Caption: TAHNIAH... Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Amar Tan Sri Haji
Adenan Satem sedang menyampaikan dokumen Warta Tanah NCR kepada seorang
penerima sambil disaksikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Luar
Bandar, Datuk Francis Harden dan tetamu khas yang lain pada majlis penyampaian
surat tersebut hari ini.
SRI AMAN, Isnin (13 Ogos) – Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini
dinasihat agar memohon pihak Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) untuk menyukat tanah milik diri masing-masing secara berkelompok.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Amar Tan Sri Haji Adenan Satem berkata
tindakan sedemikian akan menyebabkan pihak JTS mengambil masa yang lama untuk
menyukat tanah NCR milik penduduk di negeri ini.
“Kerja sekali akan menjadi kerja 10 kali. Bukan sahaja setakat mengambil
masa bahkan tindakan sebegini juga boleh menyusahkan para pemilik tanah NCR
yang mahu menyukat tanah mereka selepas itu.
“Langkah terbaik ialah bergabung dengan semua penduduk di kampung atau
rumah panjang mereka sendiri dan seterusnya menyerahkan tanggungjawab menyukat
tanah mereka secara berkelompok (Perimeter Survey) di tangan pihak JTS,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Warta
Tanah NCR Di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Dan Cek Pampasan Tanah di Mini
Stadium Sri Aman hari ini.
Penentuan dan pembahagian sempadan tanah NCR milik para peserta itu kata
Adenan terpulang kepada tanggungjawab diri mereka sendiri sebaik sahaja tanah
terbabit sudah siap disukat secara berkelompok oleh JTS.
“Hanya mereka yang mengetahui sempadan tanah milik diri sendiri. Justeru
saya menyeru penduduk agar memilih keadah penyukatan tanah NCR secara
berkelompok agar memudahkan pihak JTS menyukat tanah mereka di masa akan
datang,” katanya.
Terdahulu Adenan telah menyerahkan cek bernilai RM340,689.77 wang pampasan
dibayar kepada 82 orang pemilik tanah yang terlibat dalam projek Naiktaraf
Jalan Sri Aman / Sembau / Stumbin / Lingga, Sri Aman pada majlis itu.
Beliau juga turut menyampaikan surat Warta Tanah NCR kepada 30 orang Tuai
Rumah dari kawasan Entulang di Sri Aman, Kubau / Rapak di Pantu, Bakong di
Lingga, Sebu Tanjung Bijat dan Sungai Kaki Bukit Balau di Lingga.
Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Luar Bandar,
Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Pengarah JTS Sarawak, Ibrahim Lumpu, Residen
Sri Aman, Johnathan Lugoh, Penguasa JTS Sri Aman, Razali Arshad dan Pegawai
Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh.
Tamat.
No comments:
Post a Comment