Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Kesusahan keluarga Jaya Seman dibantu



Caption: IKHLAS...Speri sedang menyampaikan alat bantuan pejalan kaki dan wang hasil sumbangan Datuk Rohani kepada Jaya ketika berlangsungnya majlis ringkas di Kampung Hulu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (17 APRIL) – Kesusahan hidup yang dialami oleh sebuah keluarga dari Kampung Hulu, Sri Aman nyata menarik perhatian pelbagai pihak termasuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di sini.

Keluarga terbabit iaitu Jaya Seman, 74,  hanya hidup berdasarkan kepada elaun persaraan yang diterima olehnya sebanyak RM700 sebulan bersama isteri, Jijah Sebli, 77 dan anak perempuan, Ann Jaya di kediaman bernombor 178, Kampung Hulu sehingga sekarang.

Atas sebab itu Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim telah menyampaikan sumbangan berupa alat pejalan kaki dan sedikit wang untuk kegunaan keluarga terbabit.

Kesemua bantuan tersebut telah disampaikan oleh wakil beliau iaitu Mohd Speri Abdul Karim menerusi majlis ringkas yang berlangsung di kediaman keluarga miskin pada jam 1.30 petang hari ini.

Jaya ketika ditemui berkata beliau dan keluarga hanya bergantung hidup kepada bayaran pencen semenjak bersara daripada perkhidmatan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 1993 lepas.

Kesempitan hidup beliau semakin bertambah sukar apabila mula mengalami masalah kesihatan seperti tidak mampu berjalan dengan sempurna selain menghidap penyakit tiroid goiter dan kesakitan di bahagian mulut.

“Bagaimanapun bantuan yang saya terima daripada beliau (Rohani) telah menceriakan hati saya dan keluarga. Terima kasih di atas keprihatinan wakil rakyat BN kerana prihatin terhadap masalah kebajikan hidup kami,” katanya.

Ayah kepada enam orang anak itu juga mengakui bahawa beliau bersama keluarga tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain untuk menampung keperluan asas rumah semenjak dari dahulu hingga sekarang.

Sementara itu Speri ketika ditemui berharap agar masalah kepayahan hidup yang dialami oleh keluarga Jaya Seman akan dapat menarik perhatian lebih ramai golongan individu berpengaruh dan syarikat swasta di kawasan Sri Aman ini.

“Kita berharap agar agensi kerajaan yang berkaitan dapat turun padang untuk meninjau dan meneliti masalah kepayahan hidup yang dialami oleh keluarga Jaya Seman selepas ini,” katanya.

Tamat.









No comments:

Post a Comment