Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

Sertai Aktiviti 10,000 Langkah pada 9 September ini



SRI AMAN, Rabu (5 Sept) – Orang ramai dijemput bagi menjayakan Aktiviti Berjalan 10,000 Langkah Serentak Seluruh Malaysia 2012 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman pada 9 September ini.

Aktiviti anjuran Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman yang bermula pada jam 9 pagi di Kompleks Sukan Sri Aman itu bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-55 Tahun.

“Objektif aktiviti bagi peringkat Bahagian Sri Aman ini adalah untuk menzahirkan semangat patriotisme dikalangan kakitangan kesihatan disamping mempromosikan aktiviti fizikal seperti 10,000 langkah sebagai cara mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan mendapatkan pengiktirafan daripada pihak The Malasia Book Of Record sebagai Aktiviti 10,000 Langkah Serentak Seluruh Malaysia dengan penyertaan paling ramai,” kata jurucakapnya Gabriel Alexis.

Bagi menjayakan aktiviti terbabit pihak penganjur menurut beliau akan mengadakan beberapa acara lain seperti nyanyian lagu patriotik, perlepasan berjalan 10,000 langkah dan juga cabutan tiket bertuah.

Justeru pihak Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman kata Alexis ingin menjemput penduduk yang berminat dari kawasan Sri Aman agar datang pada hari tersebut bagi memeriahkan lagi suasana penganjuran aktiviti tersebut.

“Penduduk yang berminat untuk menyertai aktiviti ini boleh mendaftarkan diri masing-masing bermula jam 6.30 pagi sebelum upacara pelepasan diadakan pada jam 8 pagi di kompleks sukan berkenaan.

“Setiap para peserta yang menyertai program ini akan diberi sijil penyertaan. Sebarang pertanyaan sila hubungi penyelaras program kami di talian 083-322176 untuk malumat lanjut,” menurut beliau.

Tamat.

Hanya ada empat parti dalam BN Sarawak - Nyalau



Caption: TERIMALAH...Nyalau sedang menyerahkan cek peruntukan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Dr Rayong pada Majlis Penyerahan Ilmu di SK Issu Bangat, Lidong, Engkilili malam tadi.

ENGKILILI, Rabu (5 Sept) – Sesebuah parti yang mahu menyertai keanggotaan komponen parti Barisan Nasional (BN) adalah sukar dan bukannya dianggap mudah seperti yang didakwa oleh Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu Larry Sng sebelum ini.

Ini kerana parti itu perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demoktarik Sarawak (SPDP) jika mahu menyertai komponen BN Negeri.

“Komponen parti BN Sarawak hanya terdiri PBB, SUPP, PRS dan SPDP. Jika sesebuah parti itu mahu menjadi ‘rakan kelima’ maka mereka perlu mendapat persetujuan daripada keempat-empat parti komponen terbabit.

“Justeru dakwaan SWP bahawa mereka adalah ‘rakan’ BN Negeri nyata tidak benar kerana niat parti tersebut pastinya akan dibantah oleh PRS yang sekaligus akan mengagalkan usaha terbabit,” kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Ilmu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Issu Bangat, Lidong dalam daerah kecil Engkilili malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu rakyat sedar bahawa SWP adalah parti milik ‘keluarga’ apabila barisan pucuk pemimpinannya terdiri daripada bapa (Datuk Sng Chee Hua selaku penasihat), anak (Larry sebagai presiden), anak saudara (George Lagong sebagai timbalan presiden) dan adik kepada Larry (sebagai bendahari).

“Ia sekaligus mengambarkan bahawa SWP bukan parti untuk rakyat tapi hanya untuk keluarga kerana jika ia parti untuk rakyat maka barisan pemimpin utamanya bukanlah terdiri daripada ahli keluarga terbabit,” kata beliau.

Nyalau juga berharap agar rakyat memberi peluang kepadanya sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat mereka bagi tempoh penggal kali kedua menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Lagipun banyak projek pembangunan telah dilaksanakan oleh saya di kawasan Parlimen Lubok Antu dengan hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili iaitu Dr Johnnical Rayong semenjak satu penggal menjadi wakil rakyat di situ,” katanya.

Terdahulu Nyalau pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Issu Bangat, Lidong sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong dan para tetamu khas yang lain.

Tamat.

Imigresen LTAK adakan Majlis Ramah Tamah Raya



Caption: UNTUK ALBUM...Para pegawai Imigresen LTAK sedang bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan bersempena dengan sambutan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidlfitri 2012 di LTAK baru-baru ini.

Nelson Naga Alam

SRI AMAN, Rabu (5 Sept) - Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) nyata tidak ketinggalan untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang telah berlangsung semenjak 19 Ogos lepas.

Ia terbukti apabila LTAK menerusi Badan Sukan Dan Kebajikan Pegawai Imigresen LTAK telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di ruang pejabat Jabatan Imigresen LTAK baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Haji Hamfatullah Syawal Hamdan menerusi siaran media hari ini telah mengingatkan para pegawai yang bertugas di LTAK supaya mengekalkan semangat kerjasama untuk menjayakan majlis yang seperti ini.

Katanya semangat tersebut perlu diteruskan pada perayaan utama yang lain seperti Hari Gawai Dayak dan Hari Tahun Baru Cina bagi mengekalkan hubungan perpaduan di antara mereka dari masa ke semasa.

“Saya mengucapkan tahniah dan memuji usaha keras Badan Sukan Dan Kebajikan Pegawai Imigresen LTAK selaku penganjur majlis yang berjaya mengadakan majlis ramah tamah tahun ini.

“Usaha mereka turut diserikan dengan menjemput lapan buah agensi yang beroperasi di LTAK seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Syarikat Malaysia Airports Berhad dan lain-lain,” katanya.

Justeru kata Syawal, semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh kesemua agensi pada majlis tersebut akan lebih memudahkan lagi Jabatan Imigresen LTAK menjalankan tugas-tugas harian pada masa akan datang.

Terdahulu Majlis Ramah Tamah LTAK 2012 berkenaan telah dimeriahkan lagi dengan sesi karaoke dan tarian poco-poco yang dipersembahkan oleh para pegawai Imigresen yang bertugas di LTAK.

Acara penyampaian cendaramata kepada dua orang pegawai imigresen iaitu PIT Ibrahim Zaini dan PI Shamsul Najan yang akan berpindah tugas dari LTAK juga turut diadakan pada majlis itu.

Turut hadir bagi bersama-sama memeriahkan lagi suasana sambutan majlis ini ialah para ketua Imigresen dari Ibu Pejabat, Kota Samarahan, Bahagian Penguatkuasa dan Depo Semuja di Serian.

Tamat.

Jangan tuduh wakil rakyat BN tidak bekerja - Masir



Caption: PANTAU... Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat (baju coklat) bersama Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden dan rombongan ketika melakukan tinjauan di tapak projek baikpulih hakisan tanah bukit SK Saint Luke Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (4 Sept) – Pihak pembangkang diingatkan agar tidak menuduh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan projek pembangunan besar di kawasan Sri Aman.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata tuduhan pihak pembangkang selama ini nyata tidak tepat dengan terlaksananya dua buah projek dalam kawasan Sri Aman yang bakal mengubah taraf hidup rakyat di sini pada masa akan datang.

“Projek pembinaan hospital baru bernilai RM200 juta dan naiktaraf Loji Parawatan Air Empango Bayai bernilai RM43 juta yang sedang giat dilaksanakan di Sri Aman pada masa sekarang adalah bukti bagi menentang dakwaan daripada pihak terbabit.

“Justeru saya berharap agar pihak pembangkang lebih berhati-hati dengan kata-kata tuduhan mereka sendiri mulai sekarang jika berbangkitnya isu mengenai pembangunan hidup rakyat di Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai upacara serah dokumen kontrak projek baikpulih hakisan tanah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kepada syarikat Megas Maju Sendirian Berhad di SMK Saint Luke kelmarin.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis bersama Masir telah melakukan lawatan tapak projek membaikpulih hakisan tanah di kawasan berbukit SK Saint Luke yang menelan kos bernilai RM650,000.

Projek baikpulih hakisan tanah yang dilaksanakan oleh syarikat Megas Maju Sendirian Berhad secara rasminya bermula kelmarin dan akan berlangsung selama 26 minggu hingga tarikh akhirnya pada 3 Mac tahun hadapan.

Jurutera Bahagian JKR Sri Aman iaitu Cassidy Morris telah menyerahkan dokumen projek kepada syarikat Megas Maju sambil disaksikan Harden bersama dengan Masir Kujat dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat.


Jangan sokong calon luar parti pembangkang - Nyalau


Caption: UNTUK RAKYAT...ADUN Engkilili, Dr Rayong dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang menyempurnakan simbolik perasmian bekalan paip air sambil disaksikan oleh para ketua kaum di Memaloi, Skrang kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (4 Sept) – Rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu dinasihat agar tidak menyokong parti pembangkang yang cuba meletakkan calon dari luar untuk bertanding di kawasan parlimen pada pilihan raya umum akan datang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata tindakan parti pembangkang yang cuba meletakkan calon luar untuk bertanding di Parlimen Lubok Antu hanya akan menyebabkan berlakunya perpecahan rakyat di situ.

“Parti Pekerja Sarawak (SWP) selaku parti pembangkang telah cuba meletakkan calon luar untuk bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu pada pilihan raya ini nanti yang dilihat sekaligus boleh menggugat ‘keamanan politik’ di situ.

“Justeru jangan cuba menyokong calon pihak SWP. Sebaliknya sokonglah calon Barisan Nasional (BN) yang sudah semestinya akan memilih anak jati dari kawasan parlimen Lubok Antu bagi tujuan pilihan raya terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Bekalan Paip Air di Rumah Assan Ramba, Memaloi, Skrang, Engkilili yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak kelmarin.

Selain itu Rayong juga menyeru rakyat agar menyokong William Nyalau sekiranya dia diberikan kepercayaan untuk mempertahankan semula kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Terdahulu sejumlah 61 buah keluarga dari Rumah Assan Ramba, Memaloi mendapat manfaat daripada projek bekalan air paip yang dibina oleh kerajaan bagi mengantikan kemudahan air lama sebelum itu.

Rayong dan Nyalau masing-masing mengumumkan nilai peruntukan yang sama iaitu RM10,000 untuk JKKK Rumah Assan dan RM5,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut menerusi majlis itu.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara simbolik perasmian bekalan paip air ini ialah Zainie Aji iaitu Pembantu Khas Ahli Parlimen Lubok Antu, Kanselor Nyambong Maweng, Kanselor Roy Edward Entalai dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Kampung Muhibbah adakan Konvoi Merdeka




Caption:

1. BERMULA...Ketua Unit SRS Kampung Muhibbah, Ramli Sera sedang mengetuai Konvoi Merdeka bersama para penduduk Kampung Muhibbah pada 31 Ogos lepas.

2. UNTUK ALBUM...Pengerusi KRT Kampung Muhibbah, Latipah Mantali (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para jawatankuasa SRS dan penduduk bersempena dengan Program Konvoi Merdeka di Kampung Muhibbah pada 31 Ogos lepas.

SRI AMAN, Selasa (4 Sept) – Penduduk dari Kampung Muhibbah Sri Aman nyata telah membuktikan kesungguhan mereka dalam menyemai semangat patriotik dalam diri masing-masing.

Semangat patriotisme mereka terpamer ketika berlangsungnya Program Konvoi Merdeka anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Muhibbah pada 31 Ogos lepas.

Program Konvoi Merdeka yang melibatkan seramai 40 orang penduduk termasuk kanak-kanak telah pun menyertai aktiviti konvoi berbasikal dan motorsikal sejauh tiga kilometer di kawasan kampung tersebut.

“Pengerusi KRT Kampung Muhibbah, Latipah Mantali telah menyempurnakan upacara perlepasan konvoi motorsikal yang diketuai oleh Ramli Abu Sera bermula dari Kampung Muhibbah sehingga ke lorong RPR Perumahan Sri Aman.

“Konvoi motorsikal ini kemudiannya diikuti oleh rombongan berbasikal oleh kanak-kanak yang melaungkan perkataan ‘Merdeka’ sambil membawa bendera Jalur Gemilang,” kata jurucakap penganjur program.

Selain itu pihaknya yakin bahawa Program Konvoi Merdeka seperti ini akan dapat memupuk semangat cintakan negara dalam diri setiap anak muda di Kampung Muhibbah dari masa ke semasa.

Malah program seperti ini juga kata beliau secara tidak langsung akan dapat mengajak golongan anak muda untuk mengkaji asal usul kemerdekaan negara dan tokoh politik veteran negara selepas ini.

“Justeru KRT dan SRS Kampung Muhibbah telah bercadang untuk mengadakan aktiviti konvoi secara besar-besaran bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun hadapan,” katanya.

Turut sama menyertai Konvoi Merdeka terbabit adalah Timbalan Pengerusi KRT Kampung Muhibbah, Awang Habuan, Setiausaha SRS Kampung Muhibbah, Ramlee Abdul Rahman dan timbalannya Awang Suliman Edi.

Tamat.

Kerja baikpulih hakisan tanah di Saint Luke bermula



Caption: BUKTI... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden bersama Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang menyaksikan upacara penyerahan dokumen projek oleh Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Casiddy Morris kepada syarikat Megas Maju di SMK Saint Luke hari ini.

SRI AMAN, Isnin (3 Sept) – Kerja membaikpulih hakisan tanah bukit dalam kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke Sri Aman bermula secara rasminya pada hari ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata kerja membaikpulih yang menelan kos bernilai RM650,000 itu akan berlangsung selama 26 minggu hingga tarikh akhirnya pada 3 Mac tahun hadapan.

“Kerja baikpulih hakisan tanah yang dilaksanakan oleh syarikat Megas Maju Sendirian Berhad (Sdn Bhd) itu juga turut melibatkan kerja pembinaan sistem perparitan, papan tanda, tiang api dan pokok.

“Justeru saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan peruntukan bagi projek ini yang nyata sudah lama diluluskan sebelum pihak pembangkang mula mencetuskan isu mengenai masalah tersebut di media cetak,” katanya.

Harden berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai upacara serah dokumen kontrak projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kepada syarikat Megas Maju Sdn Bhd di SMK Saint Luke hari ini.

Selain itu projek naiktaraf Loji Perawatan Air di Bayai yang menelan kos sebanyak RM43 juta itu kata beliau juga sudah mencapai progress sebanyak 2.44 peratus semenjak ia bermula pada 23 Mei lepas.

“Usaha naiktaraf loji ini akan berlangsung selama 24 bulan. Pihak kontraktor yang bertanggungjawab iaitu Song Construction Sdn Bhd diberi tempoh sehingga 22 Mei tahun 2014 bagi menyiapkan projek ini.

“Projek Fasa I Hospital Baharu (meratakan tapak) di Sri Aman juga sedang giat dilaksanakan oleh syarikat Golden Matrix dengan kos bernilai RM9.6 juta dan dijangka siap pada 29 Ogos tahun hadapan,” katanya.

Justeru Harden berharap agar kesemua usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ini akan dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat dalam kawasan Sri Aman pada masa akan datang.

Terdahulu Jurutera Bahagian JKR Sri Aman iaitu Cassidy Morris telah menyerahkan dokumen projek kepada syarikat Megas Maju sambil disaksikan Harden bersama dengan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat.

2,000 penduduk meriahkan merdeka di Simunjan



Caption: RASMI...Wakil Pegawai Daerah Simunjan, Danny Lansdle sedang menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada anggota polis untuk dikibarkan di tiang pada malam kemuncak Hari Merdeka di Simunjan pada 30 Ogos lepas.

Abang Naim Abang Fauzi

SIMUNJAN, Isnin (3 Sept) – Seramai 2,000 orang penduduk membanjiri kawasan Padang Sentral, Simunjan untuk memeriahkan Program Sambutan Malam Ambang Kemerdekaan anjuran SABERKAS DUN N.21, Simunjan pada malam 30 Ogos lepas.

Kemuncak kepada sambutan perayaan tersebut ialah upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang pada detik malam kemerdekaan sambil disusuli dengan persembahan hiburan daripada penyanyi Pop Yeh-Yeh iaitu Datuk Jefriden dan Pertunjukan Bunga Api.

Pengerusi SABERKAS DUN Simunjan, Rahman Haji Poni berkata program ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 disamping menyemai semangat patriotisme dalam diri setiap penduduk di sini.

“Selain itu Program Sambutan Malam Ambang Kemerdekaan ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan tali silaturahim dikalangan penduduk berbilang kaum dalam kawasan Simunjan.

“Dengan kehadiran dan sokongan orang ramai maka saya berharap agar program ini menjadi inspirasi untuk kita bagi menghayati erti kemerdekaan dalam mewujudkan hubungan 1Malaysia bersama semua kaum,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Terdahulu program sambutan hari merdeka di Simunjan yang dimulakan dengan Program Kembara Merdeka Raya pada 28 Ogos telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Haji Shukri.

Konvoi diketuai oleh Rahman yang melibatkan sejumlah 12 buah Kereta Nasional dan 20 buah motosikal itu bermula dari Pekan Simunjan menuju ke Sebangan, Sebuyau, Kota Samarahan dan Serian sebelum berakhir di Pekan Simunjan pada malam 30 Ogos.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan program tersebut antaranya ialah Pertunjukan Pentas, Pertandingan Senaman Poco-Poco, Karaoke dan Cabutan Tiket Bertuah.

Hadir sama ialah Setiausaha Cawangan, Parti Bersatu Bumiputera (PBB), DUN Simunjan, Raili Ali selaku mewakili ADUN Simunjan,  Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, wakil Pegawai Daerah Simunjan, Danny Lansdle Rajau, para pegawai kanan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat

Tadika Simanggang adakan perarakan merdeka



1. WARIS PEMIMPIN...Para murid Tadika Simanggang sedang berarak sambil membawa bendera Jalur Gemilang bersempena dengan perarakan Hari Merdeka baru-baru ini.

2. BERSEMANGAT...Sebahagian daripada murid Tadika Simanggang sedang mengibar bendera mini Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos lepas.

SRI AMAN, Isnin (3 Sept) – Tadika Simanggang turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-55 Tahun yang telah berlangsung serentak di seluruh negara pada 31 Ogos lepas.

Ia terbukti apabila sejumlah 231 orang murid berumur tiga dan enam tahun dari Tadika Simanggang telah mengambil bahagian dalam acara perarakan Hari Kemerdekaan terbabit dalam Bandar Sri Aman ini pada hari berkenaan.

“Kesemua murid telah membawa bendera Jalur Gemilang termasuk yang bersaiz mini bersempena dengan acara perarakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan anjuran Tadika Simanggang.

“Upacara perarakan ini telah bermula pada jam 7.30 pagi dari Tadika Simanggang dalam kawasan Jalan RTM Lama menuju ke kawasan Jalan Batang Lupar dan Jalan Chung Hua Garden sebelum pulang kembali ke tadika ini,” kata jurucakap penganjur.

Acara perarakan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-55 Tahun ini katanya telah berakhir pada jam 8.15 pagi dengan kesemua para murid Tadika Simanggang kelihatan ceria menyertai aktiviti tersebut.

“Paling pentingnya ialah kita mahu menyemai semangat patriotisme dikalangan anak-anak kecil agar mereka membesar sebagai individu yang amat berguna kepada pembangunan negara di masa akan datang.

“Justeru saya berharap agar ibubapa turut memberi kerjasama kepada pihak sekolah dalam menjayakan penganjuran aktiviti bercorak patriotisme dikalangan anak-anak mereka selepas ini,” katanya.

Tamat.

Seorang kakitangan awam bangga dengan kecekapan polis



SRI AMAN, Isnin (4 Sept) – Seorang kakitangan kerajaan melahirkan rasa syukur dan bangga terhadap kecekapan anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dalam melaksanakan tugas mereka selama ini.

Ia terbukti anggota polis IPD Sri Aman berjaya menemui semula motorsikal jenis Honda Wave milik beliau yang dipercayai hilang akibat dicuri setelah beliau ke kampung bersama keluarga pada waktu pagi hari Jumaat lepas.

“Motorsikal terbabit telah saya tinggalkan dengan kawalan kunci serta rantai keselamatan yang ketat di bawah blok Kuaters Kerajaan Persekutuan, Jalan Sabu, Sri Aman sebelum pulang ke Kuching pada hari itu.

“Apabila kami seisi keluarga pulang ke kuaters tersebut pada jam 3 petang kelmarin (Ahad), saya terkejut apabila mendapati motorsikal terbabit telah hilang. Saya kemudiannya terus membuat laporan di balai polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau kemudiannya mendapat berita baik daripada pihak IPD Sri Aman kira-kira setengah jam selepas itu yang memberitahu bahawa motorsikal terbabit sudah pun ditemui oleh pihak polis di Jalan Paip, Sri Aman.

Pihak polis kata beliau dipercayai menemui motorsikal tersebut dalam keadaan mencurigakan di satu lokasi pinggir hutan ketika melakukan sesi rondaan di sepanjang kawasan tersebut.

“Saya percaya motorsikal itu ditemui oleh pihak polis tanpa plat pendaftaran sebelum itu. Setelah ke Balai Polis Sri Aman untuk melakukan pengecaman, saya yakin sepenuhnya motorsikal terbabit adalah milik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis IPD Sri Aman. Tanpa kecekapan dan tugas ronda ini, mungkin motorsikal saya tidak akan dapat ditemui hingga ke masa sekarang,” katanya.

Tamat.

Pertahankan kestabilan politik - Masir



Caption: AMANAT... Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat ketika menyampaikan amanat bersempena dengan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Selantik Ulu, Pamtu hari ini.

PANTU, Sabtu (1 Sept) – Pertahankan perpaduan dan kestabilan politik seperti yang dinikmati oleh rakyat pada masa sekarang demikian menurut Ahli Parlimen P.202 Sri Aman, Masir Kujat.

Katanya perpaduan dan kestabilan politik adalah amat penting agar projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaaan Barisan Nasional (BN) berjalan dengan  lancar dari masa ke semasa.

“Jangan biarkan diri anda (rakyat) terpengaruh dengan ajakan politik negatif daripada pihak pembangkang ketika mereka sedang berkempen kerana golongan ini hanya menuntut kuasa daripada anda dengan niat tidak ikhlas.

“Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sememangnya sudah cekap mentadbir dan membangunkan negara ini...justeru pilihlah parti yang sudah berpengalaman dalam melaksanaka tugas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Ubeng anak Empeni, Selantik Ulu, dalam kawasan daerah kecil Pantu, Sri Aman.

Masir juga mengingatkan rakyat agar memastikan kemenangan berterusan BN di kawasan Parlimen Sri Aman demi tidak menganggu kelangsungan projek kerajaan selepas ini.

“Jangan biarkan parti pembangkang menguasai Parlimen Sri Aman kerana tindakan seperti ini boleh menyebabkan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan tertangguh.

“Justeru saya meminta rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman bijak berfikir tanpa dipengaruhi oleh dakyah jahat pihak pembangkang menerusi pihak pembangkang selepas ini,” katanya,

Masir pada majlis tersebut telah mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada JKKK Rumah Ubeng, Selanttik dengan RM3,000 lagi diperuntuk untuk biro wanita rumah panjang itu.

Tamat.



Jangan gadai maruah kerana duit pembangkang

Caption: SERIUS... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang membincangkan sesuatu dengan ADUN Engkilili, Dr Rayong ketika berlangsungnya Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Stengin hari ini.

ENGKILILI, Sabtu (1 Sept) – Rakyat dinasihat agar tidak mengadaikan maruah politik hanya disebabkan oleh rasuah berupa wang yang telah disuap oleh pihak pembangkang kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Ini kerana sogokkan berupa wang itu kata Nyalau adalah merupakan pemberian jangka pendek oleh pihak pembangkang demi memancing undi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Adalah tidak wajar bagi rakyat yang mahu mengadaikan masa depan pembangunan di kawasan mereka hanya disebabkan oleh sogokkan wang daripada pihak pembangkang menjelang musim pilihan raya.

“Pembangunan itu lebih penting daripada sogokkan wang daripada pembangkang. Ini kerana sogokkan wang daripada mereka hanya bercorak jangka pendek manakala projek pembangunan daripada Barisan Nasional (BN) pula adalah jangka panjang,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Karak, Stengin, dalam kawasan daerah kecil Engkilili hari ini.

Selain itu beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan kempen politik yang disebarkan oleh pihak pembangkang dalam kawasan mereka pada masa sekarang.

“Pihak pembangkang tidak akan membawa pembangunan untuk rakyat. Paling penting ialah semua rakyat sama-saam menyokong kerajaan pimpinan BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Terdahulu majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa menyaksikan Nyalau mengumumkan peruntukan bernilai RM1,000 untuk setiap keluarga di rumah panjang itu dengan RM3,000 lagi diperuntuk untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Tamat.

Projek hospital baru Sri Aman nyata tepati janji



Caption: DALAM PROSES...Gambar menunjukkan kawasan tapak pembinaan hospital baharu yang sudah diratakan dalam kawasan Kejatau, Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (31 Ogos) – ‘Janji Ditepati’, demikianlah slogan yang dilaungkan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang diraikan oleh semua penduduk berbilang kaum di negara ini.

Di Sri Aman, slogan tersebut nyata telah dipratikkan dengan adanya perlaksanaan projek pembinaan hospital baru yang sedang berlangsung di kawasan Kejatau semenjak pertengahan bulan Julai lepas.

Projek pembinaan hospital baru dalam Bandar Sri Aman ini dimulai dengan kerja meratakan tapak tanah menerusi kos bernilai RM10 juta yang dijangka akan selesai sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Semestinya kerja meratakan tapak hospital terbabit telah menarik perhatian ribuan orang penduduk dalam bandar ini yang sering berulang-alik di kawasan Jalan Bayu hasil tinjauan rambang Utusan Sarawak dua bulan lepas.

“Kami menantikan bermula perlaksanaan projek ini. Kini kerja meratakan tapak tanah hospital baru terbabit sudah pun bermula sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menaiktaraf kemudahan  kesihatan penduduk,” kata Morgan.

Menurut usaha pembinaan hospital baharu yang menelan kos keseluruhan bernilai RM200 juta adalah amat penting bagi menggantikan hospital lama dalam Bandar Sri Aman pada masa sekarang.

Beliau yakin hospital baharu di Sri Aman akan dapat menampung permintaan lebih ramai penduduk dari segi kemudahan kesihatan sekiranya ia siap menjelang tahun 2014 ini nanti.

“Justeru saya berharap agar kerja pembinaan hospital baharu di Sri Aman akan terus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan selepas ini demi menepati janji yang telah diberikan oleh kerajaan,” kata Nasir Wan Ibrahim.

Tamat.




SWP tak mampu berikan kesenangan - NYalau



Caption: PENGHARGAAN... Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau menerima cenderamata daripada Tr Johnson bersempena dengan sambutan Ulangtahun Penubuhan Ke-30 Tahun Rumah Panjang Kaong Ili di Lubok Antu baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Jumaat (31 Ogos) – Parti Pekerja Sarawak (SWP) tidak akan mampu memberikan kesenangan terhadap rakyat seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata parti pembangkang tersebut sebaliknya hanya pandai menawarkan janji kosong yang tidak pernah ditunaikan oleh mereka untuk rakyat selama ini terutama sekali di Lubok Antu.

“Mereka hanya mengumumkan janji itu dan janji ini. Tetapi adakah semua janji manis  tersebut pernah ditunaikan oleh SWP sendiri ketika mereka mengadakan kempen di kawasan rumah panjang?

“Justeru saya menasihatkan rakyat dan para ketua kaum di Lubok Antu agar tidak membuang masa masing-masing dengan melayan perangai barisan pemimpin SWP yang mahu berkempen dalam kawasan rumah panjang mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Barbeque bersempena dengan sambutan Ulangtahun Penubuhan Ke-30 Tahun Rumah Johnson, Kaong Ili, dalam Penempatan Semula Batang Ai Fasa I, Lubok Antu, baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga ingin menasihatkan penyokong tegar SWP di Lubok Antu agar tidak meletakkan harapan mereka terhadap pihak pembangkang terbabit menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Saya amat kesal apabila mendapati bahawa mereka masih bermatian-matian menyokong SWP walaupun mereka sudah tahu bahawa parti terbabit belum pernah menyumbang projek pembangunan di Lubok Antu selama ini,” katanya.

Terdahulu Nyalau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh telah menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa JKKK rumah panjang di sekitar DUN Batang Ai dalam majlis itu.

Nyalau turut mengumumkan bahawa lapan buah keluarga  di Rumah Johnson, Kaong Ili akan mendapat bantuan penyambungan bekalan elektrik 24 jam ke rumah mereka bernilai  RM300,000 dalam masa terdekat kelak.

Tamat....

Taman Perumahan Batang Luipar dilanda banjir


Caption: PERLU PERHATIAN...Gambar menunjukkan keadaan banjir yang melanda di kawasan Taman Perumahan Jalan Batang Lupar pada jam 10 pagi hari ini berpunca dari faktor hujan turun tanpa henti bermula tengah malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (30 Ogos) – Penghuni Taman Perumahan Jalan Batang Lupar, Sri Aman menuntut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar bertindak segera untuk menyelesaikan masalah sistem perparitan di kawasan mereka selepas ini.

Ini kerana hujan yang mula turun di kawasan Bandar Sri Aman pada jam 11 malam tadi telah menyebabkan air melimpah keluar dari rangkaian perparitan Taman Perumahan Jalan Batang Lupar hingga menyebabkan masalah banjir di situ pada waktu pagi hari ini.

“Air mula naik antara satu hingga dua kaki bermula jam 10 pagi di kawasan Taman Perumahan Jalan Batang Lupar pada hari ini disebabkan oleh faktor hujan yang turun tidak berhenti pada lewat malam tadi.

“Bagaimanapun jika sistem perparitan di kawasan perumahan berada pada tahap sempurna, saya tidak fikir faktor hujan seperti ini akan menyebabkan berlakunya kejadian banjir tersebut,” kata seorang penghuni yang hanya dikenali sebagai Sarah.

Menurut beliau projek pembinaan perumahan baru di Taman Perumahan Jalan Batang Lupar nyata telah menjadikan keadaan lebih ‘parah’ apabila jalan dalam kawasan mereka mula rosak.

Ia menurut beliau nyata menyukarkan pengguna kenderaan yang berulang-alik ke Bandar Sri Aman kerana air banjir telah menutup kerosakan berupa lubang yang terdapat atas permukaan jalan raya terbabit.

“Kami pernah mengemukakan rayuan beberapa kali seperti ini di dalam media cetak bagi tujuan tindakan lanjut daripada PBT bagi tujuan tindakan lanjut untuk menangani masalah di Taman Perumahan Jalan Batang Lupar.

“Justeru kami berharap agar PBT memberi perhatian yang lebih serius untuk memperbaiki sistem perparitan dan kerosakan jalan raya di kawasan ini dalam tempoh terdekat kelak,” katanya.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa banjir sedalam dua kaki masih lagi melanda kawasan Taman Perumahan Jalan Batang Lupar menjelang jam 2 petang hari ini.

Tamat.

SK Saint Leo Gayau Pantu raikan merdeka



Caption: BERSEMANGAT...Para kakitangan guru dan murid SK Saint Leo Gayau menunjukkan tanda 1 Malaysia ketika mengibarkan bendera mini Jalur Gemilang di SK Saint Leo Gayau Pantu kelmarin.

PANTU, Khamis (30 Ogos) – Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Leo Gayau Pantu nyata tidak ketinggalan untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang akan berlangsung di seluruh negara pada 31 Ogos ini.

Ia terbukti apabila sejumlah 40 orang murid, guru dan kakitangan SK Saint Leo Gayau mengadakan upacara ringkas mengibar bendera mini Jalur Gemilang yang berlangsung sebaik sahaja tamat waktu sesi sekolah tersebut kelmarin.

Penolong Kanan I SK Saint Leo Gayau Pantu, Paul Manggom ketika ditemui berkata upacara ringkas ini bertujuan untuk mengajak golongan generasi muda bagi sama-sama menghayati hari bersejarah tersebut.

“Kita mahu semua warga SK Saint Leo Gayau terutama sekali golongan murid-murid untuk sama-sama menyerikan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekan pada 31 Ogos ini (Jumaat).

“Golongan muda pada masa sekarang perlu dididik untuk memahami nilai kemerdekaan ini agar mereka menjadi individu yang berguna apabila mereka membesar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga mahu ibubapa untuk memainkan peranan bagi mengalakkan anak-anak mempelajari sejarah kemerdekaan negara demi memahami erti kemerdekaan tersebut dengan lebih lanjut.

Justeru Paul berharap agar golongan remaja pada masa sekarang memahami sepenuhnya erti kemerdekaan negara dan bukannya hanya menganggap ia sekadar satu perayaan selepas ini.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Kokurikulum SK Saint Leo Gayau Pantu, Mamong Jalai, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Rosita Grifin dan para kakitangan guru yang lain.

Tamat.

Majlis Ramah Tamah di Gimnasium Rakyat



Caption: 1MALAYSIA... Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman, Midah Jub (dua kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para ahli Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya di sini malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (30 Ogos) – Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 bagi memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan tersebut malam tadi.

Majlis yang bermula pada jam 6 petang itu telah berlangsung di Pusat Gimnasium Rakyat 1 Malaysia dalam kawasan Jalan Kolam Air dengan 40 orang ahli hadir bagi menjayakan penganjuran program tersebut.

Jurucakap penganjur, Saripah Lauyah ketika ditemui berkata Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 ini bertujuan untuk mewujudkan semangat perpaduan di antara ahli berbilang kaum dan agama dalam kelab terbabit.

“Semenjak ditubuhkan pada tahun 2008 dahulu, Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman telah mempunyai barisan para ahli yang terdiri daripada kaum Melayu, Iban, Bidayuh dan Cina.

“Ia sekaligus membuktikan wujudnya semangat 1 Malaysia di dalam kelab ini. Justeru pihak kelab telah mengadakan majlis berkenaan bagi membolehkan semua ahli menikmati kemeriahan suasana menyambut perayaan Hari Raya pada tahun ini,” katanya.

Selain itu komitmen pihak kelab dalam menjayakan Gagasan 1 Malaysia kata Saripah juga telah berbukti dengan adanya penganjuran Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak pada bulan Jun lepas.

Justeru pihaknya berharap agar majlis berunsur perpaduan seperti ini akan dapat mewujudkan keharmonian dikalangan para ahli Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman, Midah Jub dan kakitangannya, Mark Leeroy Anthony, Pengerusi Kelab Gimnasium Sri Aman, Isaac Stalin, Jurulatih Kelab, Yakob Zamahari dan para ahli yang lain.

Terdahulu Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 yang berakhir sekitar jam 10 malam ini turut diserikan lagi dengan aturcara jamuan makan malam dan sesi berkaraoke bersama para ahli yang berbakat.

Tamat.

BN pentingkan pendidikan di Engkilili



Caption: CERIA... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau bersama ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong ketika bergambar kenangan dengan tetamu khas dan penerima wang insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Yayasan Pendidikan 1 Engkilili di Engkilili hari ini.

ENGKILILI, Rabu (29 Ogos) - Rakyat dalam kawasan Engkilili boleh katakan amat bertuah kerana memiliki barisan wakil rakyat yang amat mementingkan pembangunan pendidikan hidup mereka selama ini.

Ia terbukti apabila barisan pemimpin mereka bukan hanya setakat memberi peransang malah turut bertindak menghulurkan bantuan berupa insentif pendidikan kepada para pelajar di Engkilili yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Atas sebab ini saya menubuhkan Yayasan Pendidikan 1 Engkilili setelah menyedari kepentingan pendidikan dalam mengubah hidup sesebuah keluarga atau komuniti rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Beliau ketika ditemui pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Penyerahan Insentif Yayasan Pendidikan 1 Engkilili di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Lubok Antu di Engkilili hari ini berkata ilham penubuhan tabung ini timbul kira-kira dua tahun lepas.

Kata Rayong tabung ini ditubuh dengan niat bagi mewujudkan sebuah organisasi pengumpulan dana dan seterusnya menyalur sumber kewangan bagi membantu pelajar luar bandar yang mahu melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Yayasan Pendidikan 1 Engkilili pada hari ini telah pun menyaksikan penyerahan wang insentif bernilai RM40,000 kepada 104 orang pelajar di Engkilili semenjak belum lama ia ditubuhkan.

“Jumlah wang insentif tersebut adalah merupakan sebahagian daripada RM53,000 wang dana yang telah dibelanjakan oleh Yayasan Pendidikan 1 Engkilili semenjak ia tubuhkan,” katanya.

Justeru Rayong berharap agar Yayasan Pendidikan 1 Engkilili mampu mensasarkan perolehan wang dana sehingga RM1 juta pada tahun hadapan demi memberi manfaat kepada rakyat di Engkilili.

Terdahulu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak ketika berucap merasmikan majlis itu turut mencadangkan penubuhan organisasi yang serupa di kawasan Batang Ai bagi memberi manfaat kepada pelajar di kawasan terbabit.

Tamat.

KRT Kampung Hulu adakan kunjungan raya




Caption: GEMBIRA... Pengerusi KRT Kampung Hulu, Deli Haji Mahsen (baju kuning) ketika bersama para ahli melakukan kunjungan perayaan Hari Raya di kediaman bendaharinya iaitu Ahmad Obel di Kampung Hulu malam tadi.

SRI AMAN, Rabu (29 Ogos) – Kemeriahan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa dengan adanya aktiviti kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah di Kampung Hulu, Sri Aman malam tadi.

Aktiviti kunjung-mengunjung sempena perayaan Hari Raya ini telah dimulakan oleh Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hulu, Deli Haji Mahsen bersama dengan para ahli Jinarita Kampung Hulu Lemanak bermula jam 7 malam.

Kunjungan pertama perayaan Hari Raya ini telah dimulakan terhadap kediaman Bendahari KRT Kampung Hulu iaitu Ahmad Obel dengan kesemua ahli beramah mesra dan menikmati jamuan kuih-muih.

Sebaik sahaja meluangkan masa selama setengah jam di kediaman Ahmad Obel, Deli bersama rombongan kemudiannya bergerak ke kediaman Timbalan Pengerusi KRT iaitu Samad Sepawi bagi memeriahkan sambutan perayaan Hari Raya di situ.

Deli bersama ahli Jiranita Kampung Hulu Lemanak juga turut melakukan kunjungan perayaan Hari Raya di beberapa kediaman ahli KRT Kampung Hulu sebelum aktiviti ini berakhir sepenuhnya pada jam 10.30 malam.

“Amalan kunjung-mengunjung ini perlu diterapkan dalam diri setiap ahli KRT Kampung Hulu demi memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara mereka dari masa ke semasa.

“Justeru saya yakin amalan seperti ini akan mewujudkan semangat kerjasama di antara para ahli dalam menjayakan penganjuran pelbagai program oleh pihak KRT Kampung Hulu pada masa akan datang,” kata Deli.

Tamat.

Kampung Muhibbah mahu serikan Hari Merdeka



Mugshot: RAMLI ABU SERA

SRI AMAN, Rabu (29 Ogos) – Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 di Sri Aman bakal diserikan lagi menerusi penganjuran Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal pada 31 Ogos ini nanti.

Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal yang akan bermula dari jam 7 hingga 10 pagi di Kampung Muhibbah Sri Aman itu bakal melibatkan sejumlah 40 orang peserta.

“Ia merupakan kali pertama pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan kerjasama pihak Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Muhibbah Sri Aman menmganjurkan program seperti ini bersempena dengan sambutan hari bersejarah tersebut.

“Kesemua 40 peserta ini akan menggunakan basikal dan motorsikal untuk berkonvoi sejauh tiga kilometer bermula dari Kampung Muhibbah Sri Aman sambil membawa bendera Jalur Gemilang,” kata jurucakap penganjur iaitu Ramli Abu Sera.

Menurut beliau Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal ini mempunyai objektifnya yang tersendiri iaitu untuk menarik penyertaan anak muda dalam program berbentuk patriotik seperti itu.

Penglibatan anak muda dalam program seperti ini kata Ramli secara tidak langsung akan dapat menanam semangat nasionalisme di dalam diri mereka dalam menjaga kestabilan politik negara pada masa akan datang.

“Golongan ini harus dididik dari kecil mengenai nilai-nilai sejarah yang terdapat dalam sambutan Hari Kemerdekaan agar ia dapat menyemai sikap cintakan negara apabila mereka sudah membesar kelak.

“Justeru saya berharap agar Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal ini dapat menyedarkan golongan muda terhadap nikmat kemajuan negara yang telah dikecapi oleh mereka pada masa sekarang,” katanya.

Ramli turut menambah bahawa pihaknya akan turut menganjurkan Majlis Ramah –Tamah sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Muhibbah, Sri Aman pada 7 atau 8 September kelak.

Tamat.

Nyalau cadang pelan bina jalan raya inisiatif swasta


Caption: RASMI... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau (dua kanan) bersama ADUN Engkilili, Dr Rayong ketika memotong reben sebagai simbolik Majlis Penyerahan Cek Pampasan di Nanga Tebat Ulu Skrang, Engkilili kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (28 Ogos) – Projek pembinaan jalan raya menerusi inisiatif pihak swasta telah dijadikan sebagai cadangan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Pusat bagi tujuan perlaksanaannya di kawasan Parlimen Lubok Antu selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata cadangan terbabit melibatkan projek pembinaan dua rangkaian jalan raya yang menghubungkan kawasan Ulu Engkari dan Ulu Lemanak.

“Saya telah pun mengemukakan cadangan mengenai projek pembinaan jalan raya menerusi inisiatif pihak swasta ini kepada pihak Kerajaan Pusat semenjak sebulan yang lepas tapi masih belum mendapat maklumbalas hingga sekarang.

“Cadangan berkenaan saya anggap amat penting memandangkan  projek pembinaan jalan raya menerusi inisiatif pihak swasta adalah dilihat lebih cepat dan efektif,” menurut beliau.

Nyalau berkata demikian kepada pihak pemberita media setelah selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan yang berlangsung di Nanga Tebat, Ulu Skrang, Engkilili kelmarin.

Nyalau memberitahu bahawa pihak swasta boleh melaksanakan projek tersebut dengan menggunakan dana mereka terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan daripada pihak kerajaan sebaik sahajai selesai projek terbabit.

Menurut beliau lagi kedua-dua cadangan projek jalan raya berturap di kawasan Ulu Engkari dan Ulu Lemanak terbabit masing-masing dianggarkan menelan kos pembinaan bernilai RM100 juta.

“Justeru saya berharap agar Kerajaan Pusat dapat meluluskan segera cadangan bagi membina rangkaian jalan raya berturap di Ulu Engkari dan Ulu Lemanak menerusi inisiatif pihak swasta ini demi kebaikan rakyat di situ pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu seramai 61 orang pemilik tanah dari dua buah rumah panjang iaitu Nanga Mejong dan Nanga Murat menerima cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM628,000 pada majlis itu.

Wang pampasan telah dibayar kepada kesemua pemilik tanah dari kawasan rumah panjang tersebut setelah tanaman milik mereka terjejas berikutan pembinaan jalan raya di Ulu Skrang.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Casidy Morris dan Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Jonathan.

Tamat.

PPWS Kuching lawat PPWS Sri Aman



Caption: BANGGA...Sebahagian dari ahli rombongan PPWS Kawasan Sri Aman bergambar kenangan di salah satu lokasi di Semenanjung Malaysia sempena lawatan sambil belajar perkumpulan tersebut minggu lepas.

SRI AMAN, Selasa (28 Ogos) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman telah mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia pada minggu lepas.

Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu rombongan lawatan sambil belajar kali kedua ke Semenanjung Malaysia ini telah disertai seramai 15 orang ahli perkumpulan sambil diketuai oleh pengerusinya Nur Khatijah Abdullah.

“Lawatan muhibah sambil belajar ke Semenanjung Malaysia ini bertujuan untuk menimba ilmu dan pengelaman disamping mendedahkan para ahli kepada perkara-perkara baru sambil melancong.

“Ia dimulai dengan mengunjungi beberapa buah lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam seperti Putrajaya, Bangunan Kembar Petronas (KLCC) dan kawasan I-City Shah Alam,” katanya.

Selain itu rombongan PPWS kawasan Sri Aman kata Khatijah juga berkesempatan untuk menaiki keretapi Light - Rail Transit (LRT) yang merupakan pengalaman baru bagi para ahli tersebut.

Rombongan PPWS kawasan Sri Aman katanya juga telah bertolak ke Melaka untuk menginap Magic Homestay  dengan kedatangan mereka ini disambut oleh pengurus penginapan terbabit iaitu Rafi Ahmad.

“Di Melaka kami telah dibawa melawat oleh Rafi ke kawasan Bandar Hilir dan Bandaraya Bersejarah untuk melihat lokasi bersejarah hasil penaklukan Portugis seperti A-Famosa dan bangunan bersejarah yang lain.

“Kami juga berkesempatan menikmati keindahan di sepanjang kawasan tebingan Sungai Melaka dengan menaiki River Cruise sebelum berangkat ke Noor Arfa Batik House untuk mendengar taklimat tentang pembuatan batik di situ,” katanya.

Kesemua ahli rombongan PPWS kawasan Sri Aman katanya telah menjadikan Taman Buaya, Taman Botanikal, Perigi Hang Tuah dan Rumah Melaka sebagai lokasi lawatan terakhir mereka sebelum berangkat pulang ke Sarawak.

“Para ahli rombongan yang mengambil bahagian dalam lawatan sambil belajar ini nyata melahirkan rasa puas hati terhadap program seperti ini dan justeru berharap agar ia dapat diadakan pada masa akan datang,” kata Khatijah.

Turut serta dalam rombongan sambil belajar ke Semenanjung Malaysia ini ialah Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah Saibi dan Pengelola PPWS Kawasan Sri Aman, Jenny Goh.

Tamat.

Hadapi pilihan raya dengan penuh sedia - Harden




Caption: RASMI... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden sambil diapit oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat ketika hendak menyempurnakan simbolik memotong kek sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Tengak, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Isnin (27 Ogos) – Rakyat dinasihat agar bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Persediaan rakyat terhadap PRU-13 akan datang katanya termasuk dari segi ketahanan dan kesabaran mental mereka ketika mendengar segala dakyah yang diutarakan oleh pihak pembangkang.

“Ketahanan dan kesabaran mental itu adalah amat penting. Jika mereka (rakyat) tewas terhadap hujah atau dakyah yang disampaikan oleh pihak pembangkang maka ia akan memberi kesan terhadap pihak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu.

“Justeru saya mengajak semua rakyat terutama sekali mereka yang tinggal di luar bandar untuk terus bertahan bersama kerajaan pimpinan BN demi pembangunan berterusan di kawasan mereka selepas itu,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Impol, Sungai Tengak, Undop, Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

Selain itu beliau juga menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar agar menolak kehadiran pihak pembangkang di dalam diri masing-masing demi pembangunan berterusan pada masa akan datang.

“Prestasi cemerlang kerajaan pimpinan BN sememangnya tidak harus dipertikaikan lagi. Justeru saya berharap agar rakyat bijak membuat pilihan masing-masing ketika turun mengundi pada PRU-13 akan datang,” katanya.

Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM8,000 kepada JKKK Rumah Panjang Impol bagi kegunaan rumah panjang tersebut.

Hadir sama pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Impol ini ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Kanselor Sawing Sumar, para Tuai Rumah dan ketua-ketua kaum di sini.

Tamat.