Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, August 26, 2012

Buletin Kenyalang berniat jahat kata Tr Alex Libau


Mugshot: TUAI RUMAH ALEX LIBAU

SRI AMAN, Jumaat  (24 Ogos) – Paparan mengenai isu yang berkaitan dengan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat di Buletin Kenyalang semenjak akhir-akhir ini adalah berniat politik jahat demikian menurut tuduhan Tuai Rumah Alex Libau dari Balai Ringin, Serian.

Ia merupakan respon beliau terhadap kenyataan editor Buletin Kenyalang terbabit iaitu Dr Ambrose Labang di akhbar Utusan Sarawak pada 24 Ogos yang memberitahu bahawa pihaknya bersedia untuk disaman oleh Masir selepas ini.

“Persoalannya ialah mengapa Buletin Kenyalang mahu memaparkan isu yang berkaitan Ahli Parlimen Sri Aman tersebut pada saat menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang? Ini nyata niat yang tidak ikhlas untuk membantu rakyat.

“Jika pembaca Buletin Kenyalang adalah bijak maka mereka akan cepat ‘menghidu niat politik’ yang cuba disajikan oleh akhbar tabloid berbahasa Iban itu pada dua isu lepas,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Logik disebalik perkara ini katanya ialah apabila seorang ahli perniagaan iaitu Donald Lawan dipromosi sebagai calon Bebas yang berkelayakan di Buletin Kenyalang ketika isu mengenai keburukan Masir buat pertama kalinya dipaparkan dalam akhbar terbabit.

Alex mahu rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman sedar bahawa Buletin Kenyalang mahu mengangkat Donald Lawan untuk menjadi wakil rakyat mereka bagi mengantikan Masir Kujat menerusi kempen akhbar tersebut.

“Semua orang tahu siapa pemilik sebenar Buletin Kenyalang. Jadi tidak hairanlah akhbar tabloid berkenaan tidak berhenti-henti menyerang peribadi Masir dan pembantunya Abah Unggi kerana ia berniat politik kotor.

“Justeru rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman perlu berhati-hati ketika membaca isu yang berkaitan dengan wakil rakyat mereka di Buletin Kenyalang selepas ini kerana tujuannya adalah mahu menjatuhkan Masir pada PRU-13 akan datang,” katanya.

Beliau juga akan membongkar kisah sebenar disebalik tindakan individu-individu yang sudah disuap oleh Buletin Kenyalang untuk mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Masir menerusi satu majlis rasmi di Balai Ringin pada 8 September kelak.

“Buletin Kenyalang juga pernah bertindak demikian untuk menjatuhkan mantan Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Jimmy Donald pada pilihan raya tahun lepas 2008 dan sekarang mereka menjadikan Masir Kujat sebagai sasaran.

“Kami sebagai rakyat sejati di kawasan Balai Ringin tahu mengenai pergolakan politik di sini. Kalau anda sendiri menjadi rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman maka anda sedar mengenai niat politik yang cuba dipaparkan oleh akhbar tersebut,” katanya.

Tamat.








No comments:

Post a Comment