Rabiah Ahamad dipilih semula untuk memegang jawatan pengerusi persatuan tersebut bagi penggal tahun berkenaan.

Perlantikkan Rabiah ini juga turut menyaksikan Nur Khadijah Abdullah dilantik untuk menyandang jawatan Timbalan Pengerusi dengan Hamimah Jalaluddin dilantik sebagai Naib Pengerusi persatuan tersebut.

Manakala itu Habsah Wasli pula dilantik sebagai Setiausaha persatuan dengan Siti Rafeah Mohmnad dipilih sebagai Bendahari  bagi PPWS Tanjung Engkabang menerusi mesyuarat berkenaan.

Terdahulu Rabiah ketika berucap pada mesyuarat itu berjanji akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengerusi dengan penuh amanah demi kebaikan PPWS Tanjung Engkabang selepas ini.

“Justeru saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kesemua aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan berjalan dengan lancar dan berjaya demi pembangunan komuniti setempat dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem, Timbalan Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Hajah Frida Abdul Sani, Pengelola PPWS Kawasan Sri Aman, Jenny Goh, Timbalan Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Randai Ramba dan AJK Daerah, Lela Ain.

Tamat.




Bekas tentera dari Pantu perlu bantuan








Caption:

1. PERLU BANTUAN...Chama bersama isteri ketika di hadapan pondok usangnya di Pantu.

2. DEMI SESUAP NASI...Januri sedang menjemur buku getah sambil ditemani suaminya iaitu Chama.

3. UNTUK SIMPANAN...Gambar menunjukkan barisan botol plastik yang mengandungi air bersih dari kemudahan air paip rumah panjang untuk kegunaan Chama dan isterinya.

4. SIBUK...Kawasan anjung pondok usang milik Chama dan isterinya menjadi lokasi untuk membasuh pinggan mangkuk selama ini.

5. USANG...Chama dan isterinya menunjukkan dapur usang untuk memasak makanan dan air bersih ketika ditemui Utusan Sarawak.

6. INI YANG KAMI ADA...Chama dan isterinya ketika menunjukkan lokasi tempat tidur mereka yang tampak usang dan menyedihkan.

7. MENYEDIHKAN...Gambar menunjukkan pondok usang yang didiami oleh Chamar dan isterinya semenjak berhenti dari perkhidmatan tentera kira-kira 31 tahun lepas.

PANTU, Isnin (19 Mac) – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah masalah kesempitan hidup yang melanda sebuah keluarga miskin tegar dari Rumah Lanyau, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman.

Chama anak Manchu, 68, seorang bekas anggota 1 Renjer, Angkatan Tentera Darat Malaysia hidup dalam kemiskinan bersama isterinya iaitu Januri anak Samat, 60, di sebuah pondok usang bersebelahan rumah panjang Lanyau semenjak 30 tahun lepas.

Kedua-dua Warga Emas yang hanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Rayong Chama, 31, itu hidup dalam serba kekurangan tanpa adanya bekalan elektrik 24 jam dan juga bekalan air bersih.

“Saya bersama isteri hanya mampu meraih pendapatan antara RM300 hingga RM350 sebulan dengan memotong getah dan berkebun,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di kediamannya kelmarin.

Anaknya iaitu Rayong sudah pun berumah-tangga dan hanya mampu mengirim beras dan beberapa makanan tambahan memandangkan beliau hanya bekerja sebagai seorang mekanik.

Jika bernasib baik, Chama akan mengambil upah dengan bekerja untuk penduduk di rumah panjang berdekatan demi menampung kos keperluan hidup dirinya dan isteri iaitu Januri.

Lagipun kedaifan hidup Warga Emas terbabit nyata mampu digambarkan dengan keadaan dapur dan ruang bilik tidur yang kotor, apatah lagi tiada sebarang peralatan elektronik seperti radio dan televisyen untuk berhibur selama ini.

Jika sudah berpenat-lelah pulang dari kebun sekitar jam 3 petang, Chama akan berkunjung ke rumah saudaranya di rumah panjang berdekatan untuk menonton televisyen sebelum pulang ke pondok pada waktu malam.

“Kami berdua mandi dan membasuh pakaian dari air telaga berdekatan. Kami tiada kemudahan air paip dan ia memaksa kami berdua untuk mengambil air minum dari bekalan air paip rumah panjang,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa isterinya pernah ditemubual menerusi program e-kasih pada awal tahun lepas namun belum mendapat sebarang maklumbalas berhubung sebarang bantuan hingga masa sekarang.

Justeru kedua-dua Warga Emas terbabit mengimpikan bantuan kebajikan bulanan dan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) daripada kerajaan untuk keselesaan hidup mereka selepas ini.

“Saya juga merayu pihak kerajaan agar membantu menyelesaikan masalah permohonan kad pengenalan milik saya yang sudah lama tertangguh semenjak 4 November 2010 lepas,” katanya.

Terdahulu, Chama telah menyertai Angkatan Tentera Darat Malaysia bermula 23 Jun 1964 dan pernah mengalami kecederaan akibat tembakan penganas komunis di kawasan Sarikei pada tahun 1972 sebelum tamat perkhidmatan pada 22 Jun 1980.

Tamat.







Monday, March 19, 2012

Simpang masuk ke tapak buang sampah Pantu terlalu kotor



Caption: PERLU KESEDARAN...Gambar menunjukkan sampah yang dibuang oleh penduduk di kawasan parit tepi jalan masuk menuju ke tapak pembuangan sampah di Pantu hari ini.

PANTU, Sabtu (17 Mac) – Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan hidup rakyat dengan menyediakan kemudahan sewajarnya di kawasan penempatan mereka dari masa ke semasa.

Namun begitu adalah amat mengecewakan semua pihak sekiranya kemudahan yang disediakan oleh kerajaan selama ini tidak dijaga oleh penduduk itu sendiri dengan begitu baik.

Tapak pembuangan sampah yang dibina oleh Majlis Daerah Sri Aman di kawasan Pantu sebelum ini mengalami perkara seperti itu apabila penduduk masih membuang sampah di luar tapak kawasan tersebut selama ini.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa penduduk mengamalkan sikap ambil mudah dengan membuang sampah di sepanjang laluan parit yang menuju ke tapak pembuangan sampah berkenaan.

Ada di antara mereka yang mendakwa bahawa laluan jalan menuju ke tapak pembuangan sampah itu terlalu sempit sehingga mendorong mereka membuang sampah di kawasan jalan masuk menuju ke tapak berkenaan.

Apabila sampah dibuang di dalam parit sekitar jalan masuk menuju ke tapak terbabit, ia secara tidak langsung akan menimbulkan masalah pencemaran air memandangkan parit terbabit mempunyai rangkaian terhadap anak sungai yang lain.

Paling mengecewakan adalah sikap ambil mudah penduduk berhubung perkara ini telah mewujudkan suasana menjijikkan di sekitar jalan masuk menuju tapak terbabit dan juga terhadap penduduk yang mahu menuju ke Pekan Pantu.

Penduduk harus sedar bahawa kerajaan telah berusaha untuk memperkenalkan Pekan Pantu di pentas nasional dengan memperkenalkan sambutan Pesta Pantu atau Pesta Ikan Tapah sebelum ini.

Justeru imej kebersihan Pekan Pantu harus dijaga oleh semua penduduk dengan memastikan sampah mereka dibuang di tapak pembuangan sampah berkenaan dan bukannya di parit simpang jalan masuk menuju tapak terbabit.

Penulis yakin penduduk kawasan Pantu juga enggan berasa terkenal hanya disebabkan oleh kekotoran kemudahan tapak pembuangan sampah mereka dan bukannya sambutan pesta di situ selepas ini.

Tamat.

Pertandingan Fotografi Pesta Benak mula dibuka



SRI AMAN, Jumaat (16 Mac) – Peminat fotografi dijemput untuk menyertai Pertandingan Bergambar bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2012 yang akan bermula pada 6 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pertandingan Fotografi Pesta Benak Sri Aman 2012, Henry Tuah menerusi siaran medianya memberitahu pertandingan ini adalah merupakan anjuran Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID) Sri Aman.

“Dengan bertemakan Panorama Pesta Benak 2012, pertandingan yang terbahagi kepada Kategori Photojournalism, Night Photography dan Nature ini hanya terbuka kepada Warganegara Malaysia tanpa had umur.

“Gambar bagi tujuan pertandingan ini hendaklah diambil ketika berlangsungnya sambutan Pesta Benak 2012 terbabit di Bandar Sri Aman bermula dari 6 hingga 8 April,” katanya.

Selain itu gambar pertandingan terbabit kata Henry hendaklah dicetak dalam saiz 8 inci X 12 inci dan disertakan dengan salinan digital pada dimensi 8 inci X 12 inci dengan resolusi 300dpi.

Beliau turut menambah bahawa penyertaan bagi Pertandingan Bergambar Pesta Benak Sri Aman 2012 ini hendaklah karya asli dan tidak pernah disiarkan pada mana-mana media cetak, internet dan sebagainya.

“Justeru mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Galeri Taman Panorama Benak dari 5 April hingga 10 April, pada jam 9 pagi hingga 9 malam,” katanya sambil menambah bahawa setiap borang dikenakan bayaran sebanyak RM10.

Terdahulu peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan dengan kadar bayaran RM10 untuk setiap borang iaitu satu borang hanya untuk satu keping gambar dan satu kategori sahaja dengan borang itu dilekatkan di belakang gambar terbabit.

Dengan bayaran dibuat semasa pengambilan borang, para peserta perlu menghantar borang penyertaan sebelum tarikh tutup pada 25 April jam 12 tengahari kepada The Chairman, Photography Competition & Sub-Committee,  c / o Jabatan Pengairan Dan Saliran Sri Aman, Jalan Datus, Kampung Hilir, 95000 Sri Aman, Sarawak.

Johan bagi setiap kategori pertandingan ini akan memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM500 dan sijil, RM300 dan sijil untuk naib johan, RM150 dan sijil untuk pemenang tempat ketiga serta empat hadiah saguhati bernilai RM50 serta sijil.

Para peserta boleh mengetahui keputusan Pertandingan Bergambar Pesta Benak Sri Aman 2012 dan tarikh penerimaan hadiah yang diumumkan melalui suratkhabar dan panggilan telefon selepas itu.

Tamat.

Fun Fair Sri Aman 2012 sudah mula


Caption: PERSEDIAAN...Gambar waktu siang menunjukkan lokasi Fun Fair Sri Aman yang akan berlangsung dari jam 6.30 petang hingga 11 malam sehingga 10 April depan.

SRI AMAN, Jumaat (16 Mac) – Pesta Ria atau Fun Fair Sri Aman 2012 mula dibanjiri ratusan orang pengunjung semenjak dua hari lepas walaupun ia sudah mula beroperasi pada hari Sabtu lepas.

Pesta yang berlangsung di belakang Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman itu tidak menerima jumlah kehadiran pengunjung yang mengalakkan bermula dari hari Sabtu lepas hingga Rabu minggu ini kerana disebabkan oleh faktor hujan pada waktu malam.

Namun begitu apabila hujan tidak lagi turun pada waktu malam sejak hari Rabu lepas, jumlah kedatangan pengunjung meningkat secara mendadak dengan pengunjung boleh masuk secara percuma ke dalam pesta tersebut.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak malam tadi mendapati bahawa beberapa permainan menarik telah disediakan terhadap para pengunjung lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya cuti sekolah pada masa sekarang.

Dengan permainan Ferris Wheel disediakan untuk pengunjung bagi Fun Fair Sri Aman kali ini para pengunjung juga turut berpeluang bagi meraih pelbagai jenis hadiah yang disediakan oleh permainan di situ.

Brandon Uno, 23, ketika ditemui berkata sambutan Fun Fair 2012 kali ini dianggap lebih sederhana memandangkan jumlah acara pesta ria kali ini nyata kurang berbanding sambutan Pesta Ria sebelum ini.

Manakala itu Nasir Wan Ibrahim, 20, berpendapat bahawa penganjuran Fun Fair kali ini mampu menaikkan status ekonomi dan secara tidak langsung mempertingkat taraf hidup penduduk di kawasan bandar Sri Aman.

Terdahulu orang ramai yang berkunjung ke Fun Fair berpeluang menyertai pelbagai jenis permainan menarik yang disediakan dalam temasya berkenaan disamping menyaksikan persembahan lagu oleh artis rakaman Iban tempatan di negeri ini.

Mereka adalah Melisa Francis (10 -11 Mac), Winnia Albert (12 Mac),  Johnny Aman (13 Mac) , Lucy M (14 Mac) , Ranne Pet (15 Mac), Margaret M Jalang (16 Mac), Stevenson (17 Mac), Sima (18 Mac), Swaylin (19 Mac), Maryline (20 Mac) dan Andrewson Ngalai (21 Mac).

Fun Fair Sri Aman 2012 dijangka akan tamat pada 10 April kelak dan secara tidak langsung dapat memeriahkan sambutan Pesta Benak Sri Aman yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 April ini.

Tamat.

Pusat Gimnasium Sri Aman mula dibuka waktu pagi



Caption: UTAMAKAN KESIHATAN...Para pengunjung sedang sibuk bersenam di kawasan ruang legar utama ketika berlangsungnya waktu operasi Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (16 Mac) – Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman telah pun membuka waktu operasi kepada orang ramai pada waktu pagi semenjak ia dikuatkuasakan pada hari Isnin lepas.

Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman, Isaac Stalin Simon berkata waktu operasi pusat kemudahan kecergasaan dan senaman bagi kegunaan orang ramai itu akan bermula dari jam 8 pagi hingga 11 pagi.

“Tujuan utamanya ialah bagi memberi peluang kepada golongan kakitangan kerajaan yang sering bekerja secara berjadual (shift) untuk turun bersenam di pusat kemudahan ini pada setiap pagi.

“Dengan cara ini Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman akan dapat berfungsi secara menyeluruh kepada semua penduduk Sri Aman yang mahu bersenam pada waktu pagi selepas ini,” katanya.

Selain itu Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman kata beliau juga sudah pun mempunyai seramai 110 orang ahli dengan bayaran keahlian masing-masing ditetapkan pada kadar RM25 setahun.

Penyertaan keahlian kelab ini kata Isaac akan membolehkan mereka hanya membayar kemasukan ke pusat gimnasium sebanyak RM1 berbanding indivdu bukan ahli yang terpaksa membayar RM2 bagi setiap kemasukan ke pusat itu.

“Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman mengalakkan kemasukan lebih ramai ahli ini demi memantapkan lagi pengurusan kemudahan pusat kecergasaan dan kesihatan ini di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu waktu operasi Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman akan bermula dari jam 7 pagi hingga 11 pagi dan jam 4 petang hingga 8 malam pada setiap hari melainkan bagi hari Sabtu (tutup).

Jumlah kedatangan pengunjung ke Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman ini masih mengalakkan dengan setiap kemudahan senaman di situ terus dijaga oleh pihak kelab dari masa ke semasa.

Tamat.

Berhati-hati dengan becak di Aping Dadak, Pantu



PERLU PENYELESAIAN...Gambar menunjukkan laluan berlecak atas jalan raya di kawasan Aping, Dadak, Pantu, Sri Aman yang dipercayai menjadi punca kepada berlakunya kemalangan di kawasan itu pada 25 Februari tahun lepas. Becak yang ditinggalkan oleh lori pengangkut balak di situ menyebabkan sebuah ambulan dari arah Sri Aman hilang kawalan dan terus merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Kuching. Kemalangan ini menyebabkan kakitangan Hospital Sri Aman iaitu Awang Jamain mati serta-merta di tempat kejadian. Justeru satu tindakan segera perlu diambil untuk memperingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berbecak itu selepas ini demi mengelakkan kejadian kemalangan yang sama berulang. - 16 Mac

Thursday, March 15, 2012

Kerajaan tak tentukan pemilihan Menu Rakyat 1 Malaysia - Wan Ahmad


Caption: BANGGA...Wan Ahmad (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama peserta Program Menu Rakyat 1 Malaysia di sini hari ini.

SRI AMAN, Khamis (15 Mac) – Peserta Program Menu Rakyat 1 Malaysia bebas menentukan kandungan makanan yang mereka tawarkan kepada pelanggan masing-masing di bawah program tersebut.

Dengan kata lain kerajaan tidak menentukan kandungan makanan yang harus disediakan dalam menu terbabit kata Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Sarawak (KPDNKK), Wan Ahmad Uzir Haji Wan Sulaiman.

“Terdapat pengusaha gerai dan restoran makanan yang enggan menyertai program ini kerana mereka memikirkan bahawa kerajaan yang menentukan kandungan Menu Rakyat 1 Malaysia dan bukannya mereka.

“Justeru saya berharap agar para pengusaha gerai dan restoran yang mahu menyertai program ini faham bahawa kandungan Menu Rakyat 1 Malaysia sebenarnya ditentukan oleh mereka dan bukannya kita (kerajaan),” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Peserta Menu Rakyat 1 Malaysia di Bilik Mesyuarat Pejabat KPDNKK Bahagian Sri Aman hari ini.

Selain itu Wan Ahmad turut memberitahu bahawa sejumlah 92 buah kedai dan restoran makanan di negeri Sarawak telah menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia semenjak ia mula dilancarkan pada bulan Julai tahun lepas.

“Kerajaan mensasarkan pembabitan sejumlah 150 buah kedai dan restoran makanan untuk menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia berkenaan pada penghujung tahun ini.

“Justeru kita akan terus menghantar pegawai untuk meninjau restoran yang boleh menawarkan makanan (termasuk minuman) di bawah harga RM5 dan RM2.50 untuk sarapan pagi dari masa ke semasa,” katanya.

Kerajaan katanya juga akan membantu restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia ini dengan menyediakan banner iklan untuk mereka atau promosi menerusi laman web internet.

“Paling penting di sini ialah Program Menu Rakyat 1 Malaysia ini mampu membantu rakyat berpendapatan rendah dan juga mereka yang mahu berjimat-cermat dalam menikmati makanan di restoran,” katanya.

Terdahulu Wan Ahmad telah menyerahkan sijil kepada lima buah kedai makanan di Bandar Sri Aman yang menyertai program terbabit antaranya ialah Restoran Seribu Dinar, Nur Salam Cafe, Aman Briyani Cafe, Asam Pedas dan Gerai Seri Bestari.

Tamat,

Jimisar Autotrade Sri Aman lancar Mitsubishi Motors Malaysia


Caption: MENARIK...Noel (kiri) bersama Felanny (dua kanan) dan Fiona (kanan sekali) sedang menunjukkan tanda bagus ketika mempromosi Mitsubishi Triton VGT di premis syarikat Jimisar Autotrade hari ini.

SRI AMAN, Khamis (15 Mac) – Syarikat Jimisar Autotrade Sendirian Berhad iaitu pengedar sah bagi Mitsubishi Motors Malaysia telah melancarkan kenderaan pacuan empat roda terbaru yang diberi nama Mitsubishi Triton VGT di sini hari ini.

Sambil bertemakan ‘Hardcore Performance’atau Pahlawan, kenderaan 4 X 4 Mitsubishi Triton VGT ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 178 ps dengan kuasa kuda 2.5 (cc).

“Kenderaan 4 X 4 Mitsubishi Triton VGT (Variable Geometry Turbo) kali ini tampil dengan beberapa ciri menarik antaranya ialah Front Bumper Extender, Matte Black Roll Bar dan Automatic Climate Control.

“Jika mahukan kenderaan pacuan empat roda yang berdaya tinggi dan lasak maka kenderaan Mitsubishi Triton VGT adalah jawapan untuk mereka (pengguna),” kata perunding jualan Jimisar Autotrade Sdn Bhd iaitu Michael Felanny Egbert Mat.

Berbanding keluaran Mitsubishi Triton 2.5cc (136 ps) dan 3.2 cc (160ps) dahulu, Mitsubishi Triton VGT ini jelas beliau turut menawarkan keselesaan dan kepuasan terhadap pengguna dari segi kawalan, keselamatan, rekabentuk dan fungsi.

Mitsubishi Triton VGT ini kata Felanny menggunakan gear separa automatik disamping mempunyai sistem brek yang lebih besar, ABS with EBD, RISE (reinforced Impact Safety) dan banyak lagi.

Mitsubishi Triton VGT ini menurut beliau ditawarkan dalam tiga jenis warna iaitu White Solid, Black Mica dan Cool Silver Metallic dengan harga jualannya (termasuk insuran) mencecah RM105,812 untuk kegunaan individu.

“Manakala itu kenderaan Mitsubishi Triton VGT ini pula dijual (termasuk insuran) pada harga RM105,003.61 untuk syarikat persendirian dan RM105,914.33 untuk syarikat komersial.

“Justeru pihak kami menawarkan khidmat penyelenggaran secara percuma selama dua tahun dan rebat kepada mana-mana pelanggan yang menempah kenderaan terbabit di sini mulai sekarang,” katanya.

Terdahulu syarikat Jimisar Autotrade Sdn Bhd telah melancarkan kenderaan terbabit menerusi Majlis Pameran Mitsubishi Triton VGT sambil disaksikan oleh Pegawai Eksekutif Cawangan iaitu Noel Leong.

Tamat.









PTPL Kuchung adakan SCA Ghost Night



Caption:

1. UNTUK ALBUM...Adzhar (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama pelajar SCA pada majlis itu.

2. MERIAH... Adzhar (empat kiri) ketika meraikan Hari Jadi Pengarah Projek iaitu Optimun Lechu Wan ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

KUCHING, Khamis (15 Mac) – Seramai 100 orang pelajar Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Kuching telah menghadiri SCA Ghost Night yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Siaran media kepada Utusan Sarawak memberitahu program ini bertujuan untuk memberi perhargaan kepada pelajar cemerlang disamping mengeratkan hubungan di antara pelajar dan tenaga pengajar khususnya dari Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari.

Pengetua Kolej PTPL Sarawak, Aidil Adzhar Abu Samah ketika merasmikan majlis itu berharap  agar aktiviti terbabit dapat memberi penghargaan kepada pelajar SCA dan memotivasikan pelajar lain untuk berusaha dengan lebih gigih lagi selepas ini.

“Melalui aktiviti ini, PTPL Sarawak akan dapat melahirkan pelajar cemerlang, terbilang dan berwawasan. Saya berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang dan melibatkan semua sekolah yang ada di Kolej PTPL Sarawak,” katanya.

Terdahulu pelbagai acara menarik diadakan bersempena dengan Majlis SCA Ghost Night itu antaranya ialah persembahan tarian, lakonan dan nyanyian  termasuk sepuluh persembahan yang lain..

Kumpulan DSKU Sem 4 muncul johan persembahan tarian hip hop moden masa kini manakala tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan DSKU Sem 5 menerusi persembahan lakonan “I Jump U die” dengan kumpulan DSKU sem 1 muncul pemenang tempat ketiga.

Kategori King dan Queen Of The Night dimenangi oleh Mohd Nikman Jefferi, pelajar Jurusan Diploma Seni Kulinari semester 2 dan Siti Norshielawaty Junaidi dari jurusan Diploma Seni Kulinari semester 1.

Pelajar terbaik untuk Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari dimenangi oleh Fabian Henry dan juga Lee Ing Hua dari program Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pelancongan semester 5 dan 3.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengetua bahagian Akademik, Efida Nawawi dan juga Ketua Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari, Siti Normala Ibrahim.

Tamat