Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 2, 2012

PPWS Saratok adakan AGM


Caption: UNTUK ALBUM...Para perwakilan bergambar kenangan sebaik sahaja tamat mesyuarat agung berkenaan baru-baru ini.

SARATOK, Khamis (1 Mac)  -  Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Saratok telah mengadakan Mesyuarat Agung untuk memilih ahli jawatankuasa baru untuk sesi 2012-2015.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 45 orang ahli dari 17 cawangan PPWS Daerah Saratok itu telah diadakan di Dewan Sri Krian, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman kelmarin.

Menerusi mesyuarat tersebut, Rosetia Ila telah dipilih sebagai Pengerusi untuk menerajui PPWS Daerah Saratok bagi sesi tahun 2012-2015 sambil dibantu oleh Sayang Salim sebagai Timbalan Pengerusi  dan Hajijah Hussein selaku Naib Pengerusi. 

Manakala itu mantan Pengerusi PPWS Daerah Saratok iaitu Saftuyah Johari telah dilantik sebagai Setiausaha Kehormat dengan Sarimah Hassan pula diberi kepercayaan sebagai Bendahari Kehormat.

Lima orang ahli lagi telah dipilih untuk menganggotai barisan ahli jawatankuasa kerja persatuan terbabit iaitu Nor’ain Abdullah, Chempaka Haji Jobeli, Masna Mustapha, Suriati Ham dan dan Loha Ila.

Rosetia ketika berucap pada mesyuarat telah merakamkan sepenuh penghargaan dan rasa terima kasih kepada semua ahli yang telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin persatuan tersebut selama tiga tahun akan datang.

Justeru beliau mengharapkan bimbingan, kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak agar PPWS Daerah Saratok dapat merancang serta melaksanakan segala aktiviti bagi sesi 2012-2015 dengan jayanya.

“Kepercayaan yang puan-puan berikan kepada saya adalah merupakan satu amanah yang perlu saya tunaikan demi memartabatkan lagi status wanita di mata masyarakat pada masa akan datang,” kata beliau.

Turut hadir sebagai penyelaras mesyuarat tersebut ialah Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah Saibi, Pengelola PPWS Kawasan Sri Aman, Jenny Goh dan Bendahari Kehormat Kawasan Sri Aman, Roslane Anthony.

Tamat.

No comments:

Post a Comment