Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, March 7, 2012

Isu subsidi Frusis- Saya ada hak demokratik !! - MOng


Caption: UMUM...Mong (duduk tengah) ketika bersama Ketua Kaum sebelum menyatakan komen beliau berhubung isu pemberhentian bantuan kepada Frusis pada sidang media di sini hari ini.

SRI AMAN, Selasa (6 Mac) – Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang menegaskan bahawa beliau mempunyai hak demokratik untuk menghentikan pemberian bantuan pertanian terhadap pekebun kurang upaya (OKU) iaitu Frusis Lebi, 52, dari Rumah Anyai, Entulang Entawa, Sri Aman.

Berdasarkan kepada hak ini, keputusan itu kata beliau dibuat memandangkan Frusis adalah seorang penyokong tegar pembangkang dengan rumahnya dipercayai menjadi pusat operasi calon pembangkang dan simpanan bahan kempen pada pilihan raya umum lepas.

Frusis nyata mendapat lebih banyak bantuan pertanian daripada kerajaan berbanding lain-lain penduduk selama ini namun nampaknya bantuan itu seperti tidak dihargai oleh beliau.

“Ia membazirkan wang cukai yang dibayar oleh saya dan semua penduduk Malaysia apatah lagi penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan yang mungkin akan marah terhadap saya sekiranya mengetahui perkara itu selepas ini.

“Semua orang mempunyai hak demokratik begitu juga dengan saya. Justeru saya harus bertindak adil dengan memberikan bantuan kepada golongan OKU yang wajar memperoleh bantuan seperti itu berbanding beliau (Frusis),” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Begunan berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Dewan Suarah Sri Aman hari ini apabila isu mengenai perkara tersebut disiarkan dalam laman web portal malaysiakini.com semenjak beberapa hari lepas.

Selain itu pihak pembangkang kata Mong juga dialu-alukan untuk memberi bantuan kepada Frusis dari negeri di bawah tadbir pihak parti pembangkang seperti Selangor, Kelantan atau Kedah jika mereka mahu berbuat demikian selepas ini.

“Saya dipilih bukan berkhidmat untuk seorang individu sahaja namun untuk semua penduduk dalam kawasan DUN Bukit Begunan dan negeri Sarawak amnya. Saya percaya terdapat individu atau parti pembangkang menjadi dalang kepada timbulnya isu seperti ini,” kata beliau.

Terdahulu Frusis pernah mendapat bantuan berupa baja, benih pokok, mesin pemotong rumput, peralatan kejenteraan ladang, racun serangga dan pembinaan stor racun menerusi projek Diamond Longan, Fruit Farm Rehad, Farm Unit, SBPKP dan ACDA daripada pihak Jabatan Pertanian semenjak tahun 2002 hingga 2011.

Beliau juga turut mendapat pelbagai jenis bantuan daripada Jabatan Kebajikan bermula bulan Julai 1982 sebelum ia dihentikan pada Oktober 2011 apabila pendapatan beliau didapati melebihi daripada kadar yang dijangkakan iaitu mampu berdikari sendiri.

Beliau yang mengalami kecacatan di bahagian tangan dan kaki sebelum ini juga dilaporkan mempunyai keupayaan untuk hidup seperti individu normal seperti bermain bola, bercucuk tanam, menunggang motorsikal, memandu kereta, memanjat pokok dan membina pondok.

Tamat.

No comments:

Post a Comment