Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, March 24, 2012

Rayong : Bersatu jayakan pembangunan


Caption: TERIMA KASIH...Rayong menerima cenderamata penghargaan daripada ketua kampung sambil disaksikan oleh Nyalau ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

ENGKILILI, Khamis (22 Mac) – Rakyat khasnya dari kawasan luar bandar dinasihat untuk terus sehaluan dalam politik demi mencipta masa depan pembangunan yang lebih cerah selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata faktor ini akan membolehkan rakyat terus bersatu dalam menjayakan lagi pembangunan yang dirancang di kawasan mereka dari masa ke semasa.

“Contohnya boleh kita lihat apabila saya dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak begitu sehaluan dalam politik hingga membolehkan proses pembangunan di kawasan Lubok Antu dan Engkilili berlangsung dengan pesat pada masa sekarang.

“Saya yakin rakyat akan terus menikmati kemajuan jika terus sehaluan dengan Barisan Nasional (BN) dalam politik selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kujat, Ijok Ulu, Batang Ai Ili, Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar agar tidak mensia-siakan nikmat kemajuan yang mereka kecapi sekarang dengan menyokong pihak pembangkang pada pilihan raya akan datang.

Rakyat katanya harus sedar bahawa nikmat kemajuan yang mereka kecapi sekarang adalah merupakan hasil usaha kerajaan BN dan bukannya pihak pembangkang hanya tahu melafazkan janji kosong ketika musim pilihan raya.

“Justeru harapan saya ialah agar rakyat di kawasan Engkilili terus bersatu hati menyokong Politik Pembangunan oleh kerajaan BN demi masa depan hidup mereka selepas ini,” katanya.

Terdahulu majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Bahagian Sri Aman itu telah dirasmikan oleh Nyalau sambil dihadiri oleh Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Nyalau menerusi majlis berkenaan juga turut menyerahkan geran kerajaan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM195,000 kepada 15 buah rumah panjang di situ.

Tamat.

No comments:

Post a Comment