Caption: BERSEMANGAT... Ketua Unit SRS Kampung Muhibbah, Ramli Abu Sera
(kiri sekali) ketika melakukan sesi rondaan bersama anggotanya di Kampung
Muhibbah malam tadi.
SRI AMAN, Jumaat (10 Ogos) – Sambutan Bulan Ramadan pada masa sekarang nyata tidak
menghalang pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Muhibbah, Sri Aman untuk
melakukan aktiviti kawalan keselamatan di penempatan mereka malam tadi.
Aktiviti rondaan yang bermula dari jam 8.15 malam hingga 12.30 pagi di
Kampung Muhibbah, Sri Aman itu telah pun melibatkan penyertaan sejumlah 10
orang anggota SRS terbabit.
Ketua Unit SRS Kampung Muhibbah, Ramli Abu Sera ketika ditemui berkata
amalan berpuasa pada Bulan Ramadan tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan
untuk meninggalkan tanggungjawab mereka terhadap penduduk pada masa sekarang.
“Tiada alasan ‘bercuti’ jika kita mahu menjaga keselamatan penduduk. Ini
kerana usaha seperti itu seharusnya dilakukan secara berterusan dan tidak harus
dihentikan pada musim hari tertentu.
“Justeru anggota SRS Kampung Muhibbah tidak akan terus patah semangat untuk
menunaikan tanggungjawab keselamatan mereka terhadap penduduk walaupun sedang
mengamalkan ibadah puasa pada masa sekarang,” katanya.
Selain itu tugas rondaan pada Bulan Ramadan ini secara tidak langsung kata
Ramli boleh memberi pahala kepada para anggota memandangkan ia merupakan
aktiviti mulia mereka terhadap penduduk.
Malah aktiviti rondaan seperti itu menurut beliau juga menunjukkan
ketegasan pihak SRS Kampung Muhibbah terhadap mana-mana orang luar yang cuba
melakukan aktiviti tidak sihat di penempatan mereka selepas ini.
“Kita mahu orang luar menyedari bahawa SRS Kampung Muhibbah komited
terhadap tugas mereka dalam menjaga keselamatan penduduk di sini tanpa mengira
waktu,” tegas beliau.
Ramli turut menambah bahawa aktiviti rondaan di sekitar Kampung Muhibbah
akan tetap dilaksanakan dalam bulan ini demi memastikan keselamatan harta-benda
penduduk terjamin pada sepanjang masa.
Tamat.
No comments:
Post a Comment