Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Galak penduduk sertai Skim Penanaman Getah - Harden



Caption: SERIUS...Harden sedang menyampaikan amanatnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ketua Masyarakat Iban Bahagian Sri Aman di sini hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (30 Mac) – Rakyat di kawasan luar bandar digalak untuk menyertai skim penanaman getah yang diperkenal oleh Jabatan Pertanian di atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata projek Mini Ladang Getah yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian sebelum ini amat baik demi mempertingkatkan taraf ekonomi rakyat kawasan luar bandar.

“Rakyat kawasan luar bandar khasnya pemilik tanah NCR perlu memanfaatkan peluang yang boleh diwujudkan oleh tanah masing-masing dengan menyertai projek Mini Ladang Getah berkenaan.

“Jabatan Pertanian akan menyelia projek penanaman getah di atas tanah mereka selama lima tahun sebelum ia diserahkan kepada pemiliknya dan sekaligus membuktikan keuntungan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ketua Masyarakat Iban Bahagian Sri Aman di Restoran Alishan Sri Aman hari ini.

Bagi mengalakkan penyertaan rakyat dari kawasan luar bandar ke dalam projek ini, Harden telah menasihatkan para ketua masyarakat agar lebih kerap turun padang untuk menemui mereka berhubung faedah projek tersebut.

“Ketua masyarakat memainkan peranan penting berhubung perkara ini. Justeru saya berharap agar ketua masyarakat memainkan peranan mereka dengan lebih aktif untuk mengalakkan penyertaan rakyat ke dalam projek tersebut selepas ini,” katanya.

Terdahulu Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ketua Masyarakat Iban Bahagian Sri Aman terbabit turut dihadiri oleh pengerusinya iaitu Pemanca Samuel Lawen dan barisan jawatankuasa yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment