Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS
SRI AMAN, Sabtu (14 April) – Cadangan penubuhan Kelab Luncur Ombak di Sri Aman dilihat
sebagai salah satu langkah bagi menarik penyertaan lebih ramai penduduk dalam
sukan tersebut selepas ini.
Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden
Hollis menyatakan cadangan tersebut ketika dihubungi pemberita berhubung
langkah bagi menyemarakkan lagi sambutan Pesta Benak Sri Aman di masa akan
datang.
Katanya sukan luncur ombak mula menarik perhatian ramai penduduk tempatan
hasil pertunjukkan luncur benak yang dijayakan oleh peluncur ombak antarabangsa
dari Eropah dan negara ini sendiri ketika berlangsungnya Pesta Benak Sri Aman
2012.
“Rata-rata orang ramai dan pihak tertentu memberikan reaksi positif
sekiranya sukan luncur ombak diperkenalkan terhadap penduduk di kawasan Sri
Aman berdasarkan kepada kelebihan benak (di Sungai Batang Lupar) yang kita ada
sekarang.
“Lagipun idea tersebut juga pernah saya utarakan kepada Timbalan Menteri
Pelancongan, Dato Dr James Dawos Mamit. Cuma masalahnya sekarang ini ialah Sri
Aman tidak mempunyai kemudahan dan jurulatih bagi memperkenalkan sukan
tersebut,” katanya.
Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang
berharap agar pihak Kementerian Pelancongan dapat mencari langkah bagi
memperkenalkan sukan tersebut di kawasan Sri Aman selepas ini.
“Saya yakin acara sukan Luncur Ombak akan dapat mengangkat prestij Pesta
Benak Sri Aman ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang dan seterus
menarik kedatangan lebih ramai pelancong asing ke sini,” katanya.
Terdahulu Antony Corlas dari Perancis menjadi peluncur asing pertama yang
meluncur di ombak benak Sungai Batang Lupar Sri Aman sambil diikuti oleh Ian Hockey
dari Australia yang mendapati kelebihan benak di situ menerusi internet.
Ia kemudiannya diserikan lagi dengan pertunjukkan meluncur benak oleh
peluncur antarabangsa antaranya ialah Fabrice Colas, Patrick Audoy, Arnaud
Decarne, Stuart Ballard, Bryan Ng, Joshua Ivanovic dan Brenda Lee pada Pesta
Benak tahun ini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment