Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

Pertandingan Keceriaan meriahkan sambutan Merdeka


Mugshot: SAINI BOJENG

SRI AMAN, Khamis (26 Julai) – Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak akan menganjurkan Pertandingan Keceriaan dalam seluruh negeri ini termasuk juga di Sri Aman bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.

Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Saini Bojeng menerusi siaran akhbarnya memberitahu pertandingan tersebut akan dibahagikan kepada lapan kategori utama.

Ia adalah kategori Bangunan Kerajaan, Bangunan Swasta, Kampung (Tradisional / Kampung Baru Cina / kawasan Estet/ Rumah Panjang), Sekolah (Sekolah Menengah / Kebangsaan / Jenis Kebangsaan dan Swasta), Taman Perumahan, Individu (kediaman), Pintu Gerbang dan Anjung Komuniti 1 Malaysia.

“Tempoh penyertaan telah mula dibuka semenjak 15 Julai lepas sebelum ia ditutup pada 2 Ogos ini,” katanya dengan borang penyertaan bagi pertandingan itu masih boleh didapatkan di Pejabat Penerangan Sri Aman dalam tempoh tersebut.

Kata Saini, penilaian peringkat negeri bagi Pertandingan Keceriaan ini akan diadakan pada 6 Ogos hingga 13 Ogos dengan penekanan diberi terhadap aspek kreativiti, aspek daya tarikan serta nilai tambah bagi setiap peserta.

Hadiah wang tunai bernilai RM10,000 katanya ditawarkan kepada pemenang Kategori Kampung, Taman Perumahan dan Pintu Gerbang, hadiah RM5,000 untuk kategori Sekolah, hadiah RM3,000 untuk Kategori Bangunan Kerajaan dan Swasta serta hadiah RM2,000 untuk Kategori Individu dan Anjung Komuniti.

“Objektif utama pertandingan ini ialah untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara disamping meningkatkan kesedaran serta penghayatan penduduk terhadap kemerdekaan negara.

“Justeru kita berharap agar pertandingan ini akan dapat mendorong dan mencetus kreativiti penduduk dalam menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini,” menurut beliau.

Saini turut menambah bahawa pertandingan ini turut memberi peluang kepada penduduk serta kumpulan atau organisasi untuk menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyambut hari kemerdekaan negara.

Tamat.

No comments:

Post a Comment