Caption:
1. MENARIK...Foto sumbangan bekas Timbalan Residen Sri Aman iaitu Desmond
Douglas Jerukan menunjukkan seorang Peluncur Antarabangsa sedang meluncur benak
di Sungai Batang Lupar kelmarin.
2. MASIH MERIAH...Bandar Sri Aman masih meriah dengan kehadiran pengunjung
ketika hari terakhir sambutan pesta tersebut hari ini.
SRI AMAN, Ahad (8 April) – Acara yang berada di kedudukan kelima terbaik di negeri
Sarawak iaitu Pesta Benak Sri Aman 2012 bakal berakhir secara rasminya pada
lewat petang hari ini iaitu 8 April.
Setelah mengharungi tempoh penganjuran selama tiga hari bermula 6 April
lepas, ribuan orang telah disajikan dengan pelbagai acara menarik yang
semestinya telah mengamit hati masing-masing.
Dengan sejumlah 324 buah gerai Bazaar Ria menjadi tumpuan utama pengunjung,
mereka juga turut berpeluang menyaksikan pelbagai acara menarik yang
berlangsung di Sungai Batang Lupar dan Pentas Budaya Ria bersempena dengan
pesta itu.
Antaranya ialah persembahan luncur ombak oleh Peluncur Antarabangsa,
Regatta, Miss Tourism, persembahan nyanyian lagu oleh artis Astro, Benak Idol,
Persembahan Tarian Kebudayaan dan banyak lagi.
Hasil pemerhatian rambang Utusan Sarawak semenjak lima hari lepas mendapati
bahawa sambutan Pesta Benak Sri Aman 2012 dilihat amat berjaya dengan kadar
jumlah pengunjung yang ramai berbanding tahun lepas.
Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden
Hollis ketika ditemui hari ini memberitahu dianggarkan sejumlah 60,000 orang
pengunjung membanjiri Bandar Sri Aman berbanding sasaran asalnya iaitu 50,000
orang.
“Jika hotel bertaraf tiga bintang siap dibina menjelang bulan Jun tahun
hadapan maka Pesta Benak Sri Aman boleh diadakan pada bulan Ogos atau September
selepas itu dengan kapitisi bilik penginapan bertambah kepada 250 bilik
berbanding 190 pada masa sekarang,” katanya.
Anggaran ini tampak munasabah memandangkan kawasan tapak penganjuran Pesta
Benak termasuk Bazaar Ria nyata tidak lekang dengan kehadiran ribuan orang
pengunjung bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.
Mujurlah kecekapan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan telah
bertindak cekap untuk mengawal lalulintas di Bandar Sri Aman ketika
berlangsungnya sambutan Pesta Benak Sri Aman.
Hari-hari terakhir sambutan Pesta Benak Sri Aman telah pun diisi dengan Pertandingan
Regatta, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Bertanda, Karnival Permotoran Benak
dan aktiviti Bazaar Ria.
Apabila ia berakhir pada tengah malam ini maka memori sambutan Pesta Benak
Sri Aman akan sentiasa terpahat di hati setiap jawatankuasa penganjur,
pengunjung dan semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan temasya tersebut.
Moga-moga sambutan Pesta Benak Sri Aman 2012 akan menjadi satu permulaan
baru untuk menjadikan Bandar Sri Aman sebagai salah satu lokasi pelancongan
terkemuka di masa akan datang.
Tamat.
No comments:
Post a Comment