Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 2, 2012

Kelab Team Riadah Gym Hospital Sri Aman sertai Gimnasium Rakyat



Caption: TERIMALAH...Hata (kiri) sedang menyerahkan borang permohonan kepada Isaac sambil disaksikan oleh barisan ajk kelab menerusi majlis yang berlangsung di Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (1 Mac) – Kelab Team Riadah Gym Hospital Sri Aman telah menyahut seruan hidup sihat daripada kerajaan apabila seramai 32 orang ahli kelab tersebut mendaftar sebagai ahli Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman.

Borang pendaftaran terbabit telah diserahkan oleh pengerusinya iaitu Mohammad Hata Mazlan kepada Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman iaitu Isaac Stalin Simon menerusi upacara ringkas yang berlangsung di sini petang kelmarin.

Hata ketika ditemui berkata Kelab Team Riadah Gym Hospital Sri Aman mempunyai seramai 79 orang ahli yang terdiri daripada kakitangan Hospital Bahagian Sri Aman semenjak ia mula ditubuhkan pada 20 Februari lepas.

“Tujuan utama penyertaan kita dalam Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman ini adalah untuk mewujudkan budaya hidup sihat dikalangan kakitangan perubatan dengan melakukan aktiviti senaman pada setiap hari.

“Disamping itu ia juga dapat membantu semua kakitangan Hospital Bahagian Sri Aman untuk mencapai berat ideal (BMI atau Body Mass Indeks) seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini,” katanya.

Selain itu penyertaan Kelab Team Riadah Gym Hospital Sri Aman dalam aktiviti senaman di gimnasium kata Hata juga akan dapat dijadikan sebagai tauladan dikalangan orang awam dan kakitangan kerajaan yang lain selepas ini.

Justeru beliau berharap agar kakitangan jabatan kerajaan yang lain di kawasan Sri Aman dapat mengikut jejak langkah mereka dengan mengadakan aktiviti sihat pada masa akan datang.

“Kita juga sedang merancang untuk mengadakan lain-lain aktiviti kesihatan seperti senamrobik disamping menawarkan hadiah kepada mana-mana ahli yang berjaya menurunkan berat badan,” katanya.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyerahan borang pendaftaran itu ialah Timbalan Pengerusi Kelab Team Riadah Gym Hospital Sri Aman, Mohammad Yusari Luhi, Setiausahanya, Dayang Sabariah Abang Bujang dan Bendahari, Haji Ramli Usop.

Sesi latihan dan senaman di pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman ini akan dipantau dan dikendalikan oleh jurulatih yang dilantik oleh Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman iaitu Yakob Zamahri.

Tamat.




No comments:

Post a Comment