Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, April 18, 2020

PKP tingkat cabaran pembelajaran anak-anak luar bandar



SIMANGGANG: Guru-guru di kawasan luar bandar menghadapi cabaran amat getir dalam meneruskan tanggungjawab mereka terhadap murid apabila sekolah ditutup akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Ini kerana capaian internet di kawasan luar bandar adalah terhad sehingga menyukarkan guru untuk melakukan sesi kumpulan pembelajaran atas talian berbanding dengan guru di kawasan luar bandar.

"Disebabkan oleh kelemahan capaian internet di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu, Engkilili maka pihak kami telah bertindak menyedia dan mengedarkan kertas latihan ke rumah panjang murid-murid dari sekolah ini.

"Usaha ini berjalan lancar dengan para guru yang berasal dari rumah panjang berdekatan sekolah ini bertindak menyempurnakan tanggungjawab mereka berhubung perkara itu," kata salah seorang gurunya iaitu Raymond Tawie Phang.

Beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak menerusi tinjauan berhubung perkara itu turut memberitahu bahawa para murid sekolahnya turut diminta menonton rancangan OKEY yang disiarkan di televisyen untuk memantapkan sesi pembelajaran masing-masing.

Sementara itu suri rumah iaitu Selbiah Pinuh ketika dihubungi Utusan Sarawak bagi tinjauan ini berpendapat bahawa ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk meneruskan sesi pembelajaran anak-anak di rumah jika tiada capaian internet yang kuat.

"Ibu bapa boleh memohon bantuan daripada jiran atau anak buah yang lebih berpengetahuan untuk mengadakan sesi pembelajaran ringkas untuk anak-anak pada setiap petang di rumah.

"Bagi saya tindakan ini adalah baik untuk membantu guru-guru di sekolah kawasan luar bandar untuk meneruskan sesi pembelajaran buat anak-anak pada setiap hari sepanjang perlaksanaan PKP ini," kata Selbiah.

Dia juga memohon kepada kerajaan untuk memperhebatkan usaha memperluas capaian internet di kawasan luar bandar agar anak-anak dapat belajar secara atas talian jika isu penularan pandemik seperti ini menular kelak.
Tamat

Suasana 'koboi' terasa di Pekan Pantu, Sri Aman


PANTU: Jika anda mahu mencari pekan-pekan koboi di negeri ini maka Pekan Pantu mungkin boleh termasuk dalam senarai carian anda pada masa sekarang.

Ini kerana kawasan Pekan Pantu menjadi semakin lenggang terutama sekali selepas waktu tengah hari semenjak bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Tinjauan baru-baru ini mendapati bahawa aktiviti jualan sayur masih berlangsung di Pasar Tamu MDSA Pantu dengan jumlah peniaganya dilihat semakin kurang berbanding sebelum PKP.

Lagi pun deretan kedai runcit yang beroperasi di Pekan Pantu itu dilihat menutup operasi masing-masing pada waktu lebih awal berbanding dengan waktu penutupan operasi biasanya iaitu jam 5.30 petang.

"Pekan Pantu hanya meriah di waktu pagi dan lenggang di waktu petang. Namun situasi itu hanya berlaku sebelum bermula arahan PKP bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

"Kini situasi itu sudah tidak sama lagi. Aktiviti jualan sayur di awal sudah semakin berkurangan dengan kedai runcit di sini akan ditutup lebih awal berbanding pada waktu biasa sebelum bermula PKP dahulu," kata Ricky Abang Lom, 42 tahun.

Sementara itu John Anis, 50, pula berpendapat agar penularan COVID-19 akan dapat berakhir cepat agar suasana di Pekan Pantu kembali hidup seperti biasa sebelum bermula PKP dahulu.

"Jika mahu menggelar Pekan Pantu sebagai pekan koboi pun saya tidak kisah. Sebaliknya saya amat berbangga dengan gelaran ini kerana Pekan Pantu sentiasa aman dan tidak pernah berlaku kes jenayah berat.

"Cuma kini arahan PKP menyukarkan kami untuk membeli barang di Pekan Pantu pada waktu petang...justeru diharap agar PKP ini tidak dilanjut semula selepas 28 April untuk menjadikan pekan ini kembali meriah di waktu awal pagi seperti dahulu,"katanya.

Tinjauan lanjut Utusan Sarawak juga mendapati anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) dan polis melakukan rondaan di sekitar kawasan pekan ini untuk memastikan penduduk mematuhi arahan PKP.

Terdahulu, kawasan pekan ini terletak kira-kira 76 kilometer dari Bandar Simanggang dan sering menjadi tumpuan ramai ketika berlangsungnya Pesta Pantu atau untuk mereka yang mahu memancing ikan di kawasan Batang Strap di sini.

APM Daerah Sri Aman selamat anak kucing



SIMANGGANG: Seekor anak kucing bernasib baik kerana terselamat walaupun telah menyorok di dalam ruang enjin sebuah kereta yang mahu bergerak di kawasan bandar ini baru-baru ini.

Kehadiran anak kucing berkenaan disedari oleh pemilik kereta tersebut setelah terlihat kelibat seekor haiwan yang bertindak masuk ke dalam ruang enjinnya ketika mahu membelok kenderaan ke sebuah hotel di sini.

"Disebabkan cemas, dia segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk memeriksa anak kucing tersebut di ruang enjin.

"Bagaimanapun ruang terhad dalam bahagian enjin kereta menyukarkannya untuk mengambil anak kucing itu sebelum pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman dipanggil untuk menyelamatkan haiwan manja berkenaan," kata pegawainya, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim.

Petugas APM yang tiba di lokasi kejadian katanya berjaya menangkap anak kucing berkenaan namun terpaksa menghadapi kesukaran bagi berbuat demikian seperti yang dialami oleh pemilik kereta tersebut sebelum itu.

"Anak kucing berkenaan akhirnya dipelihara oleh sanak saudara petugas kami di sini setelah mendapat tahu kisah menyelamat haiwan manja berkenaan dari enjin kenderaan tersebut,"kata Siti.

Justeru Siti dinasihat orang ramai di kawasan ini agar segera menghubungi pihak APM Daerah Sri Aman di talian 083-320973 jika mereka mahu memohon pertolongan berkaitan kes seperti itu di penempatan masing-masing kelak.

Monday, April 13, 2020

Dipenjara dan didenda kerana langgar PKP di Saratok dan Betong



SIMANGGANG: Seorang lelaki pada 2 April lepas telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan dengan lima orang lagi didenda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, melalui sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Betong dan Saratok.

Para tertuduh yang tidak diwakili peguam pada perbicaraan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara jam 5 petang hingga 10.30 malam bermula dari tarikh 29 Mac hingga 30 Mac lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tindakan para tertuduh yang tidak mematuhi arahan PKP itu boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam.

Maris menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 terhadap kesemua tertuduh dan memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Perbicaraan itu juga menyaksikan dua lagi individu daripada kumpulan tertuduh tersebut ditetapkan oleh Mahkamah Majistret Sri Aman bagi mendengar laporan akhlak di Mahkamah Majistret Saratok berhubung kes itu pada 1 dan 14 Mei ini.


Chee Chuan Khor Simanggang kumpul RM30k bantu kemudahan Pusat Rawatan dan Kuarantin COVID-19



SIMANGGANG: Pertubuhan Meninggikan Akhlak atau Chee Chuan Khor Simanggang telah pada 4 April lepas bertindak menyumbang peralatan untuk membantu Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 yang beroperasi dalam Bahagian Sri Aman.

Presidennya, Temenggung Kueh Aik Seng berkata sumbangan itu dibuat setelah pihak Jabatan Kesihatan memohon Chee Chuan Khor Simanggang untuk mencari dana bagi menyedia kemudahan asas di tiga pusat kuarantin yang sedang beroperasi di bahagian ini.

"Tabung Kebajikan dan Pendidikan Ngu Hieng Wu dari pertubuhan kami telah bertindak mengumpul sumbangan derma melebihi RM30,000 daripada Huong Suk Ing, keluarga Corina Chan dan beberapa individu lain yang tidak mahu nama mereka didedahkan di sini.

"Derma ini kemudiannya diguna bagi menyediakan katil, alat pendingin hawa, meja, kanopi dan peralatan lain untuk kegunaan pusat-pusat kuarantin tersebut termasuk yang terbaharu sekali iaitu Asrama Pelatih Jururawat berdekatan Poliklinik Sri Aman di sini," kata beliau.

Kueh berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ringkas Penyerahan Peralatan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Asrama Pelatih Jururawat berdekatan Poliklinik Sri Aman di sini.

Selain itu beliau juga turut memohon kepada semua pertubuhan di Sri Aman agar mengikut jejak langkah pihaknya untuk membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di kawasan ini.

"Saya yakin bahawa akan ada lagi pertubuhan lain yang bakal tampil membantu menyalur pelbagai jenis sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman bagi mengekang penularan pandemik berkenaan di sini kelak.

"Justeru terima kasih saya ucapkan kepada para ahli Chee Chuan Khor Simanggang kerana sudi menderma demi membantu pengurusan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 dalam Bahagian Sri Aman ini," kata beliau.

Terdahulu Kueh menerusi majlis berkenaan telah pun bertindak menyampaikan peralatan berkenaan kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Euphrasia Bari sambil disaksikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.

Helikopter hantar bekalan makanan di pedalaman Lubok Antu





LUBOK ANTU: Dua buah helikopter digunakan untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di Lubok Antu pada 6 April lepas.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Jack Meredan berkata perkhidmatan helikopter digunakan untuk kawasan yang jauh dan sukar diakses menerusi jalan darat.

Katanya antara kawasan yang jauh dan sukar diakses menerusi laluan jalan darat di Lubok Antu ini adalah Ulu Lemanak dan Ulu Engkari.

"Penghantaran bantuan makanan ini telah melibatkan sebanyak 14 penerbangan ulang alik helikopter yang berlepas dari pusat pengagihan makanan di Kompleks Sukan Lubok Antu.

"Selain menggunakan pengangkutan udara, penghantaran bekalan makanan kepada penduduk di sini juga turut akan menggunakan pengangkutan darat termasuk laluan balak," katanya.

Jack turut memberitahu bahawa Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Indutsri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Malcom Mussen Lamoh turut menyalur dana bagi menjayakan program bantuan makanan kepada penduduk di sini.

"Selain bantuan bekalan makanan yang diberi melalui peruntukan kerajaan negeri kepada setiap kawasan DUN, penduduk di DUN Batang Ai turut menerima bantuan makanan menerusi dana yang disalur oleh Mussen sejak 1 April lepas,"katanya.

Difahamkan juga Sarawak Energy Berhad turut memberikan sumbangan kepada penduduk di 28 buah rumah panjang dalam Skim Penempatan Semula Batang Ai melalui Program Tanggunggjawab Sosial mereka.

Untuk rekod, DUN Batang Ai mempunyai 3,978 Ketua Isi Rumah pada masa sekarang.

Hi blogger !!

Hi rakan-rakan.

Kita sebagai rakyat Malaysia termasuk rakyat dari seluruh dunia kini sedang melalui tempoh yang sukar di kala penularan pandemik berbahaya iaitu COVID-19.

Pandemik kali ini boleh dikatakan paling ber'bisa' semenjak pandemik terburuk dalam tempoh 102 tahun ini iaitu Spanish Flu pada 1918.

Justeru paling penting sekali ialah patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Lagi pun 28 April 2020 belum semestinya jadi tarikh terakhir untuk arahan seperti ini ditamatkan.

Impaknya terhadap hidup kita memang mula terasa...of course dari segi ekonomi. Tapi sekurang-kurangnya dengan mematuhi PKP maka kita akan dapat mengelak daripada dijangkiti COVID-19, bukan?

So stay safe and do not go elsewhere kalau tak perlu.

Selamat mengharungi pandemik COVID-19. Ariyos!

-- 14 APRIL 2020--