Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, April 16, 2012

Jambatan Batang Strap Pantu akan mulai beroperasi selepas Julai tahun ini



Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Sabtu (14 April) – Jambatan Batang Strap berdekatan Pekan Pantu, kira-kira 62 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman dijangka akan mula beroperasi untuk kegunaan semua penduduk sekurang-kurangnya selepas bulan Jun atau Julai tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata Jambatan Batang Strap, Pantu sepanjang 182.4 meter itu sudah pun siap dibina pada bulan Februari lepas.

Dengan kos pembinaan mencecah RM20.4 juta, Jambatan Batang Strap katanya akan melalui proses pemeriksaan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan piawaian keselamatan dan perkara berkaitan sebelum ia boleh digunakan selepas itu.

“Buat masa sekarang pihak kita masih menunggu pihak kontraktor untuk menyerahkan dokumen projek kepada pihak JKR bagi tujuan pemeriksaan piawaian keselamatan dan perkara berkaitan jambatan tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Jambatan Batang Strap, Pantu tersebut sudah pun mula digunakan oleh para penduduk di kawasan berkenaan semenjak ia telah siap pada bulan Februari lepas.

“Namun risikonya mereka harus tanggung sendiri,” katanya sambil menambah jambatan tersebut akan dapat menghubungkan 4,000 orang penduduk dari  kawasan seberang Sungai Batang Strap ke Pekan Pantu apabila ia sudah berfungsi sepenuhnya kelak.

Terdahulu Snowdan bersama ayahnya iaitu Donald Lawan telah mengambil inisiatif dengan melantik syarikat perunding swasta untuk membuat kajian bagi membina sebuah jambatan yang merentangi Sungai Batang Strap di Pantu.

Hasil kajian terbabit telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebelum majlis pecah tanah telah diadakan di tapak projek tersebut di Pantu pada 19 Januari 2010.

Tamat.






No comments:

Post a Comment