Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Lapor projek pembangunan segera kepada YB kata Snowdan



Caption: SERIUS...Snowdan sedang menyampaikan amanatnya kepada rakyat ketika berlangsungnya majlis itu di Rumah Suntat, Sebangkoi Jaya, Simunjan baru-baru ini.

SIMUNJAN, Selasa (17 APRIL)– Rakyat dinasihat untuk melaporkan segera kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing sekiranya berlangsungnya sesebuah projek pembangunan di kawasan penempatan mereka selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata langkah ini membolehkan wakil rakyat untuk memantau dan mencatit projek pembangunan tersebut dalam buku rekod masing-masing.

“Sesetengah projek pembangunan itu dilaksanakan oleh pihak Pejabat Daerah. Justeru Rakyat yang tidak tahu akan menyalahkan wakil rakyat jika berlakunya kegagalan atau kekurangan kualiti terhadap projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Suntat anak Galang, Kampung Sebangkoi Jaya, Simunjan baru-baru ini.

Selain itu Snowdan juga menasihatkan rakyat khasnya pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tidak membelakangkan para wakil rakyat di kawasan masing-masing dalam urusan berkaitan hal tanah mereka selepas ini.

“Rakyat perlu meminta pandangan dan rujukan daripada wakil rakyat masing-masing sama ada ADUN atau Ahli Parlimen sekiranya mahu memajukan tanah mereka dengan usahawa pihak lain.

“Kita berharap agar langkah ini akan membolehkan rakyat menguruskan atau memajukan tanah NCR masing-masing dengan jayanya hasil bimbingan dan wakil rakyat di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat tidak mengamalkan politik memarahi kerajaan kerana mereka mempunyai saluran tertentu bagi menyalurkan masalah masing-masing kepada kerajaan selama ini.

Tindakan rakyat mengundi pembangkang sehingga menyebabkan kekalahan pihak kerajaan di kerusi Parlimen atau DUN pada sesuatu pilihan raya itu hanya akan menyebabkan mereka mengalami kerugian dari segi pembangunan selepas itu.

Terdahulu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Suntat anak Galang, Kampung Sebangkoi Jaya, Simunjan ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat.

Masir mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 dan RM3,000 kepada JKKK serta biro wanita rumah panjang tersebut begitu juga dengan Snowdan yang mengumumkan nilai peruntukan sama bagi rumah panjang terbabit.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penghulu Pelie Jumbu, Penghulu Ali Danjie dan para Tuai Rumah di situ.

Tamat.

No comments:

Post a Comment