Caption: MINAT...Kanak-kanak sedang memerhatikan beberapa buah motorsikal
berkuasa tinggi milik ahli Sri Aman Big Bikers ketika Karnival Permotoran Benak
di sini hari ini.
SRI AMAN, Sabtu (7 April) – Para pengunjung ke tapak sambutan Pesta Benak Sri Aman buat
pertama kalinya telah berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai jenama
motorsikal berkuasa tinggi bersempena dengan pesta itu.
Motorsikal berkuasa tinggi yang terdiri dari jenama Kawasaki, Yamaha, Honda,
Suzuki, KPM, Harley Davidson dan Goldwin lagi itu telah dipertontonkan untuk
pengunjung di Karnival Permotoran yang berlangsung di Taman Panorama Benak
semenjak kelmarin.
Jurucakapnya Zaidi Sarkawi ketika ditemui memberitahu Karnival Permotoran
terbabit telah melibatkan penyertaan hampir 100 orang pemilik motorsikal
berkuasa tinggi di negeri ini.
“Karnival Permotoran kali ini mendapat penyertaan daripada pemilik
motorsikal dari kawasan Kuching, Sri Aman, Saratok, Debak dan juga daripada peserta
negara Brunei Darulsalam.
“Acara bagi memeriahkan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2012 ini telah pun
bermula semenjak 6 April lepas di Taman Panorama dan bakal berakhir pada 8
April ini sekitar jam 5 petang,” katanya.
Selain itu para pengunjung kata Zaidi juga berpeluang untuk mendengar
persembahan lagu oleh penyanyi tempatan di pentas yang dibina atas tapak
penganjuran Karnival Permotoran Benak terbabit.
Dengan adanya aktiviti selitan seperti itu, Karnival Permotoran Benak kali
ini dianggap amat berjaya sehingga mampu menarik kedatangan ratusan pengunjung
ke situ semenjak tengahari kelmarin.
“Justeru kami berharap agar Karnival Permotoran Benak ini mampu menanam
minat orang ramai terhadap aktiviti permotoran berkuasa tinggi di masa akan
datang,” menurut beliau.
Tamat.
No comments:
Post a Comment