Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, August 27, 2012

Korbankan pagi raya demi tugas



Caption: SEDIA BERBAKTI...Suzana Kassim (kanan) bersama rakannya ketika melaksanakan tugas untuk mengawal dan menjaga kenderaan milik penduduk yang menunaikan sembahyang sunat di Masjid Bandar Sri Aman pada hari pertama sambutan Hari Raya di sini.

SRI AMAN, Sabtu (25 Ogos) – Acapkali menjelang perayaan utama, ramai penduduk akan lebih memberi fokus untuk mengambil hari cuti setelah berpenat-lelah bekerja untuk pihak syarikat mahupun kerajaan selama ini.

Namun niat seperti ini nyata amat berbeza buat diri Suzana Kassim apabila beliau sanggup mengorbankan sedikit masa bersama keluarga demi tugas ketika berlangsungnya sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Sri Aman.

Wanita aktif itu telah menawarkan dirinya untuk bertugas sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Rakyat atau RELA ketika para penduduk muslim sibuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya di Masjid Bandar Sri Aman pada 19 Ogos lepas.

“Saya sepatutnya meluangkan masa bersama ahli keluarga pada waktu pagi Hari Raya. Namun begitu disebabkan oleh faktor tugas, saya telah korbankan sedikit masa ini untuk pergi ke Masjid Bandar Sri Aman,” katanya.

Menurut Suzana, beliau telah bertugas sebagai anggota RELA bagi mengawal keadaan trafik disamping memantau keselamatan kenderaan milik penduduk Islam yang menunaikan sembahyang sunat di masjid tersebut.

Katanya kehadiran beliau dan rakan anggota RELA yang lain nyata memainkan peranan cukup penting walaupun mereka terpaksa mengorbankan sedikit masa bersama ahli keluarga ketika hari pertama sambutan perayaan ini.

“RELA bertugas tanpa mengira waktu. Kita perlu memikirkan perkara ini terlebih dahulu sebelum tekad untuk menyertai RELA khasnya bagi golongan wanita yang mahu bergiat aktif dalam pasukan seperti ini pada masa akan datang.

“Justeru kami amat berterima kasih kepada pihak Masjid Bandar Sri Aman kerana menyedari kepentingan peranan RELA dalam membantu hal ehwal pengurusan kenderaan penduduk di lokasi mereka selama ini,” katanya.

Selain menyertai RELA, Suzana juga bergiat aktif dalam Perkumpulan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS) apabila memegang jawatan pengerusi bagi PPWS Kampung Hulu Sri Aman.

Tamat.


Jangan jadikan blog sebagai gelanggang burukkan kerajaan - Nyalau



Caption: RASMI... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang memotong reben yang terikat pada belon sebagai simbolik perasmian Kampung Tanpa Wayar 1 Malaysia Kampung Kutai, Lubok Antu baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Sabtu (25 Ogos) - Golongan remaja dinasihatkan agar tidak menjadikan blog di internet sebagai sebagai ‘gelanggang’ bagi mereka untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata kemudahan internet disediakan oleh kerajaan bagi tujuan kebaikan diri mereka sendiri dan bukannya untuk menghentam BN secara sengaja.

“Perbuatan mencaci ataupun memburukkan kerajaan BN adalah tidak bertanggungjawab. Ini kerana internet boleh digunakan bagi tujuan kebaikan antaranyla untuk mencari kerja atau melayari maklumat berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Kampung Tanpa Wayar 1 Malaysia yang berlangsung di Rumah Alang, Kampung Kutai, Lubok Antu di sini baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan rakyat rakyat di kawasan luar bandar agar tidak menjadi mangsa kepada janji manis pihak parti pembangkang yang kini giat berkempen dalam kawasan mereka pada masa sekarang.

Menurut beliau parti pembangkang terutama sekali Parti Pekerja Sarawak (SWP) telah menaburkan banyak janji yang tidak masuk akal demi mencapai impian mereka untuk memerintah negara ini.

“Disebabkan oleh faktor inilah pihak pembangkang (SWP) sengaja mereka-reka cerita dengan tujuan agar rakyat percaya dengan perkara yang umumkan pada satu-satu majlis itu,” katanya.

Nyalau menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM22,000 kepada JKKK Kampung Kutai dengan RM5,000 lagi diperuntukan kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Tamat.



Jangan abai aspek perpaduan - Harden


Caption: UNTUK ALBUM... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden bersama isteri, Datin Simba ketika merakamkan gambar kenangan bersama ahli rombongan dan ketua kaum di hadapan pintu gerbang Kampung Muhibbah kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (25 Ogos) –  Rakyat berbilang kaum di negeri ini tidak harus mengabaikan betapa pentingnya aspek perpaduan yang diterapkan dalam kehidupan diri masing-masing selama ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata hubungan perpaduan seperti ini akan mewujudkan kestabilan politik negara khasnya dalam negeri Sarawak dari masa ke semasa.

“Atas sebab inilah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering mengalakkan semua rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk saling bersatu-padu dan hidup dalam satu rumpun bangsa demi mengeratkan hubungan perpaduan dikalangan mereka.

“Saya yakin kestabilan politik yang wujud hasil daripada hubungan perpaduan ini akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara khasnya negeri Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Muhibbah, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Harden juga berharap agar rakyat berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman untuk mengutamakan kepentingan pembangunan hidup daripada kepentingan peribadi masing-masing.

Dengan kata lain rakyat berbilang kaum kata beliau perlu terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) demi menjamin masa depan pembangunan hidup mereka selepas ini.

“Kerajaan BN dapat menjamin masa depan hidup rakyat dalam negara ini termasuk Sarawak dari segi pelbagai aspek sekiranya terus mendapat sokongan daripada mereka pada PRU13 akan datang.

“Justeru saya berharap agar sokongan rakyat terhadap Kerajaan BN tidak diganggu oleh kepentingan peribadi masing-masing berbanding pembangunan pada PRU13 ini nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Harden bersama isteri, Datin Simba Nalang serta ketua kaum dalam kawasan Sri Aman telah meluangkan masa untuk berkunjung ke beberapa buah perkampungan Melayu di Sri Aman bersempena perayaan terbabit.

Tamat.

Belia dari Gawang, Simunjan bangga terima Laptop


Caption: BANGGA...Andy Bara dari Gawang, Simunjan menunjukkan Komputer Riba 1 Malaysia yang telah diperoleh beliau menerusi majlis penyerahan kemudahan tersebut di Jaong, Pantu pada bulan Julai lepas.

SRI AMAN, Sabtu (25 Ogos) – Pemberian Komputer Riba 1Malaysia untuk rakyat perlu dianggap sebagai satu hadiah yang ternilai daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) demi mempertingkatkan hidup mereka selepas ini.

Ia merupakan pendapat seorang belia dari Kampung Gawang, Simunjan iaitu Andy anak Bara yang telah mendapat bantuan kemudahan tersebut menerusi satu majlis di Jaong, Pantu pada bulan Julai lepas.

Katanya adalah tidak mudah bagi rakyat di kawasan luar bandar untuk mendapat kemudahan seperti itu memandangkan Komputer Riba adalah mahal dikalangan mereka yang hanya hidup berdasarkan pendapatan hasil tani.

“Saya adalah seorang belia bertuah yang terpilih untuk menerima kemudahan ini secara percuma memandangkan harga satu unit komputer riba mencecah ribuan ringgit dan tidak mampu dibeli oleh kita.

“Pemberian kemudahan ini secara tidak langsung melambangkan keprihatinan kerajaan BN dalam merapatkan lagi jurang digital di antara rakyat di kawasan dalam dan luar bandar negeri ini,” katanya.

Selain itu rakyat yang telah menerima kemudahan terbabit secara percuma menurut Andy haruslah menghargai pemberian tersebut dengan menggunakan komputer riba itu bagi tujuan berfaedah selepas ini.

Komputer riba terbabit kata beliau haruslah digunakan bagi tujuan pengurusan maklumat dan bukannya untuk diguna bagi melayari pelbagai maklumat tidak berfaedah dalam internet.

“Lagipun jangan jual komputer riba kepada orang lain. Tindakan seperti ini sekaligus mengambarkan sifat tidak amanah kita terhadap kemudahan yang sudah diberikan oleh kerajaan.

“Jaga dengan baik kemudahan ini. Berterima kasihlah terhadap kerajaan BN yang sudah mengeluarkan peruntukan berbilion ringgit bagi memboleh rakyat menerima komputer riba tersebut secara percuma selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Andy adalah merupakan salah seorang dari 1,250 orang penerima Komputer Riba 1Malaysia yang sedang diagihkan oleh kerajaan menerusi Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat kepada rakyat di kawasan parlimen beliau pada masa sekarang.

Tamat.






KRT Tanjung Engkabang adakan rumah terbuka Raya



Caption: MERIAH...Para penduduk ketika mengadakan kunjungan ke Majlis Rumah Terbuka sempena perayaan Hari Raya anjuran KRT Tanjung Engkabang hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (24 Ogos) – Suasana sambutan perayaan Hari Raya di Sri Aman telah dimeriahkan lagi menerusi penganjuran Majlis Rumah Terbuka anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang hari ini.

Majlis yang turut mendapat kerjasama daripada pihak Pasukan Bomba Sukarela Tanjung Engkabang itu telah berlangsung di kediaman pengerusi KRT terbabit iaitu Mas Mashore Haji Maslem.

“Majlis ini melibatkan semua ahli dan penduduk dari kampung berdekatan. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara semua penduduk dalam sama-sama menjayakan penganjuran sesebuah aktiviti itu.

“Ia juga secara tidak langsung dapat menjadikan KRT Tanjung Engkabang sebagai sebuah persatuan yang aktif dalam menjayakan mana-mana aktiviti pada masa akan datang,” kata Mashore.

Selain itu penganjuran majlis seperti ini kata beliau juga menyokong perlaksanaan Gagasan 1Malaysia apabila penduduk bukan Islam turut sama menghadiri majlis rumah terbuka tersebut.

Malah majlis ini kata Mashore juga akan dapat mewujudkan hubungan perpaduan yang lebih kukuh di antara penduduk berbilang kaum dalam bandar Sri Aman pada masa akan datang.

“Justeru pihak KRT Tanjung Engkabang telah bercadang untuk mengadakan Majlis Kunjung-Mengunjung Antara KRT di kawasan Sri Aman pada perayaan Hari Raya Aidilfitri atau lain-lain perayaan utama pada tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu Majlis Rumah Terbuka anjuran KRT dan Pasukan Bomba Sukarela Tanjung Engkabang ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem.

Tamat.




Mantan pengerusi PPWS terima kunjungan raya


Caption: UNTUK ALBUM...Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Saidah Saibi (duduk tengah) bersama para ahli ketika mengadakan kunjungan Hari Raya ke rumah mantan pengerusi perkumpulan tersebut malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat  (24 Ogos) – Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman telah mengadakan kunjungan perayaan Hari Raya Aidilfitri di kediaman beberapa orang bekas pengerusi perkumpulan tersebut malam tadi.

Rombongan PPWS Kawasan Sri Aman yang telah diketuai oleh Saidah Saibi bersama enam orang ahli jawatankuasa perkumpulan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara para ahli dan mantan pengerusinya dari masa ke semasa.

“Ia merupakan satu platform buat PPWS untuk memberi penghormatan terhadap mereka yang pernah meneraju dan berjasa dalam  memajukan lagi perkumpulan tersebut sebelum ini.

“Justeru kunjungan seperti ini telah diterapkan sebagai amalan tradisi untuk mewujudkan kemesraan di antara ahli PPWS dan mantan pengerusi perkumpulan tersebut acapkali menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun,” kata Saidah.

Beliau turut menambah bahawa PPWS Kawasan Sri Aman akan terus mengadakan aktiviti seperti ini setiap tahun sebagai satu usaha untuk mendekati para ahli dengan perjuangan PPWS.

Terdahulu PPWS Kawasan Sri Aman telah mengadakan kunjungan ke kediaman mantan pengerusi perkumpulan tersebut antaranya ialah Balkis Haji Wahed, Khamis Sita Wasli, Latipah Mantali dan Nur Khatijah Abdullah.

Kesemua mereka yang dilawati melahirkan rasa amat terharu di atas kunjungan para ahli jawatankuasa berkenaan dan berjanji akan sentiasa memberikan kerjasama kepada PPWS Sri Aman selepas ini.

“Saya merasa amat kagum dan terharu terhadap kunjungan ini. Ia nyata sangat bermakna buat saya kerana aktiviti ini akan dapat merapatkan rasa kekitaan dalam berpersatuan,” kata Latipah yang pernah menjadi pengerusi pada tahun 2008 hingga 2010.

Tamat.

Keluarga miskin dari Sebangkoi Gerunggu, Simunjan perlu bantuan







Caption:

1. USANG...Willie bersama isteri ketika berada di hadapan kediaman usangnya dalam kawasan Rumah Ranggau, Sebangkoi, Simunjan.

2. APAKAN DAYA...Isteri Willie iaitu Charirie sedang sibuk menguruskan simpanan air dalam pondok kecil bilik mandi yang terpaksa dibina luar perkarangan rumah usang mereka.

3. REPUT...Willie sedang menunjukkan lantai rumah yang sudah reput dan perlu dibaiki dengan segera demi mengelakkan perkara buruk berlaku selepas ini.

4. STOK...Willie juga rajin berusaha untuk membina rumah baru dan ia dibuktikan dengan simpanan batu-bata bagi tujuan itu. Namun ia nyata masih tidak cukup berdasarkan kepada tahap pendapatan beliau pada masa sekarang.

5. SERBA KEKURANGAN...Dapur juga terpaksa berada dalam satu ruang yang sama dengan bilik tamu dan bilik tidur disebabkan oleh faktor keperitan hidup keluarga berkenaan selama ini.

SIMUNJAN, Jumaat (24 Ogos) – Sebuah keluarga miskin dari Rumah Ranggau, Belilie, Sebangkoi, Simunjan memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan berhubung keperitan hidup yang ditanggung oleh mereka semenjak 15 tahun lepas.

Wille Sela Rami, 58, telah menanggung masalah keperitan hidup dengan menetap di sebuah rumah usang di Sebangkoi bersama isterinya iaitu Charirie Saloi, 61, dan tiga orang anak iaitu Christopher, 23, Andrew, 19, Catherine, 16, dan Ferro, 13 tahun.

“Saya bekerja sebagai seorang buruh binaan di Kuching demi menyara hidup isteri dan empat orang anak selama ini,” kata beliau ketika ditemui Utusan Sarawak di kediaman usangnya kelmarin.

Beliau tidak mampu menyara kehidupan keluarga dengan bercucuk tanam, menoreh getah atau menanam lada disebabkan ketiadaan tanah dalam kawasan kampung halamannya sendiri.

Keadaan ini telah memaksa Willie untuk bekerja sebagai seorang buruh binaan dengan membawa isteri serta keempat-empat orang anaknya untuk tinggal di pondok pekerja di Kuching.

“Saya tidak rela meninggalkan anak dan isteri di rumah usang dalam kampung. Disebabkan oleh faktor inilah saya terpaksa membesarkan kesemua anak-anak saya di pondok buruh binaan di Kuching.

“Anak-anak yang tinggal di pondok buruh binaan tidak akan dapat bersekolah. Begitulah keadaan yang terjadi terhadap kesemua empat orang anak saya yang tidak pernah mendapat pendidikan sempurna semenjak dari kecil hingga sekarang,” katanya.

Kekurangan dari segi pendidikan sempurna ini kata Willie menyebabkan anak beliau iaitu Christopher dan Andrew yang kini sudah pun berkahwin hanya mampu bekerja sebagai buruh binaan.

Anak perempuan beliau iaitu Caterine juga sudah mendirikan rumahtangga bersama seorang buruh binaan dengan anak bongsunya iaitu Ferro masih berada di bawah jagaan mereka hingga sekarang.

“Saya juga rajin berusaha untuk membina rumah baru dengan wang dari Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM500 sebelum ini telah saya gunakan untuk membeli batu-bata bagi tujuan itu.

“Namun ia masih tidak cukup. Atas sebab itulah saya pernah memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Simunjan untuk membina rumah baru semenjak 10 tahun lepas,” katanya.

Willie mengakui hanya menerima surat daripada pihak JKM yang mengesahkan bahawa mereka menerima borang permohonan bantuan tersebut namun tidak pernah mendapat tindakan lanjut hingga sekarang.

“Nama saya juga pernah tersenarai dalam e-kasih pada empat bulan lepas. Namun khabar gembira yang saya nantikan bagi program bantuan rumah baru tidak pernah kunjung tiba hingga ke masa sekarang.

“Justeru saya merayu pihak kerajaan menerusi JKM untuk turun padang bagi membantu hidup saya dan keluarga selepas ini. Mendapat rumah baru sudah cukup baik bagi menaiktaraf hidup kami sekeluarga di masa akan datang,” kata Willie.

Beliau yakin kediaman baru yang diberi oleh kerajaan akan membolehkan cucunya bersekolah di kampung halaman sendiri daripada tinggal dalam pondok buruh binaan di Kuching tanpa mendapat pendidikan sempurna selepas itu.

Terdahulu tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa kedudukan ruang tamu, dapur dan bilik tidur berkongsi dalam satu ruang rumah yang sama dengan bilik mandi dibina di kawasan luar kediaman beliau.

Kehidupan keluarga Willie boleh dianggap amat daif dan memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan bagi membolehkan mereke menikmati kesenangan hidup seperti lain-lain keluarga di Simunjan pada masa akan datang.

Tamat.


Sunday, August 26, 2012

Buletin Kenyalang berniat jahat kata Tr Alex Libau


Mugshot: TUAI RUMAH ALEX LIBAU

SRI AMAN, Jumaat  (24 Ogos) – Paparan mengenai isu yang berkaitan dengan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat di Buletin Kenyalang semenjak akhir-akhir ini adalah berniat politik jahat demikian menurut tuduhan Tuai Rumah Alex Libau dari Balai Ringin, Serian.

Ia merupakan respon beliau terhadap kenyataan editor Buletin Kenyalang terbabit iaitu Dr Ambrose Labang di akhbar Utusan Sarawak pada 24 Ogos yang memberitahu bahawa pihaknya bersedia untuk disaman oleh Masir selepas ini.

“Persoalannya ialah mengapa Buletin Kenyalang mahu memaparkan isu yang berkaitan Ahli Parlimen Sri Aman tersebut pada saat menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang? Ini nyata niat yang tidak ikhlas untuk membantu rakyat.

“Jika pembaca Buletin Kenyalang adalah bijak maka mereka akan cepat ‘menghidu niat politik’ yang cuba disajikan oleh akhbar tabloid berbahasa Iban itu pada dua isu lepas,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Logik disebalik perkara ini katanya ialah apabila seorang ahli perniagaan iaitu Donald Lawan dipromosi sebagai calon Bebas yang berkelayakan di Buletin Kenyalang ketika isu mengenai keburukan Masir buat pertama kalinya dipaparkan dalam akhbar terbabit.

Alex mahu rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman sedar bahawa Buletin Kenyalang mahu mengangkat Donald Lawan untuk menjadi wakil rakyat mereka bagi mengantikan Masir Kujat menerusi kempen akhbar tersebut.

“Semua orang tahu siapa pemilik sebenar Buletin Kenyalang. Jadi tidak hairanlah akhbar tabloid berkenaan tidak berhenti-henti menyerang peribadi Masir dan pembantunya Abah Unggi kerana ia berniat politik kotor.

“Justeru rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman perlu berhati-hati ketika membaca isu yang berkaitan dengan wakil rakyat mereka di Buletin Kenyalang selepas ini kerana tujuannya adalah mahu menjatuhkan Masir pada PRU-13 akan datang,” katanya.

Beliau juga akan membongkar kisah sebenar disebalik tindakan individu-individu yang sudah disuap oleh Buletin Kenyalang untuk mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Masir menerusi satu majlis rasmi di Balai Ringin pada 8 September kelak.

“Buletin Kenyalang juga pernah bertindak demikian untuk menjatuhkan mantan Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Jimmy Donald pada pilihan raya tahun lepas 2008 dan sekarang mereka menjadikan Masir Kujat sebagai sasaran.

“Kami sebagai rakyat sejati di kawasan Balai Ringin tahu mengenai pergolakan politik di sini. Kalau anda sendiri menjadi rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman maka anda sedar mengenai niat politik yang cuba dipaparkan oleh akhbar tersebut,” katanya.

Tamat.








Parlimen Sri Aman berhadapan pertandingan 4 penjuru - Masir


Caption: SERIUS...Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang menyampaikan amanatnya ketika berlangsungnya Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sengkuang Ulu, Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (23 Ogos) – Parlimen Sri Aman dijangka akan berhadapan dengan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang kata penyandang kerusi parlimen tersebut, Masir Kujat.

Kerusi Parlimen Sri Aman yang dimiliki oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) semenjak tahun 2008 lepas katanya dijangka berhadapan dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan pihak Bebas.

“Barisan Nasional (BN) menerusi PRS akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman daripada ketiga-tiga lawan terbabit (SWP, PKR @ DAP dan BEBAS menjelang PRU-13 kelak.

“Ini negara demokrasi dan mana-mana pihak pun boleh bertanding. Justeru saya menerusi mandat yang telah diberikan oleh BN sebelum ini akan terus bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman bagi pihak PRS,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Thomas Laman, Sengkuang Ulu, Undop, dalam kawasan Batu Lintang Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mahu rakyat sedar bahawa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN pada masa sekarang tidak akan tertangguh sekiranya rakyat terus memilih mereka selepas PRU nanti.

“Jika BN menang maka pembangunan itu akan dapat diteruskan,” kata Masir sambil menambah bahawa projek bernilai RM20,000 bagi menaiktaraf sistem peparitan di kawasan Sengkuang sudah pun diluluskan pada masa sekarang.

Terdahulu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sengkuang Ulu, Undop ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Mohd Nor Ismail, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, Melay Tingom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut manakala Masir pula mengumumkan peruntukan bernilai RM8,000 untuk rumah panjang berkenaan.

Tamat.



Kelab Imigresen LTAK buat kebajikan


Caption: IKHLAS...Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Haji Hamfatullah Syawal menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Penyelaras Kompleks Kebajikan Laila Taib, Ustaz Haji Mohd Salleh sambil diperhatikan oleh (dari kiri), Abdul Malik, Kamarol, Nelson Naga, Mehuen dan Ijah di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak pada bulan Ramadhan lepas.

Nelson Naga Alam

SRI AMAN, Khamis (23 Ogos) - Badan Kebajikan dan Sosial, Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang berada di bawah naungan Kamarol Haji Johari turut tidak ketinggalan untuk menyumbang bakti kepada golongan anak-anak yatim.

Ia terbukti apabila badan itu mengadakan lawatan ke Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan lepas untuk menyampaikan sumbangan wang bernilai RM800 kepada pertubuhan tersebut.

Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu sumbangan ini adalah merupakan hasil kutipan daripada para pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) melalui badan tersebut.

“Sumbangan ini bertujuan untuk membolehkan anak-anak yatim di pertubuhan berkenaan bersama-sama menikmati kemeriahan suasana menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula pada 19 Ogos lepas,” kata kenyataan berita tersebut.

Terdahulu upacara ringkas penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Haji Hamfatullah Syawal Bin Hamdan kepada Penyelaras Kompleks Kebajikan Laila Taib, Ustaz Haji Mohd Salleh Hamdin.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara ringkas berkenaan ialah Ketua Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Kamarol Haji Johari dan kakitangannya yang lain termasuk Abdul Malik, Kamarol, Nelson Naga, Mehuen dan Ijah.

Tamat.

Remaja 16 tahun dari Sungai Merah, Pantu maut dalam kemalangan



PANTU, Khamis (23 Ogos) – Seorang remaja lelaki meninggal dunia di Hospital Sri Aman pada malam Selasa lepas setelah motorsikal yang ditunggang olehnya terlibat dalam kemalangan di perkampungan Selantik Ili, Pantu, Sri Aman.

Remaja berusia 16 tahun dari perkampungan Sungai Merah, Pantu itu sedang dalam perjalanan pulang dari Pekan Pantu ketika motorsikal yang ditunggangnya hilang kawalan berdekatan dengan rumah seorang penduduk di kampung Selantik Ili berkenaan.

“Saya sendiri menyaksikan motorsikal yang ditunggang oleh mangsa hilang kawalan dan terus berpusing empat kali sebelum terbabas ke kawasan longgokan kayu yang terdapat di tepi jalan berkenaan sekitar jam 6 petang.

“Remaja tersebut mengalami kecederaan parah di kepala. Berita mengenai kemalangan terbabit terus dimaklumkan kepada keluarga di Kampung Sungai Merah untuk tindakan tersebut,” kata seorang saksi.

Mangsa terus dihantar ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk tujuan rawatan lanjut namun terpaksa dirujuk ke Hospital Bahagian Sri Aman pada waktu malam hari kejadian berkenaan.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan telah meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalam kepala sebelum dirujuk Hospital Bahagian Sri Aman sekitar lewat malam pada hari kejadian berkenaan.

Mayat mangsa telah diberi penghormatan terakhir di kampungnya sendiri sebelum ia dikebumikan pada pagi hari Jumaat ini di Pantu.

Tamat.

Utamakan kepentingan rakyat bukan diri sendiri - Nyalau


Caption: DARI BN... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang menyampaikan cek peruntukan kerajaan kepada seorang penerima bersempena dengan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bukong, Engkilili baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Rabu (22 Ogos) – Tuai Rumah di kawasan Lubok Antu diingatkan agar memberi kerjasama terhadap penghuni rumah panjang masing-masing jika mereka mengemukakan mana-mana jenis borang rasmi untuk ditandangani selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata terdapat segelintir Tuai Rumah bertindak enggan menurunkan tandatangan di borang yang dikemukakan oleh para penghuninya berikutan hal salah-faham sebelum itu.

“Tindakan para Tuai Rumah berhubung perkara ini nyata salah di sisi undang-undang dan juga bertentangan dengan tugas yang telah diberikan oleh kerajaan kepada mereka selama ini.

“Keadaan nyata lebih ‘parah’ jika borang itu berkaitan dengan hal pembangunan daripada pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan para penghuninya gagal menikmati faedah tersebut selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Nyalau, Bukong, Engkilili anjuran Jabatan Hal Elwal Khas (JASA) Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan para Tuai Rumah agar tidak menjadikan para penghuni rumah panjang sebagai mangsa untuk menanggung masalah peribadi yang dilalui oleh diri mereka sendiri.

“Justeru saya menasihatkan para Tuai Rumah agar menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengurus dan mentadbir hidup penghuni rumah panjang di kawasan masing-masing tanpa melibatkan kepentingan diri selepas ini,” katanya.

Nyalau pada majlis itu mengumunkan peruntukan sebanyak RM7,000 kepada JKKK Bukong dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang terbabit dengan RM10,000 lagi diumum bagi membina stor simpanan peralatan dapur biro wanita Bukong.

Turut hadir sama pada majlis itu Penyelia JASA Parlimen P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, para Guru Besar dari kawasan Daerah Lubok Antu dan ketua kaum di sini.

Tamat.

700 penduduk banjiri Masjid Darul Syakirin




Caption:

1. MERIAH...Penduduk Islam dari Kampung Muhibbah, RPR Fasa I dan RPR Fasa II ketika mendengar khutbah daripada Imam I, Haji Wan Masra di Masjid Darul Syakirin pada hari pertama sambutan perayaan Hari Raya lepas.

2. TERIMALAH... Imam I, Haji Wan Masra  bersama Pengerusi Masjid Darul Syakirin, Haji Ahmad Yak sedang menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak sebaik sahaja tamat sembahyang sunat Hari Raya di Masjid Darul Syakirin.

SRI AMAN, Rabu (22 Ogos) – Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah Sri Aman telah menjadi tumpuan penduduk beragama Islam yang mahu menunai sembahyang sunat pada sambutan hari pertama Perayaan Hari Raya Aidilfitri lepas.

Ia terbukti apabila sejumlah 700 orang penduduk Islam dari Kampung Muhibbah, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa I dan RPR Fasa II memenuhi Masjid Darul Syakirin bagi tujuan itu.

“Sembahyang sunat Hari Raya bersama dengan 700 orang penduduk Islam di sini telah diimamkan oleh Imam I Masjid Darul Syakirin Kampung Muhibbah Sri Aman iaitu Haji Wan Masra Tunku Udin.

“Selepas itu, Pengerusi Masjid Darul Syakirin, Haji Ahmad Yak bersama Wan Masra telah diberi penghormatan untuk menyampaikan sumbangan raya kepada kanak-kanak yang hadir di masjid itu,” kata jurucakapnya Ramli Abu Sera.

Selain itu perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini katanya juga nyata cukup meriah kerana ia menghimpunkan para penduduk Islam dari tiga buah penempatan yang terdapat dalam bandar Sri Aman ini.

Ia sekaligus menurut beliau dapat mewujudkan hubungan perpaduan antara ummah dan sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan perpaduan antara penduduk dari ketiga-tiga buah penempatan itu di masa akan datang.

“Malahan penduduk Islam di Kampung Muhibbah juga berasa amat gembira apabila menerima kunjungan rakan bukan muslim pada perayaan Hari Raya pertama dan kedua ini tadi.

“Ia sekaligus dapat menjayakan konsep 1 Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita dalam mewujudkan keharmonian di antara penduduk berbilang kaum dan agama di negara ini dari masa ke semasa,” katanya.

Tamat.





Masir tuntut Buletin Kenyalang kemuka permohonan maaf


Mugshot: MASIR KUJAT...Menuntut pihak Buletin Kenyalang memohon maaf terhadap beliau hingga 25 Ogos ini berhubung laporan palsu terhadap beliau menerusi akhbar itu.

SRI AMAN, Rabu (22 Ogos) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah mengemukakan surat tuntutan permohonan maaf kepada pihak Buletin Kenyalang berhubung laporan berunsur fitnah yang telah dilemparkan terhadap beliau oleh akhbar itu sebelum  ini.

Perkara berhubung surat tuntutan permohonan maaf terbabit telah diumumkan oleh beliau sendiri kepada pihak media menerusi kiriman teks Sistem Pesanan Ringkas atau SMS pada hari ini.

“Surat tuntutan permohonan maaf berhubung perkara terbabit telah dikemukakan penasihat undang-undang saya kepada pihak akhbar Buletin Kenyalang dan editornya pada 14 April lepas.

“Kita jangka bahawa pihak buletin tersebut akan menerima surat terbabit pada hari ini (22 Ogos) dan perlu menjawabnya dalam tempoh tiga hari bermula dari tempoh itu hingga ia berakhir pada 25 Ogos kelak,” katanya.

Masir ketika dihubungi media untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata pihak beliau akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak Buletin Kenyalang gagal memenuhi tuntutan surat berkenaan selepas 25 Ogos ini.

“Dua isu akhbar Buletin Kenyalang sebelum ini telah memuatkan isu berunsur fitnah yang bertujuan mahu menjatuhkan kedudukan saya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Saya masih lagi belum merujuk isu terbaru buletin tersebut pada masa sekarang. Justeru rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman perlu sedar bahawa saya tidak akan berdiam diri terhadap fitnah yang dilemparkan oleh buletin itu terhadap saya selama ini,” tegasnya.

Terdahulu Buletin Kenyalang adalah merupakan sebuah akhbar tabloib berbahasa Iban yang dipercayai mempunyai perkaitan dengan seorang ahli perniagaan di dalam negeri ini.

Selain memaparkan isu semasa mengenai artis rakaman Iban tempatan, Buletin Kenyalang juga pernah memuatkan isu mengenai Masir dan pembantunya Abah Unggie menerusi dua edisi akhbar tersebut sebelum ini.

Tamat.

Masjid Datuk Hijrah Simunjan dibanjiri 1,000 penduduk



Caption: FOKUS...Para jemaah sedang khusyuk mendengar khutbah ketika berlangsungnya solat sunah berjemaah di Masjid Darul Hijrah, Simunjan pada sambutan hari pertama perayaan Hari Raya Aidilfitri.

SIMUNJAN, Selasa (21 Ogos) –Seramai 1,000 orang membanjiri Masjid Darul Hijrah untuk solat sunat berjemaah pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012 di Pekan Simunjan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid berkenaan, Khalik Marzuki berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini amat meriah sehinggakan ruang masjid tidak mencukupi untuk menempatkan para jemaah.

“Ia sesuatu yang tidak kita jangkakan sebelum ini. Mungkin keadaan tersebut disebabkan oleh ramai penduduk muslim yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ,’ katanya. 

Selain itu jumlah pekerja ladang kelapa sawit dari negara jiran kata beliau juga menjadi faktor kepada berlakunya masalah ruang masjid yang tidak mencukupi ketika berlangsungnya sambutan hari pertama perayaan tersebut.

Golongan pekerja ini menurut Khalik nyata tidak mahu ketinggalan untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri di negara ini dengan menunaikan solat sunat berjemaah di Masjid Darul Hijrah, Simunjan.

“Ramai yang datang lewat hingga mereka terpaksa bersembahyang di ruang legar masjid berkenaan memandangkan ruang dalaman masjid sudah penuh sesak oleh para jemaah yang datang lebih awal.

“Ia telah membuktikan wujudnya kemeriahan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri di Simunjan bagi tahun ini,” katanya sambil menambah bahawa kemeriahan seperti itu akan mengeratkan hubungan silaturahim di antara mereka pada masa akan datang.

Terdahulu solat sunat berjemaah Aidilfitri yang berlangsung di Masjid Darul Hijrah, Simunjan pada tahun ini telah pun diimamkan oleh Imam 1, Masjid Darul Hijrah, Aban Napiri.

Tamat.

Raya berlangsung meriah di kampung Iban, Simunjan


Caption: MASIH MERIAH...Eric Banyeng (kanan) ketika melayan kedatangan para tetamu dari Kampung Kesindu, Simunjan pada perayaan Hari Raya di Sibau Rimbau kelmarin.

SIMUNJAN, Selasa (21 Ogos) – Penduduk Rumah Sebli, Sibau Rimbau, Simunjan nyata masih memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun perayaan tersebut sudah masuk pada hari yang kedua kelmarin.

Pemberita yang berpeluang untuk mengadakan kunjungan perayaan Hari Raya Aidilfitri di perkampungan majoriti penduduk Iban muslim itu mendapati bahawa hidangan juadah kali ini tampak berbeza berbanding tahun lepas.

Selain hidangan nasi himpit dan ketupat rendang, terdapat penduduk di Kampung Sibau Rimbau telah menghidangkan masakan Kari Rusa untuk dinikmati oleh pengunjung yang datang ke kediaman mereka bermula 20 Ogos lepas.

“Perayaan Hari Raya dianggap cukup istimewa untuk keluarga kami. Justeru Kari Rusa adalah salah satu juadah menarik untuk kami sajikan kepada ahli keluarga dan sahabat-handai di perayaan yang penuh mulia ini,” kata Eric Banyeng.

Beliau dan isteri berpendapat bahawa suasana sambutan perayaan Hari Raya tetap meriah di kalangan penduduk Iban beragama Islam di Kampung Sibau Rimbau pada setiap tahun.

“Suasana sambutan perayaan Hari Raya di sini tidak berbeza dengan suasana perayaan Hari Raya di perkampungan Melayu dalam negeri ini dengan adanya aktiviti bermain bunga api, gotong-royong membuat lemang dan sebagainya.

“Sebagai seorang penduduk Iban yang beragama Islam, saya dan ahli keluarga berasa amat bangga kerana dapat bersama penduduk Islam di negeri ini untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun,” katanya.

Manakala itu Mohd Saiful, 45, pula merasa amat gembira kerana sempat memeriahkan suasana perayaan Hari Raya pada tahun ini bersama anak-anak dan isteri setelah sekian lama bekerja di perantauan orang.

Menurut beliau adalah tidak mudah bagi penduduk Iban yang bekerja di syarikat perkapalan luar negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan penting bersama keluarga.

“Saya berasa amat bersyukur kerana dapat pulang ke kampung (Sibau Rimbau) untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga setelah tiga bulan berada di perantauan untuk mencari rezeki.

“Menerusi perayaan Hari Raya Aidilfitri inilah saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan anak-anak dan isteri disamping sahabat handai yang lain sebelum dipanggil semula untuk bekerja di luar negara,” katanya.

Tinjauan rambang juga mendapati bahawa terdapat beberapa buah perkampungan Iban di kawasan Batang Hulu Simunjan yang turut memeriahkan suasana sambutan perayaan raya ini termasuk Kampung Ruan dan Samalatong.

Tamat.


Rakyat perlu rajin sebar usaha pembangunan BN - Harden


Caption: UNTUK RAKYAT... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden menyampaikan komputer riba 1 Malaysia kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sengkuang Ulu, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (18 Ogos) – Rakyat perlu menyebarkan berita mengenai usaha pembangunan yang dilaksana oleh kerajaan kepada golongan rakyat yang masih berdegil untuk menerima kenyataan berhubung perkara itu selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Thomas Laman, Sengkuang Ulu, Undop, Batu Lintang Sri Aman kelmarin.

Katanya golongan yang masih ‘buta mata’ ini sudah terpengaruh dengan doktrin politik pihak pembangkang sehingga mereka sanggup menafikan segala usaha pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Golongan ini akan bergerak dan menghasut rakyat dengan mengatakan bahawa kerajaan pimpinan parti BN tidak mengambil berat mengenai usaha menaiktaraf kemajuan hidup mereka.

“Mereka sebenarnya sudah melihat perubahan hidup rakyat menerusi usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh BN namun ketamakan mereka terhadap kuasa politik menyebabkan mereka sanggup bertindak demikian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata bahawa pihak pembangkang kini bijak mengambil kesempatan terhadap projek pembangunan kerajaan bagi tujuan publisiti mereka sendiri.

Isu hakisan tanah di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke Sri Aman kata Harden boleh dijadikan sebagai satu contoh tepat untuk mengambarkan niat pihak pembangkang berhubung perkara tersebut.

“Apabila kerajaan sudah meluluskan projek bagi menangani masalah tersebut, pihak pembangkang terus mengambil kesempatan untuk mengambil gambar diri mereka sendiri di lokasi itu bagi tujuan publisiti di surat khabar.

“Mereka mendakwa projek itu dilaksanakan kerana tindakan mereka. Namun sebenarnya projek itu sudah pun dilakukan oleh kerajaan sebelum mereka memaparkan isu terbabit di surat khabar,” katanya.

Justeru Harden menasihatkan rakyat agar tidak mudah terperangkap dengan isu pembangunan yang dimainkan oleh pihak pembangkang di media cetak atau elektronik selepas ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Mohd Nor Ismail, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, Melay Tingom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut manakala Masir pula mengumumkan peruntukan bernilai RM8,000 untuk rumah panjang berkenaan.

Tamat.

Jangan bangkit lawan BN kata Rayong kepada penduduk


Caption: TERIMA KASIH...ADUN Engkilili, Dr Rayong menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Bata sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak pada majlis pemimpin bersama rakyat di Lidong baru-baru ini.

ENGKILILI, Sabtu (18 Ogos) – Rakyat di kawasan luar bandar Lubok Antu dinasihat agar tidak bangkit menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama Parti Pekerja Sarawak (SWP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata rakyat di kawasan luar bandar masih memerlukan BN untuk memajukan hidup mereka dari masa ke semasa dan bukannya pihak SWP.

“Rakyat seharunysnya sentiasa bersama kerajaan kerana hanya BN sahaja yang mampu meningkatkan taraf ekonomi dan seterusnya memberi kesenangan kepada hidup mereka di kawasan pedalaman.

“Lagipun rakyat harus tahu bahawa pihak pembangkang hanya petah bercakap tetapi tidak banyak bekerja untuk membantu membangunkan hidup rakyat di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan dari semua segi pembangunan,” katanya.

“Kita yang tinggal di kawasan pedalaman masih jauh ketinggalan dari arus pembangunan dan masih memerlukan pembelaan dari kerajaan BN, jadi buat apa kita menentang BN,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Panjang Bata, Kubal Batu, Lidong, Skrang dalam kawasan Engkilili baru-baru ini.

Selain itu kerajaan BN kata beliau juga mempunyai dasar dan konsepnya yang tersendiri untuk melaksanakan pelan pembangunan di dalam kawasan negeri ini berbanding parti pembangkang.

“Kerajaan pimpinan BN adalah demokratik dan cukup ideal kerana melalui kita sahajalah  rakyat memperolehi nikmat peningkatan taraf hidup hasil pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

“Kemenangan berterusan BN adalah hasil sokongan rakyat yang membolehkan kerajaan melaksanakan rancangan yang telah dirancang sebelum ini. Justeru saya meminta sokongan seperti ini dikekalkan pada PRU-13 akan datang,” katanya.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM7,000 kepada JKKK Rumah Bata dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Penyelia JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA Engkilili, Edwin Ancheh, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.


Tamat….


Penduduk Cina Simanggang terima Laptop



Caption: TERIMALAH... Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang menyerahkan komputer riba 1 Malaysia kepada Chaw Phee Liew pada majlis ringkas penyerahan komputer tersebut kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (18 Ogos) – Komuniti Cina di kawasan Sri Aman nyata tidak diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung usaha menaiktaraf sosial hidup mereka pada masa sekarang.

Ia terbukti apabila seramai 50 orang penduduk Cina di Sri Aman menerima komputer riba 1 Malaysia yang disampaikan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat menerusi majlis ringkas yang berlangsung di sebuah restoran di sini pagi kelmarin.

“Kerajaan BN sedang mengagihkan sejumlah 1,250 unit komputer riba 1 Malaysia kepada penduduk di tiga buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sri Aman iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan dan Simanggang.

“50 unit komputer riba daripada jumlah ini sudah pun diberi kepada penduduk Cina. Justeru saya berharap agar penduduk sedar bahawa usaha pembangunan kerajaan adalah untuk semua kaum di negara ini,” kata Masir.

Beliau juga menasihatkan penerima komputer riba 1 Malaysia untuk memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaik yang mungkin bagi tujuan naiktaraf penduduk dan keluarga mereka selepas ini.

Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan atau biro wanita yang sudah menerima kemudahan tersebut katanya boleh mempertingkatkan pengurusan organisasi masing-masing pada masa akan datang.

“Kesemua 1,250 unit komputer riba 1 Malaysia ini akan diagihkan kepada semua penduduk oleh kerajaan dalam kawasan Parlimen Sri Aman sehingga bulan September tahun ini.

“Saya berharap agar penerima komputer riba 1 Malaysia ini dapat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan BN bagi menaiktaraf sosial hidup mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau juga turut mengagihkan sejumlah 60 buah unit komputer riba 1 Malaysia kepada penduduk di Sengkuang Ulu, Undop Batu Lintang menerusi majlis pemimpin bersama rakyat yang berlangsung di situ kelmarin.

Tamat.




PPD Sri Aman anjur Program Mutiara Benak 2012




Caption:

1. FOKUS...Para murid sedang memberikan perhatian ketika berlangsungnya Program Mutiara Benak 2012 di sini bermula dari 13 hingga 16 Ogos lepas.

2. SERIUS... Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Bihud Apok sedang menyampaikan amanat ketika menutup rasmi Program Mutiara Benak 2012 di Dewan Suarah Sri Aman.

SRI AMAN, Jumaat (17 Ogos) – Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman telah menganjurkan Program Mutiara Benak 2012 yang berlangsung dari 13 hingga 16 Ogos lepas di Dewan Suarah Sri Aman.

Program yang dianjur secara bersama dengan Majlis Guru Besar Daerah Sri Aman, Pasukan Petugas Khas Guru Cemerlang serta para guru sumber ini melibatkan seramai 132 orang murid dari 31 buah sekolah kebangsaan dan lima buah daripada SJK Chung Hua di sini.

Ia juga bertujuan menaikkan pencapaian prestasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah atau UPSR dan seterusnya memperbaiki kedudukan Sri Aman dari pencapaian ujian itu di negeri Sarawak.

Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Bihud Apok ketika berucap merasmikan program itu memberitahu bahawa program tersebut nyata memberikan impak kepada para murid yang menyertai program ini.

“Program ini julung kalinya telah diadakan di Sri Aman. Justeru saya mencadangkan agar program ini diadakan semula mulai bulan Mac tahun hadapan dengan melibatkan pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Beliau juga berharap agar program ini dapat mempertingkatkan semangat para murid disamping menambah ilmu serta kemahiran dalam persediaan menghadapi peperiksaan UPSR selepas ini. 

Terdahulu kumpulan sasaran Program Mutiara Benak 2012 berkenaan melibatkan para pelajar yang berpotensi mendapat keputusan 5A (SK) dan 7A (SJKC) bagi UPSR akan datang.

Antara pengisian program ini ialah Aktiviti Dalam Kumpulan (ADK), ceramah motivasi dan slot teknik menjawab soalan semua mata pelajaran yang dikendalikan oleh para guru cemerlang dan guru sumber dari sekitar daerah Sri Aman.

Tamat