Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Kelab Borneo Higland Big Bikers Sarawak adakan pameran permotoran


Caption: UNTUK ALBUM...Azman (tengah) ketika bersama ahlinya bergambar kenangan di hadapan motorsikal berkuasa tinggi milik Kelab BIBB di sini hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Mac) – Buat julungkalinya Kelab Borneo Higland Big Bikers Sarawak (BIBB) telah mengadakan Pameran Permotoran selama sehari bertempat di luar Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Presidennya, Dato Dr Azman Haji Samaon ketika ditemui berkata pameran itu membabitkan penyertaan seramai 30 orang ahli yang merupakan pemilik motorsikal berkuasa tinggi sebelum ini.

“Kesemua kami datang dari Kuching untuk menjayakan pameran ini yang juga merupakan acara sokongan bagi Kejohanan Terbuka Sepak Takraw Piala Pusingan Dato Dr Azman Haji Samaon yang sedang berlangsung di mini stadium itu sekarang,” katanya.

Dengan jumlah ahli mencapai 120 orang pada masa sekarang, Kelab BIBB yang baru sahaja ditubuhkan menerusi Suruhanjaya Sukan Malaysia pada bulan Februari lepas katanya telah pun merancang pelbagai aktiviti menarik untuk sepanjang tahun ini.

Antaranya menurut Azman adalah Charity Ride ke Rumah Seri Kenangan, Kuching (25 Mac), Bike Show Pesta Benak Sri Aman (antara 6 hingga 8 April) serta perkampungan Big Bikers sempena Pesta Kaul Mukah (27 April).

“Kelab kita juga pernah menganjurkan Three Nation Ride (siri jelajah motorsikal berkuasa tinggi antara tiga negara) yang membabitkan peserta dari negara Malaysia, Brunei dan Indonesia baru-baru ini.

“Dari segi sambutan pula adalah amat mengalakkan. Ia merupakan hasil penganjuran Pameran Permotoran yang telah kita jayakan di Miri, Sibu dan Samarahan semenjak dua bulan lepas,” katanya.

Justeru Azman menyeru kesemua kelab atau persatuan motorsikal berkuasa tinggi di Sarawak (500 cc  ke atas) untuk menyertai Kelab BIBB untuk mewujudkan komuniti penunggang motorsikal berkuasa tinggi di masa akan datang.

Mereka yang berminat katanya bolehlah menghubungi Timbalan Presidennya iaitu Mohd Sazali di talian 019-8346663 atau Setiausahanya Ramlee Tuah di talian 013-8100085 untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai keahlian Kelab BIBB selepas ini.

“Golongan penunggang motorsikal berkuasa tinggi biasanya terdiri daripada golongan profesional seperti arkitek, jurutera dan doktor. Kesemua mereka akan menjadi komuniti ‘bikers’ sebaik sahaja menunggang motorsikal berkuasa tinggi masing-masing,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment