Caption: TERSOROK...Papan tanda penunjuk arah ke Pekan Pantu kelihatan
terlindung dan boleh menyukarkan para pengunjung yang mahu menuju ke pekan
tersebut selepas ini.
PANTU, Jumaat (13 April) – Penduduk khasnya mereka yang berasal dari kawasan Pantu
meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memperbetulkan semula kedudukan
papan tanda yang terdapat di persimpangan jalan masuk menuju ke Pekan Pantu
selepas ini.
Seorang penduduk iaitu Brandon Uno ketika ditemui berkata papan tanda
bertulis perkataan ‘Pantu’ telah terlindung disebabkan kewujudan lain-lain
papan tanda yang terdapat di persimpangan jalan tersebut.
Katanya pengguna kenderaan tidak akan dapat melihat papan tanda tersebut dengan
jelas ketika memandu tersebut melainkan jika mereka berhenti di kawasan simpang
jalan masuk terbabit.
“Saya sendiri akui bahawa agar sukar orang yang datang dari arah Sri Aman
untuk melihat papan tanda ‘Pantu’ terbabit dengan mudah memandangkan
kedudukannya terlindung di sebalik papan tanda yang lain.
“Justeru saya berharap agar PBT bertindak mengalihkan papan tanda tersebut
ke lokasi yang lebih jelas agar pengguna kenderaan dapat mengetahui kedudukan
simpang Pantu dengan lebih mudah selepas ini,” katanya.
Sementara itu Wilson Embah mencadangkan agar PBT melakukan kerja tersebut
dengan secepat yang mungkin sebelum berlangsungnya Pesta Ikan Tapah Pantu bagi
edisi kali ketiga.
Katanya tindakan tersebut amat penting memandangkan Pekan Pantu akan
menjadi fokus pengunjung dari seluruh wilayah negeri ini untuk menyaksikan
sambutan pesta tersebut pada hujung bulan ini.
“Papan tanda penunjuk arah ke kawasan Pekan Pantu perlu diperbetulkan
segera demi mengelak berlakunya kekeliruan dikalangan pengunjung kurang
berpengalaman yang mahu berkunjung Pesta Ikan Tapah Pantu di situ pada 28 April
kelak,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pengunjung boleh menjadikan tugu Ikan Tapah di
simpang jalan masuk sebagai rujukan sekiranya mereka ingin mencari lokasi Pekan
Pantu bagi menyaksikan pesta tersebut.
Tamat.
No comments:
Post a Comment