Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, August 14, 2012

Jayakan Kempen Tabung Rayuan Hari Pahlawan Harden


Caption: SIMBOLIK...Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden mahu memalu gong sebagai simbolik perasmian Majlis Pelancaran Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (9 Ogos) – Sambutan Hari Pahlawan perlu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat agar mereka juga dapat berkongsi pengorbanan pasukan keselamatan dalam mewujudkan keselamatan dan keamanan negara ini dari dahulu hingga sekarang.

Salah satu penglibatan masyarakat ialah dengan menghulurkan sumbangan menerusi Kempen Rayuan Hari Pahlawan yang telah bermula semenjak 31 Julai lepas kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

“Masyarakat berbilang kaum di negara ini seharusnya menghargai penglibatan pasukan keselamatan kita dalam perang menentang penganas komunis dan juga perjuangan di era konfrantasi demi menjaga keselamatan hidup mereka.

“Justeru kempen seumpama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada anggota masyarakat untuk membalas budi anggota keselamatan yang pernah berjuang demi mempertahankan kedaulatan tanah air selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga menasihatkan golongan bekas tentera agar tidak melupakan jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kebajikan hidup mereka dari masa ke semasa.

“Mereka boleh menunjukkan penghargaan masing-masing terhadap sumbangan kerajaan dengan memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,” katanya.

Terdahulu Harden pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM Sri Aman untuk disalurkan ke dalam Tabung Hari Pahlawan dan RM5,000 lagi untuk Sri Kandi persatuan tersebut.

Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian sumbangan kepada 20 orang balu veteran tentera, veteran tentera 70 tahun ke atas dan veteran cedera ketika operasi dari Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

Sejumlah 11 orang balu veteran dan veteran tentera turut menerima sumbangan daripada PBTM cawangan Sri Aman dengan 17 orang Sri Kandi cawangan persatuan tersebut menerima kad ahli.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pengerusi PBTM Sri Aman, Nalang Selingau bersama pengerusi tetapnya Beliang Bali, penerima pingat George Cross, Awang Raweng, bekas tentera dan para wakil pegawai kerajaan di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment