Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Penjara Pusat Sri Aman jayakan Majlis Ihtifal Kesenian Islam


Caption: TAHNIAH...Kadir sedang menyampaikan hadiah kepada pemenang ketika berlangsungnya majlis itu di dewan Penjara Pusat Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (20 April) – Seramai 40 orang penghuni dari penjara di seluruh negeri ini telah mengambil bahagian dalam Majlis Ihtifal Kesenian Islam Peringkat Penghuni Penjara Negeri Sarawak 2012 di dewan Penjara Pusat Sri Aman petang kelmarin.

Mereka terdiri daripada 12 orang penghuni dari Penjara Puncak Borneo, Kuching, lapan orang penghuni dari Penjara Pusat Sri Aman, 14 orang penghuni dari Penjara Pusat Sibu, empat orang penghuni dari Penjara Pusat Miri dan dua orang dari Penjara Pusat Limbang.

Majlis itu menyaksikan wakil dari Penjara Pusat Miri muncul sebagai johan bagi kategori Tilawah Al-Quran sambil diikuti wakil dari Penjara Puncak Borneo, Kuching di tempat kedua dan Penjara Pusat Sri Aman di tempat ketiga.

Bagi kategori Hafazan Tahap Satu, wakil dari Penjara Pusat Limbang telah menjadi johan setelah memperoleh 90 peratus markah dengan Penjara Pusat Miri muncul sebagai naib johan (87.5 peratus) dan tempat ketiga dimenangi oleh Penjara Pusat Sibu (86 peratus).

Manakala itu Penjara Puncak Borneo pula menjadi johan bagi Pertandingan Marhaban setelah memperoleh 83 peratus markah dengan Penjara Pusat Miri dan Penjara Pusat Sibu muncul sebagai naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi pertandingan itu.

Pertandingan Nasyid menjadikan pasukan tuan rumah iaitu Penjara Pusat Sri Aman muncul johan dengan Penjara Pusat Sibu dan Penjara Pusat Miri memperoleh kedudukan naib johan dan pemenang tempat ketiga.

Namun begitu juara keseluruhan telah disandang oleh Penjara Pusat Miri setelah mengumpul markah sebanyak 79.25 peratus dengan Penjara Puncak Borneo berada di kedudukan kedua (77.37 peratus) dan Penjara Pusat Sibu di tempat ketiga (75.5 peratus).

Terdahulu Timbalan Komisioner Penjara, Haji Darussalam Haji Budin merangkap Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia telah hadir bagi merasmikan majlis berkenaan.

Beliau ketika berucap merasmikan majlis berkenaan berharap agar para penghuni dapat menginsafi diri masing-masing disamping mengamali amalan agama dengan baik dan sempurna apabila bebas kelak.

“Saya juga berharap agar mereka dapat memilih jalan hidup yang baru, sejahtera dan menjadi anggota masyarakat yang berguna,” katanya sambil menasihatkan mereka agar menanam semangat kuat berusaha dan balik ke sisi agama selepas ini.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Komisioner Penjara, Abdul Kadir bin Rais, Pengarah Penjara Negeri Sarawak, para pengarah Institusi Penjara Sarawak, para ketua jabatan, para ketua kaum dan penduduk di sini.

Majlis Ihtifal Kesenian Islam yang dikelola oleh Penjara Pusat Sri Aman itu merupakan salah satu program pemulihan berbentuk keagamaan kepada penghuni beragama Islam bagi membentuk sahsiah, akhlak dan penerapan nilai agama dalam jiwa mereka.

Tamat.





No comments:

Post a Comment