Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Mangka kebakaran dari Rumah Jegai bakal dapat rumah panjang baru - Harden



Caption: PENGHARGAAN...Tuai Rumah Jegai Jawa sedang menyampaikan cenderamata kepada Harden sambil disaksikan oleh Masir (belakang), Johnathan (kanan) dan Cassidy (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (25 April) – Nasib malang yang menimpa 16 buah keluarga dari Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Undop, Batu Lintang apabila rumah panjang mereka hanggus dijilat api pada 26 November tahun lepas bakal berubah selepas ini.

Ini kerana kerajaan menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada setiap 16 orang keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran terbabit.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis mengumumkan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Pemberkatan Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Undop di Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

“Secara keseluruhannya, kerajaan menerusi PBR akan menyalurkan sejumlah RM800,000 bagi membolehkan rumah panjang baru dibina untuk kemudahan kesemua mangsa kebakaran tersebut.

“Kerja pembinaannya akan bermula bila-bila masa mulai sekarang dan kita kini menunggu keputusan daripada pihak Pejabat Residen Sri Aman untuk melantik kontraktor yang bertanggungjawab bagi melaksanakan projek tersebut,” katanya.

Beliau yang turut menyumbang sebanyak RM30,000 bagi membantu kerja meratakan tapak baru pembinaan rumah panjang terbabit sebelum ini juga turut menasihatkan rakyat agar sentiasa berada teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bantuan tersebut kata Harden adalah merupakan bukti bahawa kerajaan BN sememangnya sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan hidup rakyat yang ditimpa kesusahan selama ini.

“Ini tanggungjawab BN dalam membela kebajikan semua rakyat. Justeru saya berharap agar rakyat terus memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap kita agar kebajikan mereka terus terbela dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya Bahagian Sri Aman, Cassidy Morris, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

RM12 juta untuk RES di Engkilili



Caption: TERIMALAH...Rayong sedang menyampaikan dokumen khas kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Nyalau ketika berlangsungnya majlis tersebut kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (25 April) – Sejumlah RM12 juta diperuntukan oleh kerajaan bagi melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di kawasan Lidong, Kubal, Tisak, Lipat hingga ke Kejemut dalam daerah Kecil Engkilili pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr. Johnical Rayong Ngipa berkata, projek  RES bernilai RM12 juta ini sudah semestinya akan menaiktaraf hidup penduduk rumah panjang yang masih belum menikmati kemudahan elektrik 24 jam di kawasan itu.

“"Saya percaya akan lebih banyak projek disalurkan ke kawasan DUN Engkilili nanti. Pentingnya di sini ialah penduduk perlu terus bersabar menanti hasil projek yang masih giat dilaksanakan sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah panjang Tawi anak Ragai, Duri Bangat, Lidong anjuran JKKK rumah panjang itu Engkilili kelmarin.

Selain itu Rayong juga turut memberitahu bahawa sebanyak enam buah panjang yang terletak di perkampungan Merio dalam daerah Kecil Engkilili bakal menerima kemudahan RES  tidak lama lagi.

Enam buah rumah panjang itu katanya ialah Rumah Baie Merio Rembai, Rumah Tupie Merio Baong, Rumah Tinggie Merio Tambak, Rumah Melina Merio Sedan, Rumah Jawa Merio Sedan dan Rumah Buda Merio Nanga.

“Lagipun projek pembinaan jalan raya Duri Bangat oleh kerajaan sepanjang lima kilometer yang baru saja siap sebelum ini bakal dinaiktaraf  semula dengan peruntukan jumlah RM300,000.

“Ini merupakan berita gembira buat penghuni rumah panjang Duri Bangat kerana ia secara tidak langsung akan melancarkan lagi pergerakan penduduk ketika melalui jalan raya itu nanti,” katanya.

Terdahulu majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak menyaksikan Rayong mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK Duri Bangat dan RM5,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Tamat…

Program Pentas Gawai WAI FM Iban di Lubok Antu 5 Mei ini



Mugshot: MONICA MIDI

SRI AMAN, Rabu (25 April) – Penduduk dari kawasan Lubok Antu dijemput untuk memeriahkan Program Pentas Gawai WAI FM Iban 2012 yang akan berlangsung di Rumah Jubang, Sebangki Panjai, Lubok Antu pada 5 Mei ini.

Jurucakapnya Monica Midi menerusi siaran media hari ini memberitahu Program Pentas Gawai WAI FM Iban 2012 itu nantu akan bermula pada jam 6.30 petang di rumah panjang tersebut.

“Program yang diadakan pada setiap tahun ini akan dirakam bagi tujuan siaran di radio (WAI FM) pada 31 Mei kelak bersempena dengan sambutan perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun tahun ini.

“Ia akan didahului dengan jamuan makan malam kepada para hadirin sebelum upacara perasmian oleh Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak pada jam 8 malam,” menurut beliau.

Sebaik sahaja selesai upacara perasmian tersebut, para hadirin kata Monica akan dihidangkan dengan persembahan nyanyian lagu oleh beberapa orang artis rakaman Iban popular di negeri ini.

Antara artis rakaman Iban yang akan mempersembahkan lagu masing-masing pada Program Pentas Gawai WAI FM Iban 2012 itu nanti ialah Dom Romeo, Achan, Ita Medin, Jennarino Jeraki, Betty Bawing dan Ranne Pat..

“Program Pentas Gawai WAI FM Iban 2012 ini turut diserikan dengan persembahan sketsa oleh Bunyau (Stonton James) dan Bunyau (Ken Michael) dari Bahagian Iban WAI FM.

“Malah, mereka juga berpeluang untuk bertemu dengan beberapa orang juruhebah radio WAI FM yang lain disamping mengambil bahagian dalam acara cabutan tiket bertuah serta kuiz pada program itu nanti,” katanya.

Justeru orang ramai dari sekitar kawasan Lubok Antu kata Monica dipelawa untuk memeriahkan Program Pentas Gawai WAI FM Iban 2012 terbabit di Rumah Jubang Bin, Sebangki Panjai pada hari yang dinyatakan.

Tamat.

Rakyat mesti sokong semua komponen parti BN - Patrick


Caption: SIMBOLIK...Harden (kiri) bersama Patrick (tengah baju kuning) ketika bersama penduduk untuk menyempurnakan simbolik perasmian program berkenaan kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (24 April) – Rakyat khasnya dari kawasan luar bandar Sri Aman perlu memberi kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap komponen parti Barisan Nasional (BN) dalam negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) N.27 Simanggang, Patrick Michael Malajin berkata ia amat penting demi meneruskan rentak pembangunan dalam negeri ini khasnya di Sri Aman dari masa ke semasa.

“Sokongan padu perlu diberikan kepada Kerajaan BN Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib demi memperhebatkan lagi kemajuan negeri dan kawasan Sri Aman pada masa akan datang.

“Justeru saya menyeru agar rakyat khasnya dari kawasan luar bandar Sri Aman untuk sentiasa bersedia supaya tidak muda terpedaya dengan tipu helah serta janji kosong pihak pembangkang menjelang Plihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Turun Padang Dan Gotong –Royong anjuran Pemuda Bumiputera SUPP N.27 Simanggang di Rumah Kanselor Ringgit Bayang, Ibol, Sri Aman kelmarin.

Sementara itu Program Turun Padang Dan Gotong-Royong jelas Patrick juga bertujuan memantau masalah rakyat disamping ingin mengetahui hasil perkembangan aktiviti yang dilaksanakan oleh JKKK Rumah Ibol sebelum ini.

“Pihak kami menerusi program ini juga mahu membantu mendaftarkan penduduk berusia 21 tahun ke atas sebagai pengundi dan juga memantau sama ada kesemua anak-anak di rumah panjang ini bersekolah atau tidak.

“Kami adalah telinga dan jambatan kerajaan BN. Oleh itu kami akan meneruskan program seperti ini di kawasan taman dan luar bandar dalam kawasan DUN Simanggang serta Parlimen Sri Aman dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Program Turun Padang Dan Gotong–Royong anjuran Pemuda Bumiputera SUPP N.27 Simanggang itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Program ini turut dijayakan oleh 100 orang ahli JKKK, ahli SUPP Simanggang dan ahli dari Pergerakan Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang turut menyaksikan penglibatan Kanselor Barbara Mawan.

Kesemua mereka turun padang untuk membersihkan kawasan tebingan Sungai Raya, Ibol dan sekitar rumah panjai berkenaan bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
Tamat.


Futsal Program Armada Pemuda Parti PBB Zon Empat pada 1 Mei ini



Mugshot: ZAIDIL HAJI RIPIN

- 24 APRIL

Belia dari sekitar kawasan Sri Aman dipelawa untuk menyertai Pertandingan Futsal pada 1 Mei ini yang diadakan sempena penganjuran Program Armada Pemuda Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Empat.

Pertandingan Futsal yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengelola Program Armada Pemuda PBB Zon Empat dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman atau FASA itu akan berlangsung di Kompleks Sukan KPSU Sri Aman bermula jam 7.30 pagi.

“Hadiah wang tunai bernilai RM300, piala dan pingat akan dimiliki oleh mana-mana pasukan yang berjaya muncul juara bagi pertandingan futsal bersempena dengan penganjuran program itu.

“Manakala naib juara pula akan memperoleh RM200, piala dan pingat dengan pemenang tempat ketiga memperoleh RM150, piala dan pingat serta RM100 bersama piala bagi pemenang tempat keempat,” kata Setiausaha FASA, Zaidil Haji Ripin.

Format Pertandingan Futsal sempena Program Armada Pemuda PBB Zon Empat menurut beliau juga akan dilaksanakan menerusi sistem kalah mati dan bukannya perlawanan liga berkumpulan.

Mereka yang berminat kata Zaidil boleh menghubungi Tahir Brahim di talian telefon 019-8743288 untuk mendapatkan borang pertandingan dengan yuran penyertaan bernilai RM30 dikenakan bagi setiap pasukan bertanding.

“Tarikh tutup penyertaan Format Pertandingan Futsal sempena Program Armada Pemuda PBB Zon Empat bagi ialah pada 28 April sekitar jam 5 petang. Justeru belia Sri Aman dipelawa untuk tidak melepaskan peluang bagi menyertai pertandingan ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa Upacara Sepak Mula (Kick Off) Liga Bolasepak Naim Sri Aman akan berlangsung pada 20 Mei di Padang Kompleks KPSU Sri Aman bermula jam 4.30 petang oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Tamat.

Projek NKEA Padi Batang Lupar bakal majukan Sri Aman


Caption: MESRA...Rohani (tengah) ketika bersama Simoi, Mong, Johnathan dan peserta sebelum bermula sesi taklimat projek yang disampaikan oleh pihak Jabatan Pertanian sempena majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (24 April) – Projek NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) Padi Batang Lupar dijangka akan dapat mengubah landskap pembangunan di kawasan Sri Aman khasnya di Batang Lupar pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata kawasan Batang Lupar akan menjadi penyumbang keluaran bekalan beras pertama di Sarawak sekiranya ia sudah dilaksanakan kelak.

“Saya yakin projek ini akan dapat mengubah taraf ekonomi penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan Batang Lupar, Sri Aman apabila ia sudah maju dan dapat dikomersialkan selepas itu.

“Jika kemudahan projek ini sudah dipertingkatkan kelak maka tidak mustahil Projek NKEA Padi Batang Lupar akan mampu mengeluarkan sebanyak 12 tan padi per hektar seperti yang dicapai di Sekincan, Selangor pada masa sekarang,” katanya.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Projek NKEA Padi Batang Lupar yang disertai seramai 200 orang peserta di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu penduduk di kawasan Batang Lupar kata beliau juga perlu bersama-sama menjayakan perlaksanakan projek tersebut sebelum ia boleh dikembangkan ke lain-lain lokasi di Sarawak.

“Penduduk Batang Lupar, Sri Aman harus sedar bahawa kerajaan hanya meminjam kawasan tanah mereka yang berkeluasan 5,000 hektar itu bagi tujuan perlaksanaan projek perintis jelapang padi pertama di negeri ini.

“Tanah terbabit masih tetap milik mereka. Dengan adanya kerjasama penduduk maka saya yakin Ia akan menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada mereka apabila ia sudah dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh dan wakil Setiausaha Kementerian Pertanian, Paul Vincent Ritom.

Terdahulu Projek NKEA Padi Batang Lupar merupakan salah satu usaha kerajaan dibawah teraju mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Bedawi bagi membendung krisis kekurangan bekalan makanan negara pada tahun 2008.

Mantan Menteri Permodenan Pertanian Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan kemudiannya telah mengenalpasti sejumlah 50,000 hektar tanah di negeri ini sebelum memilih kawasan Batang Lupar bagi tujuan tersebut.

Tamat.

Penutup longkang di Jalan Hospital terbuka



Caption: PERLU DITUTUP...Lubang longkang berdekatan bangunan KWSP Sri Aman nyata terdedah hasil tinjaun Utusan Sarawak sebelum ini.

SRI AMAN, Isnin (23 April) – Lubang longkang yang tidak tertutup dengan begitu sempurna berdekatan dengan bangunan lot 916, Jalan Hospital dalam Bandar Sri Aman ini mungkin tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada orang dewasa.

Namun begitu ia mungkin boleh mendatangkan masalah kepada kanak-kanak yang sering melewati kawasan berkenaan pada waktu lewat petang atau malam walaupun kemalangan membabitkan golongan tersebut dipercayai masih belum berlaku hingga sekarang.

Seorang pekerja bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Nasir memberitahu lubang berkenaan dikatakan dalam dan boleh menimbulkan kecederaan kepada kanak-kanak sekiranya tidak ditutup dengan sempurna selepas itu.

“Penutup besi pada lubang parit tersebut sudah terbuka agak lama. Lubang parit itu sudah semestinya akan menarik perhatian kanak-kanak yang sering berdekatan kawasan itu tanpa kawalan ibubapa mereka.

“Lagipun ia cukup dalam bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Justeru saya berharap agar lubang berkenaan ditutup semula dengan sempurna demi mengelak kanak-kanak dari memasuki lubang tersebut selepas ini,” katanya.

Seorang penduduk iaitu Nashree juga melahirkan rasa bimbang terhadap lubang tersebut memandangkan ia terletak tidak jauh dari lokasi rehat penduduk kampung yang datang ke Bandar Sri Aman pada setiap hari.

Katanya lubang longkang tersebut terletak berdekatan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan secara kebetulan menjadi lokasi penduduk kampung dan anak-anak kecil mereka untuk berehat di situ sehingga waktu tengahari.

“Buat sementara waktu, kedudukan lubang longkang yang terdedah itu telah dilindungi oleh pokok bunga dan tidak dapat dilihat oleh kebanyakkan orang ramai di kawasan bangunan tersebut.

“Atas sebab ini saya berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan mengambil kesempatan ini untuk segera menutup kembali lubang tersebut dengan besi agar ia tidak boleh dimasuki oleh mana-mana pihak di masa akan datang,” katanya.

Tamat.


Jabatan Penjara adakan Bengkel Lembaga Hakim



Caption: UNTUK ALBUM...Darussalam (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para peserta ketika berlangsungnya bengkel tersebut di Kuching baru-baru ini.

KUCHING, Isnin (23 April) - Jabatan Penjara Malaysia telah mengadakan Bengkel Lembaga Hakim Pelawat Peringkat Zon Penjara Sarawak bertempat di Grand Continetal, Kuching bermula dari 20 hingga 21 April lepas.

Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Komisioner Penjara, Haji Darussalam Haji Budin merangkap Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan,  Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

Bengkel yang dihadiri oleh 21 orang peserta dari seluruh institusi penjara negeri ini bertujuan untuk memberi kefahaman mendalam kepada mereka tentang peranan dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai Urusetia dan Ahli Lembaga Hakim Pelawat.

“Peranan Ahli Lembaga Hakim Pelawat dalam membantu JPM bagi mempertingkatkan program pemulihan dan layanan kepada penghuni penjara adalah amat penting kerana mereka merupakan badan berkecuali dan dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.

“Laporan hasil lawatan Lembaga Hakim Pelawat akan disemak oleh pihak Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan JPM melaksanakan peranan, tanggungjawab dan tugas selaras dengan akta, peraturan serta piawaian antarabangsa dari masa ke semasa,” katanya.

Selain itu perkara ini menurut beliau adalah amat penting kepada Kementerian Dalam Negeri dan JPM bagi mencapai visi Jabatan Penjara Malaysia menjadi sebuah Institusi Koreksional Bertaraf Dunia menjelang tahun 2020.

Justeru beliau berharap agar Ahli Lembaga Hakim Pelawat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan efisyen disamping memaklumkan kepada Pengarah Institusi Penjara sekiranya timbul masalah ketika mengadakan lawatan di penjara selepas ini.

“Lagipun pemilihan dan perlantikan Ahli Lembaga Hakim Pelawat dibuat berdasarkan sumbangan mereka di dalam masyarakat dan hal ini perlu dimainkan sebaik mungkin oleh mereka mulai sekarang,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Penguasa Penjara, Hamad Seman, Ketua Bahagian Pengurusan Banduan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Awang Othman Awang Chee, Felicia Noeb dan Timbalan Penguasa, Mohd Kaspu Anwar dari Bahagian Pengurusan Banduan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

Tamat.
                                   


RM3 juta untuk projek Air Graviti Bukit di Sri Aman - Masir



Caption: RASMI...Masir sedang memotong reben sebagai salah satu simbolik rasmi majlis sambil disaksikan oleh Alexander (kanan), Dr Richard (belakang) dan Tr Gendang (kanan) pada majlis itu kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (22 April) – Kerajaan bercadang untuk membangunkan 11 buah projek Air Graviti Bukit (AGB) dalam kawasan daerah Sri Aman bagi tahun 2012 ini demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Menurut beliau berkata projek AGB yang akan dibangunkan oleh Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) Malaysia Sarawak di Sri Aman ini menelan anggaran kos berjumlah RM1.54 juta.

“Di bawah Rolling Plan bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar JMG 2013 – 2014 ini nanti, sebanyak 10 buah projek AGB akan dibangunkan dengan anggaran kos sebanyak RM1.78 juta.

“Dengan itu jumlah peruntukan yang bakal diterima oleh daerah Sri Aman bagi tujuan pembangunan projek AGB oleh pihak JMG berkenaan ialah RM3.32 juta,” menurut beliau.

Masir berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Dan Penyerahan Sistem AGB yang berlangsung di Rumah Gendang anak Gumeh, Klauh, Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu Sistem AGB yang dibangunkan di Rumah Gendang, Klauh semenjak dari tahun 2011 itu katanya telah menelan kos sebanyak RM85,000 dan akan memberi manfaat kepada 375 orang penduduk di situ termasuk juga dari Tumah Uggi Gumeh.

“Sistem AGB yang melibatkan pembinaan takungan air, pemasangan paip HGPE dan pili air itu bertujuan membekalkan air di kampung-kampung dan rumah panjang yang belum mendapat bekalan air dari sistem retikulasi.

“Punca air graviti ini didapati di hulu sungai di kawasan berbukit yang parasnya lebih tinggi dari rumah panjang. Justeru diharap agar kehidupan penduduk dapat dipertingkat dengan adanya kemudahan seperti selepas ini,” katanya.

Masir juga memohon kepada semua penduduk untuk memberi kerjasama dalam menjaga kemudahan AGB yang telah dibina di kawasan Rumah Gendang agar ia dapat memberi bekalan air secara berterusan dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Pengarah JMG Malaysia Sarawak, Alexander Unya Ambon, timbalannya, Dr Richard Mani, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad dan ketua kaum di sini.

Masir menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilia RM3,000 kepada JKKK rumah panjang tersebut dan mengumumkan peruntukan bernilai RM2,000 bagi membaiki kalbot di situ.

Tamat.




Imigresen LATK adakan sukaneka



Caption: TERIMALAH...Datu Robert sedang menyampaikan cendaramata kepada PIT(I) Malik, Timbalan Ketua Pasukan Kumpulan DeLTA sambil diperhatikan oleh TPPI(I) Ijah (kiri) dan Nelson Naga (tengah).

KUCHING, Ahad (22 April) - Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LATK) telah menganjurkan Mini Karnival Sukan Dalaman LTAK yang berlangsung sepanjang bulan April bagi tahun 2012 di sini baru-baru ini.

Jurucakap Jabatan Imigresen LTAK, Nelson Naga Alam menerusi siaran medianya kelmarin memberitahu seramai 146 orang pegawai bertugas di pejabat itu telah mengambil bahagian dalam mini karnival kali kedua berkenaan.

“Kali pertama mini karnival ini diadakan ialah pada bulan Disember 2009. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim di kalangan pegawai dalam satu keluarga Jabatan Imigresen Malaysia.

“Karnival ini juga secara tidak langsung akan dapat menyemarakan lagi semangat pasukan disamping mewujudkan lagi hubungan kerjasama yang erat dan bersatu padu di kalangan semua pegawai selepas ini,” katanya.

Terdahulu Mini sukan dalaman LTAK ini telah diurus oleh Badan Kebajikan Dan Sukan Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang telah ditubuhkan pada bulan Jun 2009.

Menerusi karnival ini para pegawai telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang diketuai oleh Norhayati Perseh (Kumpulan Antap Warriors), Wong Yieng Ching (Kumpulan Bravo), Mehuen Runies (Kumpulan Charlie) dan Ijah Jumpok (Kumpulan DeLTA).

Sebanyak tujuh jenis sukan  dalaman  telah dan sedang dipertandingkan sepanjang bulan April ini antaranya ialah Pertandingan Futsal, Boling, Karom, Dart, Batu Seremban, Congkak dan Gusti Lengan.

Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Datuk Robert Lian telah merasmikan Majlis Pelancaran Mini Sukan Dalaman Jabatan LTAK pada 10 April lalu bertempat di Pusat Sukan Stakan, Kuching.

Beliau mengucapkan syabas Pejabat  Imigresen LTAK kerana ia satu-satunya pejabat imigresen negeri ini yang berjaya menganjurkan Mini Karnival Sukan Dalaman  untuk pegawai-pegawainya yang bertugas di LTAK.

“Pegawai Imigresen perlu melibatkan diri dalam sukan supaya mereka kelihatan lebih sihat dan cergas ketika menjalankan tugas-tugas harian sehingga membolehkan mereka menjadi golongan penjawat awam yang sihat.

“Justeru saya berharap Mini Karnival Sukan Dalam LTAK dilaksana berlandaskan kepada semangat kesukanan yang tulen disamping Mini Karnival Sukan Dalaman sebagai acara tahunan selepas ini,” katanya.

Majlis Penutupan Mini Karnival Sukan Dalaman Jabatan Imigresen LATK ini akan diadakan pada 28 April di sebuah hotel yang terkemuka dalam Bandaraya Kuching menerusi Majlis Makan Malam dan beberapa acara menarik termasuk penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Tamat

Wanita diseru bagi sokongan kepada BN - Dorris



Caption: PENGHARGAAN...Dorris menerima cenderamata daripada seorang ketua kaum sambil disaksikan oleh Nyalau ketika berlangsungnya majlis itu pagi kelmarin.

LUBOK ANTU, Ahad (22 April) – Golongan wanita di negeri ini diseru agar memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila-bila masa mula sekarang.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Doris Sophia Brodie berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘Ruai Baru’ Rumah Sandah, Sungai Ara, Lubok Antu, pagi kelmarin.

Beliau percaya bahawa golongan wanita boleh menyumbang kepada kemenangan pada PRU13 akan datang memandangkan statistik jumlah pengundi di negeri ini menunjukkan bahawa golongan mereka lebih ramai berbanding dengan pengundi lelaki.

“Saya disini mengajak anda (wanita) bersama dengan golongan lelaki memberi sokongan kepada calon BN untuk mempastikan kerajaan BN memerintah semula negara ini,” katanya.

Selain itu untuk Doris yang juga Pengerusi Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) memberitahu bahawa William Nyalau Badak akan diberi kepercayaan sekali lagi untuk bertanding atas tiket BN bagi kawasan Parlimen Lubok Antu pada PRU13 kelak.

Namun begitu keputusan sama ada Nyalau akan dicalon semula untuk bertanding mempertahankan semula kerusi milik PRS terbabit kata beliau terpulang kepada keputusan muktamad Pengerusi BN Negeri dan Pusat.

“Justeru berilah sokongan kepada Nyalau untuk membolehkan beliau memenangi semula kerusi Parlimen Lubok Antu dengan mudah pada pilihan raya akan datang nanti,” kata Dorris.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnanthan dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.

Dorris menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM2,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Sungai Ara dengan RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Tamat

Jelajah AJARR di Sri Aman dapat sambutan


Caption:

1. APA KHABAR? Penyampai radio dari Cats FM iaitu Ivy sedang berbual dengan para peminat ketika berlangsungnya program tersebut kelmarin.

2. MERIAH...Para peminat mengambil kesempatan untuk berjoget bersama penyampai radio Cats FM ketika berlangsungnya program tersebut kelmarin.

SRI AMAN, Ahad - Jelajah “Anugerah Juara Rentak Ruai’ (AJARR) 2011 yang berlangsung Taman Panorama Benak berdekatan Kubu Alice, Sri Aman bermula jam 10 pagi kelmarin telah mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan.

Ia terbukti apabila Taman Panorama Benak sudah dikerumuni oleh ramai penduduk yang mahu melihat dengan lebih dekat wajah finalis AJARR dan juga penyampai radio popular daripada stesen radio Cats FM.

Antara finalis AJJR 2011 yang turut hadir pada jelajah itu ialah Lucy M dan kumpulan Hevance dengan penyampai radio Cats FM iaitu DJ Freddy hadir bagi menceriakan suasana program tersebut.

Lucy M dan Hevance termasuk juga beberapa orang artis undangan seperti Along Lupeng, Maxwel Franklin Saran, Gondon John, Ivy dan Sima turut hadir bagi mendendangkan beberapa buah lagu kepada para penonton.

Pelbagai acara menarik diadakan bersempena dengan program Jelajah AJARR 2011 di Taman Panorama Benak bersama peminat antaranya ialah kuiz, Poco-Poco dan joget bersama mereka.

Selain itu para peminat juga berpeluang untuk membeli pelbagai produk bersempena dengan program Jelajah AJARR 2011 terbabit seperti jualan baju T Shirt AJRR, Heavent dan VCD Lucy M yang mendapat sambutan hangat daripada para peminat.

Tidak ketinggalan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Program Jelajah AJARR 2011 ini ialah konvoi Cats FM dengan menggunakan kenderaan jenis Perodua di situ pagi kelmarin.

Tamat…


Mantapkan pergerakkan pengguna di sekolah - Snowdan


Caption: TAHNIAH...Snowdan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sambil disaksikan oleh Phang (kiri) dan Lena (kanan) pada majlis itu hari ini.

BALAI RINGIN, Jumaat (20 April) –  Usaha untuk menjadikan Kelab Pengguna Sekolah sebagai satu gerakan kepenggunaan yang mantap sememangnya memerlukan persefahaman yang erat di antara semua pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata ia memerlukan gandingan kerjasama antara para pelajar, guru dan semua pihak dalam mewujudkan gelombang kepenggunaan yang besar selepas ini.

“Kelab Pengguna Sekolah merupakan saluran yang tepat dalam usaha menerapkan pendidikan kepenggunaan di kalangan pelajar sekolah sama ada melalui pendekatan secara formal mahupun tidak formal.

“Justeru gandingan antara ketiga-tiga pihak ini akan membolehkan Kelab Pengguna Sekolah menjadi kuat dan bersatu seiring dengan laungan ‘kuasa pengguna, satu pengguna satu suara’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Mini karnival kepenggunaan Kelab Pengguna Sekolah,  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, Serian hari ini.

Selain itu usaha penjenamaan semula Kelab Pengguna Sekolah kata Snowdan akan menjurus kepada kewujudan kumpulan pengguna baru yang bermaklumat, bijak serta bertanggungjawab menerusi pendekatan baru yang lebih praktikal serta bersepadu.

“Lagipun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDKK) juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 kepada setiap Kelab Pengguna Sekolah yang ditubuhkan di seluruh negara.

“Peruntukan terbabit diharapkan agar dapat menjadi penggerak kepada aktiviti-aktiviti kepenggunaan yang melibatkan para pelajar sekolah pada masa akan datang,” menurut beliau.

Snowdan turut menambah bahawa sehingga kini sejumlah 1,586 dari 2,250 buah sekolah menengah di seluruh negara telah menubuhkan kelab terbabit dengan KPDKK mensasarkan pencapaian tersebut ditingkat kepada 100 peratus pada akhir tahun ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Penolong Pengarah KPDNKK Sarawak, Lena Encharang, Pengetua SMK Balai Ringin, Pang Chung How, para ibubapa dan kakitangan sekolah tersebut.

Tamat.

710 anggota RELA dan JPAM Sri Aman sertai Kursus Team Building


Caption: CERIA...Para peserta sedang melakukan kerja berkumpulan ketika bermulanya Program Team Building di Pejabat Narkotik IPD Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (20 April) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah mengambil bahagian dalam Program Team Building yang berlangsung di Pejabat Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman hari ini.

Program anjuran Kementerian Dalam Negeri bagi Bil 1 / 2012 itu akan melibatkan seramai 500 orang anggota RELA dan 210 orang anggota JPAM dari Sri Aman hingga ia tamat pada 26 April kelak.

“Program Team Building KDN ini menyasarkan penglibatan sejumlah 100,000 orang ahli RELA, JPAM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang diadakan serentak di balai polis seluruh negara,” kata jurucakap program tersebut.

Objektif program ini katanya ialah untuk membina jati diri terhadap setiap individu disamping meningkatkan semangat berkumpulan ke arah peningkatan sikap, penyayang dan profesionalisme.

Ia juga bertujuan untuk memperkasakan konsep ‘1 KDN’ dikalangan warga kerja KDN dari pelbagai jabatan / agensi ke arah menjadikan mereka sebagai satu pasukan kerja yang kompak serta saling bekerjasama antara satu sama lain.

“Kita juga mahu memperkemaskan jalinan kerjasama antara para petugas jabatan / agensi untuk Ops 1 Malaysia supaya objektif operasi dan mempersadakan gelombang kesukarelaan dikalangan mereka.

“Justeru diharap agar program dapat menjadikan mereka sebagai duta kecil dan wakiln kerajaan di lapangan dalam memberi khidmat kepada rakyat setempat untuk kesejahteraan bersama,” katanya.

Terdahulu unit RELA Batu Lintang pimpinan Ketua Perhubungan Rela Kawasan iaitu Kapten Zulia Haji Jemat adalah merupakan pasukan pertama RELA yang menghadiri program itu hari ini.

Dua orang penceramah dari Jabatan Pendaftaran Negara iaitu Mohd Malik Mohd Marikan (Sri Aman) dan Rosmaliki Mat Derus (Kuching) telah dijemput khas bagi memberi taklimat dalam program tersebut.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad hadir pada jam 9 pagi hari ini bagi menyampaikan taklimat kepada kumpulan peserta yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Tamat.

Penjara Pusat Sri Aman jayakan Majlis Ihtifal Kesenian Islam


Caption: TAHNIAH...Kadir sedang menyampaikan hadiah kepada pemenang ketika berlangsungnya majlis itu di dewan Penjara Pusat Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (20 April) – Seramai 40 orang penghuni dari penjara di seluruh negeri ini telah mengambil bahagian dalam Majlis Ihtifal Kesenian Islam Peringkat Penghuni Penjara Negeri Sarawak 2012 di dewan Penjara Pusat Sri Aman petang kelmarin.

Mereka terdiri daripada 12 orang penghuni dari Penjara Puncak Borneo, Kuching, lapan orang penghuni dari Penjara Pusat Sri Aman, 14 orang penghuni dari Penjara Pusat Sibu, empat orang penghuni dari Penjara Pusat Miri dan dua orang dari Penjara Pusat Limbang.

Majlis itu menyaksikan wakil dari Penjara Pusat Miri muncul sebagai johan bagi kategori Tilawah Al-Quran sambil diikuti wakil dari Penjara Puncak Borneo, Kuching di tempat kedua dan Penjara Pusat Sri Aman di tempat ketiga.

Bagi kategori Hafazan Tahap Satu, wakil dari Penjara Pusat Limbang telah menjadi johan setelah memperoleh 90 peratus markah dengan Penjara Pusat Miri muncul sebagai naib johan (87.5 peratus) dan tempat ketiga dimenangi oleh Penjara Pusat Sibu (86 peratus).

Manakala itu Penjara Puncak Borneo pula menjadi johan bagi Pertandingan Marhaban setelah memperoleh 83 peratus markah dengan Penjara Pusat Miri dan Penjara Pusat Sibu muncul sebagai naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi pertandingan itu.

Pertandingan Nasyid menjadikan pasukan tuan rumah iaitu Penjara Pusat Sri Aman muncul johan dengan Penjara Pusat Sibu dan Penjara Pusat Miri memperoleh kedudukan naib johan dan pemenang tempat ketiga.

Namun begitu juara keseluruhan telah disandang oleh Penjara Pusat Miri setelah mengumpul markah sebanyak 79.25 peratus dengan Penjara Puncak Borneo berada di kedudukan kedua (77.37 peratus) dan Penjara Pusat Sibu di tempat ketiga (75.5 peratus).

Terdahulu Timbalan Komisioner Penjara, Haji Darussalam Haji Budin merangkap Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia telah hadir bagi merasmikan majlis berkenaan.

Beliau ketika berucap merasmikan majlis berkenaan berharap agar para penghuni dapat menginsafi diri masing-masing disamping mengamali amalan agama dengan baik dan sempurna apabila bebas kelak.

“Saya juga berharap agar mereka dapat memilih jalan hidup yang baru, sejahtera dan menjadi anggota masyarakat yang berguna,” katanya sambil menasihatkan mereka agar menanam semangat kuat berusaha dan balik ke sisi agama selepas ini.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Komisioner Penjara, Abdul Kadir bin Rais, Pengarah Penjara Negeri Sarawak, para pengarah Institusi Penjara Sarawak, para ketua jabatan, para ketua kaum dan penduduk di sini.

Majlis Ihtifal Kesenian Islam yang dikelola oleh Penjara Pusat Sri Aman itu merupakan salah satu program pemulihan berbentuk keagamaan kepada penghuni beragama Islam bagi membentuk sahsiah, akhlak dan penerapan nilai agama dalam jiwa mereka.

Tamat.





Masa laporan kunci kejayaan tumpaskan jenayah - Jusoh


Mugshot: DSP MAT JUSOH MUHAMMAD

SRI AMAN, Jumaat (20 April) – Masa memainkan peranan yang amat penting bagi menentukan keberkesanan pihak polis dalam menumpaskan kegiatan jenayah di kawasan penduduk dari masa ke semasa.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata penduduk khasnya di kawasan Sri Aman perlu sedar bahawa keberkesanan tindakan pihak polis bergantung sepenuhnya kepada faktor jarak masa berkenaan.

“Penduduk perlu bertindak pantas menghubungi atau menemui pihak polis sekiranya terdapat kegiatan jenayah yang baru sahaja berlaku di kawasan penempatan masing-masing.

“Maklumat yang diterima oleh pihak polis akan disalurkan ke pusat kawalan. Dari situ pihak kita akan mengarahkan semua anggota untuk bertindak segera bagi membenteras aktiviti jenayah seperti kejayaan kita menumpaskan kes penipuan di Lingga pada 18 April lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bilik Sidang, Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman berhubung kes penipuan terhadap sebuah keluarga di Lingga petang kelmarin.

Selain itu penduduk di Sri Aman kata Jusoh juga boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Sri Aman menerusi talian telefon 083-322035 jika kejadian jenayah baru sahaja berlaku di kawasan mereka selepas ini.

Terdahulu pihak polis telah berjaya menahan tiga orang lelaki dan dua orang perempuan yang dipercayai terlibat dalam kes tipu terhadap sebuah keluarga di Lingga malam kelmarin.

Kesemua mereka ditahan setelah berlakunya adegan kejar-mengejar antara pihak polis dan saspek bermula jam 11.50 malam sebelum kenderaan yang diguna oleh saspek berjaya dipintas di simpang Temudok, Sri Aman.

Tamat.


Polis tumpas kegiatan bomoh tipu orang di Lingga



Caption: TUMPAS...Jusoh sedang menunjukkan barang kemas dan peralatan bomoh kepada pihak media setelah berjaya menumpaskan kes jenayah tipu di Sri Aman hari ini.

VALENTINE NGUMBANG

SRI AMAN, Khamis (19 April) – Pihak polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang dipercayai telah menyamar diri sebagai bomoh untuk menipu sebuah keluarga di kawasan Lingga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata sebelum kumpulan yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua orang perempuan itu telah ditahan oleh pihak polis di Kilometer 9, Jalan Sri Aman – Serian pada lewat malam tadi.

“Sekitar jam 6 petang, tiga daripada lima orang saspek terbabit telah menemui sebuah keluarga di Lingga dan mendakwa diri sebagai bomoh yang mampu mengubat penyakit mereka.

“Saspek mengarahkan barangan kemas milik mangsa disimpan dalam kain hitam sebagai syarat perubatan dan kemudiannya direndam dalam air. Mangsa dimaklumkan bahawa penyakit mereka akan sembuh jika mandi menggunakan air berkenaan,” kata Jusoh.

Ketiga-tiga saspek tersebut kata beliau dipercayai telah menukar kain yang mengandungi barangan kemas berkenaan dengan kain hitam yang lain ketika kesemua mangsa sedang berkemas setelah mandi.

Mangsa iaitu ibu mertua dan anaknya yang masih belum menyedari perkara tersebut dipercayai telah diarahkan oleh saspek agar tidak membuka kain hitam berkenaan sebelum mereka beredar dari kediaman mangsa.

“Mangsa kemudiannya terkejut apabila kain hitam berkenaan mengandungi tudung botol ubat batuk dan syiling. Ia menyebabkan mangsa melaporkan kejadian tersebut kepada Balai Polis Lingga pada jam 7 petang,” katanya.

Laporan tersebut kata Jusoh telah disalurkan segera kepada pusat kawalan Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman yang seterusnya berjaya mengesan kenderaan saspek di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang pada jam 11.50 malam.

Para saspek katanya kemudiannya bertindak memecut kenderaan yang digunakan oleh mereka iaitu Proton Aerobik berwarna putih dari kawasan sekolah terbabit apabila menyedari pihak polis telah datang dan mahu menahan mereka.

“Pihak kita terus mengejar kenderaan yang digunakan oleh saspek sebelum mereka dipintas dan seterusnya ditahan di kawasan persimpangan jalan Temudok selepas itu,” katanya.

Hasil tangkapan oleh pihak polis kata Jusoh telah berjaya menemui seulas rantai emas, tiga gelang emas, satu pasang anting, satu kerongsong emas dan tiga bentuk cincin yang dipercayai milik mangsa dengan anggaran keseluruhannya berjumlah RM40,000.

Turut ditemui oleh pihak polis menerusi tangkapan tersebut tambah beliau ialah beberapa alatan bomoh yang digunakan oleh saspek untuk memperdayakan para mangsa kes tipu berkenaan.

“Kesemua saspek berusia antara 25 hingga 70 tahun itu telah pun direman dengan pihak polis akan menyiasat perkara tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” menurut beliau sambil menambah bahawa kesemua saspek bukan berasal dari kawasan Sri Aman ini.

IPD Sri Aman kata Jusoh juga akan menyalurkan maklumat mengenai kes berkenaan ke seluruh cawangan polis di negeri ini bagi mengesan kemungkinan pembabitan kumpulan saspek tersebut dalam kes tipu yang lain.

“Justeru saya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap kehadiran individu tidak dikenali yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai kerajaan atau bomoh selepas ini,” katanya.

Tamat.













Kubu Alice perlu pembaikan segera





Mugshot:

1. KAPITAN KUEK AIK SENG...Pembaikan segera

2. MICHAEL PILO...Sedia peruntukan khas

Caption: PERLU TINDAKAN...Foto tahun 2004 ini menunjukkan kawasan bahagian belakang Kubu Alice yang kelihatan usang dan terbiar.

SRI AMAN, Khamis (19 April) – Sebut sahaja Kubu Alice, sudah tentunya banyak pihak akan mengenali warisan berharga yang cukup terkenal dalam Bandar Sri Aman ini selain daripada produk popularnya iaitu fenomena Benak Batang Lupar.

Ini kerana semenjak ia dibina oleh Rajah Putih Kedua Sarawak iaitu Charles Brooke pada tahun 1864 dahulu, Kubu Alice menempuh pelbagai sejarah dan peristiwa penting sehingga ia tercatit dalam kebanyakkan buku pada masa sekarang.

Namun begitu Kubu Alice kian uzur semenjak ia mula dibina pada 148 tahun lepas hingga menyebabkan kerajaan telah mencadang atau mengusul pelbagai langkah bagi mengembalikan kecantikkan warisan sejarah terbabit.

“Kerajaan sepatutnya menyediakan peruntukan khas bagi menyelenggara Kubu Alice terbabit pada setiap tahun,” demikian menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang iaitu Michael Pilo.

Peruntukan itu menurut bekas Temenggung terbabit adalah amat penting memandangkan Kubu Alice perlu ditonjolkan sebagai produk warisan yang indah dan bukannya kelihatan uzur seperti yang disaksikan oleh banyak pihak pada masa sekarang.

Bukan sahaja peruntukan malah ketua kaum di Bandar Sri Aman kata Pilo juga boleh memainkan peranan penting masing-masing dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi membersihkan kubu tersebut pada setiap masa.

“Lagipun Kubu Alice Sri Aman juga perlu dibaikpulih secepat mungkin memandangkan warisan sejarah terbabit sudah dipromosikan beberapa kali sebelum ini untuk tujuan tarikan pelancong.

“Kita tidak mahu pelancong berasa terkilan apabila melihat keuzuran kubu terbabit. Justeru apa gunanya kubu itu dipromosi oleh kerajaan sedangkan ia kelihatan uzur selama ini?” kata beliau.

Manakala itu Kapitan Kuek Aik Sek pula berharap agar kerajaan membina Kubu Alice berdasarkan kepada rekabentuknya yang asli disamping mempercepatkan proses baikpulih produk sejarah tersebut dengan sebaik mungkin.

“Tambahan pula Kubu Alice terletak berdekatan dengan lokasi penganjuran Pesta Benak yang secara tidak langsung menuntut kerajaan agar melakukan kerja baikpulih terbabit selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan usaha bagi membangunkan semula Kubu Alice, pembinaan menara peninjau bersebelahan kubu itu dan juga pembinaan hotel baru yang dijangka siap menjelang tahun depan.

Ketiga-tiga projek tersebut kata beliau melibatkan kos melebihi RM80 juta dengan pihak kerajaan turut bercadang untuk menyediakan kemudahan ‘Boat Cruise’ di sepanjang Sungai Batang Lupar di masa akan datang.

Tamat.








Karnival Transformasi Belia di Balai Ringin 5 - 6 Mei


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Khamis (19 April) – Para belia khasnya dari kawasan Balai Ringin dan yang berdekatan digalak untuk menyertai Karnival Transformasi Generasi Muda 2012 yang akan berlangsung Pekan Balai Ringin, Serian bermula dari 5 hingga 6 Mei depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan ketika dihubungi berkata karnival terbabit bertujuan untuk menghapuskan persepsi negatif mengenai institusi teknikal dan vokasional dikalan belia dalam negeri ini.

“Rata-rata belia pada masa sekarang menganggap bahawa kemasukan ke universiti dianggap sebagai kelas pertama manakala kemasukan ke institusi teknikal seperti Giatmara, i – Cats dan sebagainya pula dianggap sebagai kelas kedua.

“Persepsi ini ternyata salah. Justeru pihak kita menerusi karnival terbabit akan cuba mempromosi institusi teknikal dan vokasional sebagai pilihan pertama para belia yang mahu menyambung belajar selepas ini,”katanya.

Selain itu para belia kata Snowdan juga perlu sedar bahawa institusi teknikal dan vokasional secara tidak langsung akan membuka peluang kepada mereka untuk bekerja di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui atau SCORE pada masa akan datang.

Dengan kata lain, menyambung belajar di universiti yang dianggap sebagai kelas pertama selama ini menurut beliau tidak semestinya akan memberi mereka laluan untuk memperoleh pekerjaan lebih baik selepas itu.

“Ia merupakan salah satu usaha pihak Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak atau TEGAS yang disertai oleh saya sendiri untuk mempertingkatkan status ekonomi rakyat negeri kita di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu karnival itu nanti adalah merupakan anjuran pihak TEGAS dengan kerjasama Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman, Snowdan dan Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat.

Bakal diadakan menerusi karnival itu nanti ialah kaunter institusi teknikal, pameran, bazaar ria, sukan rakyat, pertandingan sepaktakraw, konsert, pertunjukkan kugiran dan banyak lagi.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun akan merasmikan karnival tersebut pada malam 5 Mei manakala Ahli Dewan Negara iaitu Senator Dorris Sophia Brodi pula hadir pada 6 Mei ini untuk merasmikan program wanita di Dewan Balai Ringin sempena program terbabit.

Tamat.












Tuai Rumah mesti berani hadapi pembangkang - Penghulu Delie


Caption: TEGAS...Penghulu Delie ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Suntat, Sebangkoi Jaya, Simunjan baru-baru ini.

SIMUNJAN, Rabu (18 April) – Tuai Rumah disaran agar berani berhadapan dengan kehadiran pihak pembangkang di rumah panjang mereka lebih-lebih lagi ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat kelak.

Penghulu bagi kawasan Batang Kiba Simunjan, Delie anak Jumbu menegaskan perkara ini apabila terdapat Tuai Rumah yang melarikan diri dari rumah panjang mereka kerana tidak mahu menerima kehadiran pihak pembangkang di situ.

“Anda (Tuai Rumah) tidak harus melarikan diri ke Kuching atau ke lain-lain lokasi hanya disebabkan pihak pembangkang datang dan mahu berkempen di rumah panjang anda sendiri.

“Tuai Rumah harus berani berhubung perkara ini. Beliau tidak akan mengetahui apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang terhadap anak buah di rumah panjangnya sendiri jika melarikan diri sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Suntat anak Galang, Kampung Sebangkoi Jaya, Simunjan baru-baru ini.

Selain itu para Tuai Rumah kata Deli juga perlu mengambil kesempatan terbabit untuk mengadakan sesi debat atau soal jawab terhadap pihak pembangkang berkenaan selepas itu.

“Justeru jika mereka (pihak pembangkang) datang ke rumah panjang maka Tuai Rumah itu sendiri perlu mengambil peluang untuk bersoal – jawab dengan mereka mengenai pelbagai isu berkaitan di kawasan mereka,” katanya.

Terdahulu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Suntat anak Galang, Kampung Sebangkoi Jaya, Simunjan ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penghulu Pelie Jumbu, Penghulu Ali Danjie dan para Tuai Rumah di situ.

Masir mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 dan RM3,000 kepada JKKK serta biro wanita rumah panjang tersebut begitu juga dengan Snowdan yang mengumumkan nilai peruntukan sama bagi rumah panjang terbabit.

Tamat.