Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

Usah kempen serang peribadi calon lain dahulu - Masir


Caption: MANFAATKAN...Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat menyerahkan cek Flagship kepada Guru Besar SK Pantu, Louis Aom sambil disaksikan oleh Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang ketika berlangsungnya Program Alam Sekitar di Rumah Beti, Jaong, Pantu baru-baru ini.

PANTU, Rabu (1 Ogos) - Pihak pembangkang dinasihat agar tidak menyerang peribadi seseorang calon pihak lawan selagi parlimen belum dibubar untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata semua parti politik terutama sekali pihak pembangkang sepatutnya menyampaikan matlamat perjuangan parti ketika berkempen dan bukannya menyerang peribadi pihak lawan untuk meraih sokongan daripada rakyat.

"Sekarang ini musim parti lawan parti dan bukannya serang peribadi calon. Selagi Hari Penamaan calon belum diadakan pada PRU, semua pihak sepatutnya berkempen secara bagus ketika menemui rakyat.

"Jika mahu menyerang peribadi calon selepas Hari Penamaan calon itu terpulang kepada mereka (pembangkang) namun ketika ini biarlah kita berkempen secara baik kepada rakyat dan bukannya secara negatif seperti itu," katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Alam Sekitar Dan Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia yang berlangsung di Rumah Beti, Jaong, Pantu baru-baru ini.

Selain itu beliau juga berharap agar rakyat tidak menilai kemampuan Barisan Nasional (BN) hanya berasaskan kepada isu kecil tanpa melihat sumbangan besar yang telah diberikan oleh kerajaan mereka selepas ini.

"Contohnya jangan kerana atap rumah panjang rosak maka rakyat terus membenci kerajaan tanpa melihat hasil pembangunan lebih besar yang telah mereka nikmati sebelum itu.

"Justeru saya berharap agar rakyat meneruskan kesetiaan terhadap BN pada PRU-13 ini nanti agar lebih banyak projek pembangunan boleh dirancang demi kesejahteraan hidup mereka," katanya.

Terdahulu majlis yang dirasmikan oleh Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang itu menyaksikan Masir mengumumkan peruntukan berjumlah RM7,000 kepada JKKK Rumah Beti.

Hadir sama ialah Timbalan Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Jiram Sidu, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Sarawak, Dinal Samuel.

Turut berlangsung pada majlis itu ialah upacara penyampaian cek Sekolah Flagship kepada SMK Simanggang, SMK Melugu dan SK Pantu serta penyerahan sijil penyertaan Tuai Rumah kepada Beti.

Tamat.

No comments:

Post a Comment