Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, April 16, 2012

Bikers Sri Aman rancang Program Jelajah Borneo hujung tahun ini



Caption: BERJAYA...Ahli Kelab Sri Aman Bikers bergambar di hadapan motorsikal berkuasa tinggi milik masing-masing sebaik sahaja tamat Karnival Permotoran Pesta Benak Sri Aman 2012.

SRI AMAN, Khamis (12 April) – Kelab Bikers Sri Aman telah merancang untuk mengadakan Program Jelajah Seluruh Borneo Dan Semenanjung Malaysia 2012 yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.

Setiausahanya Zaidi Sarkawi ketika ditemui berkata program terbabit bertujuan untuk mempromosi sambutan Pesta Benak dikalangan penduduk yang berada di kepulauan Borneo dan Semenanjung Malaysia.

“Siri jelajah berkenaan juga bertujuan untuk mempromosi produk eko pelancongan termasuk benak di kawasan Sri Aman kepada penduduk yang belum pernah berkunjung ke sini bermula dari dahulu hingga sekarang.

“Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis telah pun menyatakan persetujuannya berhubung perlaksanaan program terbabit menerusi perbincangan yang diadakan bersama beliau sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Karnival Permotoran sempena sambutan Pesta Benak Sri Aman katanya telah menemui kejayaan apabila berjaya menarik penyertaan seramai 200 orang pemilik motorsikal berkuasa tinggi menerusi  program tersebut.

Acara selitan iaitu Open Jamming menurut Zaidi telah berjaya menarik kedatangan para pengunjung sehingga ada diantara mereka bercadang agar acara seperti ini diadakan selama sebulan sekali di masa akan datang.

“Pihak kami turut sedang bercadang untuk memperkenalkan aktiviti Car Booth Sale secara bulanan bagi membolehkan ahli kita menjual produk sendiri atau pelbagai produk yang berkaitan dengan aktiviti permotoran,” katanya.

Zaidi juga mengajak para belia yang memiliki motorsikal berkuasa rendah atau tinggi untuk menyertai keahlian Kelab Bikers Sri Aman demi menyemarakkan lagi aktiviti permotoran di Sri Aman selepas ini.

“Mereka boleh menghubungi saya di talian 013-5673629 untuk pertanyaan lanjut mengenai perkara itu,” katanya sambil menambah bahawa kelab pimpinan Presidennya iaitu Jemali Safri kini mempunyai sejumlah 15 orang ahli semenjak ia ditubuhkan pada akhir tahun lepas.

Beliau turut menambah keahlian Kelab Sri Aman Bikers terbuka kepada semua pemilik motorsikal berkuasa tinggi dan rendah dengan had minima umur ahli dikenakan pada tahap 18 tahun.

Tamat.

No comments:

Post a Comment