Caption:
1. MERIAH...Ribuan orang pengunjung membanjiri lokasi utama penganjuran
Pesta Benak Sri Aman hari ini.
2. MINAT...Pengunjung menunggu di sepanjang Taman Tebingan Sungai Sri Aman
untuk menyaksikan acara sukan air yang berlangsung di Sungai Batang Lupar hari
ini.
3. SEDIA...Kakitangan perubatan Sri Aman menunggu di kanopi untuk
menghadapi kemungkinan berlakunya kejadian tidak diingini ketika sambutan Pesta
Benak hari ini.
4. UTAMAKAN TUGAS...Dua orang anggota RELA sedang bertugas untuk mengawal
laluan keluar masuk ke tapak penganjuran utama Pesta Benak hari ini.
5. SEDAP...Para pengunjung sedang mengerumuni gerai jualan daging panggang
ketika berlangsungnya sambutan hari pertama Pesta Benak.
6. UJI DAHULU...Dua orang pengunjung sedang membelek sebuah lampu yang
dijual oleh gerai Bazaar Ria di sini hari ini.
7. MACAM – MACAM ADA...Gambar menunjukkan antara jenis produk yang dijual
di gerai Bazaar Ria sempena Pesta Benak Sri Aman hari ini.
SRI AMAN, Jumaat (6 April) – Hari cuti Good Friday telah membolehkan ribuan orang
pengunjung membanjiri lokasi tapak penganjuran Pesta Benak Sri Aman 2012 yang
berlangsung secara rasminya pada hari ini.
Hasil tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa para pengunjung
telah berpusu-pusu ke setiap gerai Bazaar Ria yang menawarkan pelbagai produk
menarik untuk mereka sempena sambutan pesta itu.
Malah, para pengunjung juga dilihat telah membanjiri kawasan Taman Tebingan
Sungai Sri Aman untuk menyaksikan acara Lumba Enjim Pam, Perayu Dayang dan
Perahu Berikan di Sungai Batang Lupar.
Bagi mereka yang tidak ingin bersesak-sesak di Taman Tebingan Sungai Sri
Aman, para pengunjung turut dilihat mendaki kawasan bukit Kubu Alice untuk
menyaksikan acara sukan air di sungai berkenaan.
Faktor cuaca baik bermula awal pagi hari ini juga telah membolehkan banyak
program berjalan dengan lancar seperti Pertandingan Sayembara Puisi Sekolah
Rendah Dan Menengah, sesi uji bakat Bintang Kecil RTM dan banyak lagi.
Kecekapan anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Ikatan Relawan
Rakyat (RELA) telah berhasil untuk memastikan agar kesesakan lalulintas tidak
berlaku di Bandar Sri Aman ketika berlangsungnya Pesta Benak hari ini.
Seorang pengunjung iaitu Ebit Seng berkata beliau tidak menyangka bahawa
sambutan hari pertama Pesta Benak Sri Aman 2012 akan menerima kedatangan ribuan
orang pengunjung.
“Pesta Benak kali ini semestinya lebih hebat berbanding tahun lepas.
Justeru saya berharap agar Pesta Benak Sri Aman dapat beranjak dari kedudukan
kelima kepada keempat dalam 10 acara terbaik di Sarawak selepas ini,” katanya.
Terdahulu sambutan Pesta Benak Sri Aman 2012 bakal dirasmikan oleh Timbalan
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada 7 April ini
sekitar jam 3 petang.
Antara acara yang bakal menjadi fokus orang ramai pada sambutan Pesta Benak
Sri Aman kali ini ialah Bazaar Ria, Regatta Batang Lupar, Miss Tourism, Benak
Idol dan Karnival Permotoran.
Tamat.
No comments:
Post a Comment