Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

Kerja baikpulih hakisan tanah di Saint Luke bermula



Caption: BUKTI... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden bersama Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang menyaksikan upacara penyerahan dokumen projek oleh Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Casiddy Morris kepada syarikat Megas Maju di SMK Saint Luke hari ini.

SRI AMAN, Isnin (3 Sept) – Kerja membaikpulih hakisan tanah bukit dalam kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke Sri Aman bermula secara rasminya pada hari ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata kerja membaikpulih yang menelan kos bernilai RM650,000 itu akan berlangsung selama 26 minggu hingga tarikh akhirnya pada 3 Mac tahun hadapan.

“Kerja baikpulih hakisan tanah yang dilaksanakan oleh syarikat Megas Maju Sendirian Berhad (Sdn Bhd) itu juga turut melibatkan kerja pembinaan sistem perparitan, papan tanda, tiang api dan pokok.

“Justeru saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan peruntukan bagi projek ini yang nyata sudah lama diluluskan sebelum pihak pembangkang mula mencetuskan isu mengenai masalah tersebut di media cetak,” katanya.

Harden berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai upacara serah dokumen kontrak projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kepada syarikat Megas Maju Sdn Bhd di SMK Saint Luke hari ini.

Selain itu projek naiktaraf Loji Perawatan Air di Bayai yang menelan kos sebanyak RM43 juta itu kata beliau juga sudah mencapai progress sebanyak 2.44 peratus semenjak ia bermula pada 23 Mei lepas.

“Usaha naiktaraf loji ini akan berlangsung selama 24 bulan. Pihak kontraktor yang bertanggungjawab iaitu Song Construction Sdn Bhd diberi tempoh sehingga 22 Mei tahun 2014 bagi menyiapkan projek ini.

“Projek Fasa I Hospital Baharu (meratakan tapak) di Sri Aman juga sedang giat dilaksanakan oleh syarikat Golden Matrix dengan kos bernilai RM9.6 juta dan dijangka siap pada 29 Ogos tahun hadapan,” katanya.

Justeru Harden berharap agar kesemua usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ini akan dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat dalam kawasan Sri Aman pada masa akan datang.

Terdahulu Jurutera Bahagian JKR Sri Aman iaitu Cassidy Morris telah menyerahkan dokumen projek kepada syarikat Megas Maju sambil disaksikan Harden bersama dengan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment