Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

Jangan sokong calon luar parti pembangkang - Nyalau


Caption: UNTUK RAKYAT...ADUN Engkilili, Dr Rayong dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang menyempurnakan simbolik perasmian bekalan paip air sambil disaksikan oleh para ketua kaum di Memaloi, Skrang kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (4 Sept) – Rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu dinasihat agar tidak menyokong parti pembangkang yang cuba meletakkan calon dari luar untuk bertanding di kawasan parlimen pada pilihan raya umum akan datang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata tindakan parti pembangkang yang cuba meletakkan calon luar untuk bertanding di Parlimen Lubok Antu hanya akan menyebabkan berlakunya perpecahan rakyat di situ.

“Parti Pekerja Sarawak (SWP) selaku parti pembangkang telah cuba meletakkan calon luar untuk bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu pada pilihan raya ini nanti yang dilihat sekaligus boleh menggugat ‘keamanan politik’ di situ.

“Justeru jangan cuba menyokong calon pihak SWP. Sebaliknya sokonglah calon Barisan Nasional (BN) yang sudah semestinya akan memilih anak jati dari kawasan parlimen Lubok Antu bagi tujuan pilihan raya terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Bekalan Paip Air di Rumah Assan Ramba, Memaloi, Skrang, Engkilili yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak kelmarin.

Selain itu Rayong juga menyeru rakyat agar menyokong William Nyalau sekiranya dia diberikan kepercayaan untuk mempertahankan semula kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Terdahulu sejumlah 61 buah keluarga dari Rumah Assan Ramba, Memaloi mendapat manfaat daripada projek bekalan air paip yang dibina oleh kerajaan bagi mengantikan kemudahan air lama sebelum itu.

Rayong dan Nyalau masing-masing mengumumkan nilai peruntukan yang sama iaitu RM10,000 untuk JKKK Rumah Assan dan RM5,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut menerusi majlis itu.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara simbolik perasmian bekalan paip air ini ialah Zainie Aji iaitu Pembantu Khas Ahli Parlimen Lubok Antu, Kanselor Nyambong Maweng, Kanselor Roy Edward Entalai dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment