Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, March 24, 2012

Jabatan Hal Ehwal Veteran turun padang ke Pantu



Mugshot: LEFTENAN KOLONEL MONDAY JUHID

PANTU, Selasa (20 Mac) – Masalah kesempitan hidup yang melanda pasangan suami isteri Warga Emas dari Rumah Lanyau, Pantu akhirnya mendapat perhatian kerajaan setelah kisah mengenai mereka disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak (20 Mac).

Ia terbukti apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Negeri Sarawak iaitu Leftenan Kolonel Monday Juhid bersama rombongannya bertindak turun padang untuk menemui pasangan keluarga tersebut pada jam 2 petang hari ini.

“Pihak kami pun mengenalpasti masalah kemiskinan yang dihadapi oleh Chama anak Manchu, 68, dan isterinya iaitu Januri anak Samat, 60, setelah bertindak untuk turun padang menemui mereka.

“Atas sebab ini pihak kami telah bertindak membantu Chama untuk memohon bantuan Skim Kebajikan Sara Hidup, Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi tujuan tindakan selanjutnya selepas ini,” katanya.

Jabatan Hal Ehwal Veteran katanya juga akan membantu Chama untuk disenaraikan dalam e – kasih demi memudahkan pihak beliau membantu memohon rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin.

Malah pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran kata Monday juga akan membuat kad keahlian Persatuan Bekas Tentera Malaysia untuk Warga Emas terbabit bagi tujuan pengenalan identiti dan lain-lain urusan kemudahan berkaitan di masa akan datang.

“Berhubung masalah kad pengenalan pula, beliau (Chama) sudah pun boleh menuntut kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara, Kuching selepas ini setelah pihak kita memohon kad tersebut dihantar dari Putrajaya ke sini,” katanya.

Monday juga menasihatkan bekas tentera yang mengalami masalah kesulitan hidup agar bertindak melaporkan segera perkara terbabit kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk tindakan susulan selepas ini.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak Utusan Sarawak kerana membantu Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk menjejak bekas anggota tentera yang mengalami kesulitan hidup selama ini,” katanya.

Terdahulu Chama dan isterinya, Januri menetap di sebuah pondok usang selama 31 tahun setelah berhenti dari perkhidmatan Angkatan Tentera Darat Malaysia pada 22 Jun 1980 dahulu.

Beliau yang hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 hingga RM350 sebulan itu pernah mengalami kecederaan di lengan kiri dan dada akibat tembakan pengganas komunis ketika operasi di Sarikei pada tahun 1972.

Kedua-dua Warga Emas terbabit hanya dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Rayong, 31, yang kini sudah berumahtangga dan bekerja sebagai seorang mekanik di kawasan Pantu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment