Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 17, 2012

Polis tahan orang mengamuk, jumpa satu mayat





Caption:

1. PENERANGAN...Jusoh sedang menerangkan kes penemuan mayat kepada pemberita ketika berlangsungnya sidang media di IPD Sri Aman hari ini.

2. SIASAT...Mayat seorang lelaki dipercayai mati akibat kesan tembakan telah ditemui oleh pihak polis di rumah tersebut.

SRI AMAN, Isnin (16 April) – Pihak polis telah menemui mayat seorang lelaki bertempat di sebuah rumah dalam kawasan Kampung Hulu, Sri Aman yang dipercayai mati akibat kesan luka tembakan di bahagian rusuk kanan pada awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad memberitahu pihak polis telah menemui mayat lelaki berusia 28 tahun tersebut hasil rentetan kes amok oleh seorang lelaki yang berlaku di kampung tersebut sebelum itu.

“Pada jam 7.50 pagi hari ini, dua orang pengadu telah tiba di Balai Polis Sri Aman untuk melaporkan bahawa kediaman mereka (di Kampung Hulu) diserang oleh seorang lelaki yang membawa parang, senapang patah dan kuali.

“Setelah itu, tiga anggota kita telah dikerah untuk ke rumah si pengadu sebelum mereka menemui seorang lelaki dipercayai sebagai orang yang mengamok dengan kesan luka di beberapa bahagian badannya di kawasan jalan raya dalam kampung tersebut,” katanya.

Sebaik sahaja lelaki tersebut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, pihak polis kata Jusoh telah pergi ke rumah si pengadu dan menemui sepucuk senapang patah di beranda rumah tersebut dengan keadaan rumah berkunci dan tingkap rumah yang pecah.

Pihak polis katanya telah pergi ke rumah keluarga lelaki tersebut untuk memaklumkan mereka mengenai perkara ini sebelum mendapati bahawa rumah berkenaan dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni.

“Anggota kita akhirnya berjaya memasuki rumah tersebut menerusi pintu tidak berkunci di sebelah bahagian kiri rumah tersebut dan seterusnya menemui mayat seorang lelaki yang terbaring di atas sofa di situ.

“Siasatan awal mendapati bahawa mangsa dipercayai baru sahaja meninggal dunia akibat satu kesan tembakan di bahagian rusuk kanan,” katanya sambil menambah bahawa mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan siasatan lanjut.

Kes itu kata Jusoh akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan orang yang mengamok itu akan ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Pihak kita mengklasikasikan kes ini sebagai kes bunuh. Siasatan terhadap kes ini akan dilakukan oleh Ketua Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman iaitu ASP Sazali Latif,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa pihak polis akan melakukan beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat ini berhubung kes tersebut hasil daripada maklumat yang mereka perolehi selepas ini.

Terdahulu lelaki yang ditemui mati tersebut adalah merupakan seorang penganggur dan berasal dari Taman Harmoni, Sri Aman manakala lelaki berusia 44 tahun yang mengamok dan pernah mempunyai rekod penagihan dadah itu pula berasal dari Kampung Hulu, Sri Aman.

Tamat.

***** BERITA  TERTAKLUK KEPADA LAPORAN POLIS ********* 



No comments:

Post a Comment