Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, March 15, 2012

Kerajaan tak tentukan pemilihan Menu Rakyat 1 Malaysia - Wan Ahmad


Caption: BANGGA...Wan Ahmad (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama peserta Program Menu Rakyat 1 Malaysia di sini hari ini.

SRI AMAN, Khamis (15 Mac) – Peserta Program Menu Rakyat 1 Malaysia bebas menentukan kandungan makanan yang mereka tawarkan kepada pelanggan masing-masing di bawah program tersebut.

Dengan kata lain kerajaan tidak menentukan kandungan makanan yang harus disediakan dalam menu terbabit kata Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Sarawak (KPDNKK), Wan Ahmad Uzir Haji Wan Sulaiman.

“Terdapat pengusaha gerai dan restoran makanan yang enggan menyertai program ini kerana mereka memikirkan bahawa kerajaan yang menentukan kandungan Menu Rakyat 1 Malaysia dan bukannya mereka.

“Justeru saya berharap agar para pengusaha gerai dan restoran yang mahu menyertai program ini faham bahawa kandungan Menu Rakyat 1 Malaysia sebenarnya ditentukan oleh mereka dan bukannya kita (kerajaan),” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Peserta Menu Rakyat 1 Malaysia di Bilik Mesyuarat Pejabat KPDNKK Bahagian Sri Aman hari ini.

Selain itu Wan Ahmad turut memberitahu bahawa sejumlah 92 buah kedai dan restoran makanan di negeri Sarawak telah menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia semenjak ia mula dilancarkan pada bulan Julai tahun lepas.

“Kerajaan mensasarkan pembabitan sejumlah 150 buah kedai dan restoran makanan untuk menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia berkenaan pada penghujung tahun ini.

“Justeru kita akan terus menghantar pegawai untuk meninjau restoran yang boleh menawarkan makanan (termasuk minuman) di bawah harga RM5 dan RM2.50 untuk sarapan pagi dari masa ke semasa,” katanya.

Kerajaan katanya juga akan membantu restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1 Malaysia ini dengan menyediakan banner iklan untuk mereka atau promosi menerusi laman web internet.

“Paling penting di sini ialah Program Menu Rakyat 1 Malaysia ini mampu membantu rakyat berpendapatan rendah dan juga mereka yang mahu berjimat-cermat dalam menikmati makanan di restoran,” katanya.

Terdahulu Wan Ahmad telah menyerahkan sijil kepada lima buah kedai makanan di Bandar Sri Aman yang menyertai program terbabit antaranya ialah Restoran Seribu Dinar, Nur Salam Cafe, Aman Briyani Cafe, Asam Pedas dan Gerai Seri Bestari.

Tamat,

No comments:

Post a Comment