Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 2, 2012

Guru pendalaman luang masa memancing ikan hujung minggu


Caption: PUAS HATI...Gilbert (kanan) bersama Martin (kiri) ketika menunjukkan hasil tangkapan Ikan Runtun dan Toman ketika memancing di anak sungai kawasan ladang sawit di Keranggas, Pantu pada Ahad lepas.

PANTU, Rabu (29 Feb) – Guru yang mengajar di kawasan bandar sememangnya mempunyai banyak cara untuk memanfaatkan masa terluang ketika berlangsungnya cuti pada hari Sabtu dan Ahad.

Bagi mereka sudah bekeluarga, peluang terbabit akan dimanfaatkan untuk melancong ke lokasi tertentu atau pun berekreasi di beberapa buah kemudahan sukan dalam kawasan bandar yang dibina oleh kerajaan sebelum ini.

Namun begitu keadaan sebaliknya berlaku terhadap para guru di sekolah kawasan ulu sungai yang kita ketahui mempunyai lokasi terhad bagi memanfaatkan masa terluang bersama ahli keluarga masing-masing ketika waktu cuti tersebut.

“Saya yakin bahawa memancing menjadi aktiviti utama para guru di kawasan ulu sungai yang tidak pulang ke bandar ketika waktu hari Sabtu dan Ahad,” kata guru matapelajaran Bahasa Malaysia dari Sekolah Kebangsaan (SK) Keranggas, Pantu iaitu Gilbert Meur.

Beliau kebiasaannya mengambil peluang memancing ikan di kawasan anak sungai sekitar ladang sawit di Keranggas, Pantu bersama rakannya iaitu Martin Julong juga guru matapelajaran Bahasa Inggeris di sekolah terbabit.

Walaupun memancing di kawasan anak sungai mungkin tidak sehebat memancing di laut dalam namun hasil tangkapan yang diperoleh di situ kata Gilbert nyata amat memuaskan beliau bersama rakannya selama ini.

Hanya berbekalkan cacing dan anak ikan, beliau bersama rakannya Martin lazimnya akan mendapat ikan Runtu, Toman, Keli, Baung atau Tapah di kawasan anak sungai sekitar ladang sawit di situ.

“Saya bersama rakan akan memulakan aktiviti memancing ikan bermula dari jam 5.30 petang hingga 10 malam kerana ikan terutama sekali Keli paling gemar memakan umpan pada waktu itu.

“Boleh memancing pada waktu siang namun hasilnya mungkin tidak banyak berbanding waktu malam,” katanya sambil menambah aktiviti ini amat berfaedah dan boleh diamalkan oleh semua guru di sekolah kawasan pedalaman selepas ini.

Justeru Gilbert berharap agar aktiviti memancing ini dapat diamalkan oleh golongan guru dari sekolah kawasan pedalaman yang sudah bekerluaga demi menjimatkan kos perbelanjaan dapur masing-masing.

Tamat.


No comments:

Post a Comment