Caption: SEDIA...Ketua kaum dari DUN Bukit Begunan menyatakan kesediaan
untuk menyerahkan senarai nama golongan OKU dan hidup miskin di negeri ini
kepada DAP.
SRI AMAN, Selasa (13 Mac) - Para Ketua
Masyarakat dan Ketua Kaum dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan
mencadangkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) agar membantu semua Orang Kelainan
Upaya (OKU) dan rakyat miskin tegar di negeri ini.
Ia merupakan maklumbalas mereka terhadap tindakan DAP mewujudkan tabung
kebajikan bagi membantu seorang pekebun kurang upaya iaitu Frusis Lebi dari
Entulang, Sri Aman baru-baru ini.
“Kami rela menyerahkan senarai nama OKU dan juga rakyat yang masih hidup
melarat di kawasan DUN Bukit Begunan sekiranya DAP ingin membela nasib rakyat,”
kata Kaunselor Kaunselor Ronald Changir dari Entulang Jalai, Sri Aman.
Beliau menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan DAP bagi menyenaraikan
nama semua OKU dan rakyat miskin tegar dalam negeri ini untuk mendapat bantuan seperti mana yang bakal diterima oleh
Frusis itu nanti.
“Kenapa hanya Frusis sahaja yang mendapat bantuan daripada DAP sedangkan
masih ramai golongan OKU di negeri ini termasuk di DUN Bukit Begunan yang
memerlukan bantuan seperti itu?
“Bagi saya, tindakan mengumpul dana hanya untuk membantu Frusis tidak lebih
dari sekadar gimik politik DAP semata-mata,” menurut beliau ketika ditemui
media berhubung isu terbabit.
Ronald turut menambah bahawa Frusis tidak sedar bahawa beliau sebenarnya
telah dipergunakan oleh pihak pembangkang hanya demi meraih keuntungan politik
sempena pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu Tuai rumah Milu Gu dari Gua Dalam, Sri Aman berkata DAP harus
membuka tabung bantuan di DUN Bukit Begunan memandangkan terdapat ramai rakyat
yang lebih miskin berbanding Frusis di kawasan DUN berkenaan.
“Kami boleh senaraikan nama golongan rakyat miskin tegar dan OKU untuk DAP
supaya mereka sama-sama menerima bantuan seperti yang dinikmati oleh Frusis selepas
ini,” katanya.
Bekas Kaunselor Selimin Kring yang bersetuju
dengan pendapat Ronald dan Milu itu berharap agar DAP membantu golongan OKU dan
rakyat hidup melarat di negeri ini dan bukannya hanya kepada Frusis di masa
akan datang.
Terdahulu DAP sudah memulakan misi
mengumpul dana menerusi internet sehingga 14 Mac ini untuk membantu Frusis yang
dihentikan bantuan pertanian oleh Menteri Muda Pertanian, Datuk Mong Dagang
kerana didakwa menyokong pembangkang.
Tamat.
No comments:
Post a Comment