Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, August 27, 2012

Keluarga miskin dari Sebangkoi Gerunggu, Simunjan perlu bantuan







Caption:

1. USANG...Willie bersama isteri ketika berada di hadapan kediaman usangnya dalam kawasan Rumah Ranggau, Sebangkoi, Simunjan.

2. APAKAN DAYA...Isteri Willie iaitu Charirie sedang sibuk menguruskan simpanan air dalam pondok kecil bilik mandi yang terpaksa dibina luar perkarangan rumah usang mereka.

3. REPUT...Willie sedang menunjukkan lantai rumah yang sudah reput dan perlu dibaiki dengan segera demi mengelakkan perkara buruk berlaku selepas ini.

4. STOK...Willie juga rajin berusaha untuk membina rumah baru dan ia dibuktikan dengan simpanan batu-bata bagi tujuan itu. Namun ia nyata masih tidak cukup berdasarkan kepada tahap pendapatan beliau pada masa sekarang.

5. SERBA KEKURANGAN...Dapur juga terpaksa berada dalam satu ruang yang sama dengan bilik tamu dan bilik tidur disebabkan oleh faktor keperitan hidup keluarga berkenaan selama ini.

SIMUNJAN, Jumaat (24 Ogos) – Sebuah keluarga miskin dari Rumah Ranggau, Belilie, Sebangkoi, Simunjan memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan berhubung keperitan hidup yang ditanggung oleh mereka semenjak 15 tahun lepas.

Wille Sela Rami, 58, telah menanggung masalah keperitan hidup dengan menetap di sebuah rumah usang di Sebangkoi bersama isterinya iaitu Charirie Saloi, 61, dan tiga orang anak iaitu Christopher, 23, Andrew, 19, Catherine, 16, dan Ferro, 13 tahun.

“Saya bekerja sebagai seorang buruh binaan di Kuching demi menyara hidup isteri dan empat orang anak selama ini,” kata beliau ketika ditemui Utusan Sarawak di kediaman usangnya kelmarin.

Beliau tidak mampu menyara kehidupan keluarga dengan bercucuk tanam, menoreh getah atau menanam lada disebabkan ketiadaan tanah dalam kawasan kampung halamannya sendiri.

Keadaan ini telah memaksa Willie untuk bekerja sebagai seorang buruh binaan dengan membawa isteri serta keempat-empat orang anaknya untuk tinggal di pondok pekerja di Kuching.

“Saya tidak rela meninggalkan anak dan isteri di rumah usang dalam kampung. Disebabkan oleh faktor inilah saya terpaksa membesarkan kesemua anak-anak saya di pondok buruh binaan di Kuching.

“Anak-anak yang tinggal di pondok buruh binaan tidak akan dapat bersekolah. Begitulah keadaan yang terjadi terhadap kesemua empat orang anak saya yang tidak pernah mendapat pendidikan sempurna semenjak dari kecil hingga sekarang,” katanya.

Kekurangan dari segi pendidikan sempurna ini kata Willie menyebabkan anak beliau iaitu Christopher dan Andrew yang kini sudah pun berkahwin hanya mampu bekerja sebagai buruh binaan.

Anak perempuan beliau iaitu Caterine juga sudah mendirikan rumahtangga bersama seorang buruh binaan dengan anak bongsunya iaitu Ferro masih berada di bawah jagaan mereka hingga sekarang.

“Saya juga rajin berusaha untuk membina rumah baru dengan wang dari Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM500 sebelum ini telah saya gunakan untuk membeli batu-bata bagi tujuan itu.

“Namun ia masih tidak cukup. Atas sebab itulah saya pernah memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Simunjan untuk membina rumah baru semenjak 10 tahun lepas,” katanya.

Willie mengakui hanya menerima surat daripada pihak JKM yang mengesahkan bahawa mereka menerima borang permohonan bantuan tersebut namun tidak pernah mendapat tindakan lanjut hingga sekarang.

“Nama saya juga pernah tersenarai dalam e-kasih pada empat bulan lepas. Namun khabar gembira yang saya nantikan bagi program bantuan rumah baru tidak pernah kunjung tiba hingga ke masa sekarang.

“Justeru saya merayu pihak kerajaan menerusi JKM untuk turun padang bagi membantu hidup saya dan keluarga selepas ini. Mendapat rumah baru sudah cukup baik bagi menaiktaraf hidup kami sekeluarga di masa akan datang,” kata Willie.

Beliau yakin kediaman baru yang diberi oleh kerajaan akan membolehkan cucunya bersekolah di kampung halaman sendiri daripada tinggal dalam pondok buruh binaan di Kuching tanpa mendapat pendidikan sempurna selepas itu.

Terdahulu tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa kedudukan ruang tamu, dapur dan bilik tidur berkongsi dalam satu ruang rumah yang sama dengan bilik mandi dibina di kawasan luar kediaman beliau.

Kehidupan keluarga Willie boleh dianggap amat daif dan memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan bagi membolehkan mereke menikmati kesenangan hidup seperti lain-lain keluarga di Simunjan pada masa akan datang.

Tamat.


No comments:

Post a Comment