Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Projek NKEA Padi Batang Lupar bakal majukan Sri Aman


Caption: MESRA...Rohani (tengah) ketika bersama Simoi, Mong, Johnathan dan peserta sebelum bermula sesi taklimat projek yang disampaikan oleh pihak Jabatan Pertanian sempena majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (24 April) – Projek NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) Padi Batang Lupar dijangka akan dapat mengubah landskap pembangunan di kawasan Sri Aman khasnya di Batang Lupar pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata kawasan Batang Lupar akan menjadi penyumbang keluaran bekalan beras pertama di Sarawak sekiranya ia sudah dilaksanakan kelak.

“Saya yakin projek ini akan dapat mengubah taraf ekonomi penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan Batang Lupar, Sri Aman apabila ia sudah maju dan dapat dikomersialkan selepas itu.

“Jika kemudahan projek ini sudah dipertingkatkan kelak maka tidak mustahil Projek NKEA Padi Batang Lupar akan mampu mengeluarkan sebanyak 12 tan padi per hektar seperti yang dicapai di Sekincan, Selangor pada masa sekarang,” katanya.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Projek NKEA Padi Batang Lupar yang disertai seramai 200 orang peserta di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu penduduk di kawasan Batang Lupar kata beliau juga perlu bersama-sama menjayakan perlaksanakan projek tersebut sebelum ia boleh dikembangkan ke lain-lain lokasi di Sarawak.

“Penduduk Batang Lupar, Sri Aman harus sedar bahawa kerajaan hanya meminjam kawasan tanah mereka yang berkeluasan 5,000 hektar itu bagi tujuan perlaksanaan projek perintis jelapang padi pertama di negeri ini.

“Tanah terbabit masih tetap milik mereka. Dengan adanya kerjasama penduduk maka saya yakin Ia akan menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada mereka apabila ia sudah dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh dan wakil Setiausaha Kementerian Pertanian, Paul Vincent Ritom.

Terdahulu Projek NKEA Padi Batang Lupar merupakan salah satu usaha kerajaan dibawah teraju mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Bedawi bagi membendung krisis kekurangan bekalan makanan negara pada tahun 2008.

Mantan Menteri Permodenan Pertanian Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan kemudiannya telah mengenalpasti sejumlah 50,000 hektar tanah di negeri ini sebelum memilih kawasan Batang Lupar bagi tujuan tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment