Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, April 16, 2012

Benak masih mengamit hati penduduk




1. TERPESONA...Para penduduk sedang berkumpul di pondok Taman Tebingan Sungai Sri Aman untuk menyaksikan benak yang menyusuri Sungai Batang Lupar, Sri Aman.

2. UNIK...Gambar menunjukkan ombak benak yang mula menghampiri Taman Tebingan Sungai Sri Aman sekitar jam 7 petang kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (11 April) – Kini sudah masuk hari keempat berakhirnya sambutan Pesta Benak Sri Aman 2012 semenjak ia berlangsung di dalam Bandar Sri Aman ini bermula dari 6 hingga 8 April lepas.

Walaupun sudah berakhir, kawasan Tebingan Sungai Sri Aman masih lagi menjadi tumpuan orang ramai yang kepingin untuk menyaksikan fenomena benak menyusuri Sungai Batang Lupar Sri Aman pada waktu petang kelmarin.

Utusan Sarawak yang turut berkesempatan untuk menyaksikan fenomena tersebut mendapati bahawa orang ramai sudah pun berkumpul di Taman Tebingan Sungai Sri Aman bermula jam 6.30 petang bagi menyaksikan ketibaan ombak benak berkenaan.

Penantian mereka selama 20 minit berhasil apabila bunyi deruan benak mula kedengaran di penghujung sungai kawasan Kampung Hilir Sri Aman sehingga menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke taman tebingan tersebut tepat jam 6.50 petang.

Keghairahan orang ramai untuk menyaksikan benak kian memuncak apabila ombak fenomena tersebut tiba di Taman Tebingan Sungai Sri Aman kira-kira 10 minit kemudian dan seterusnya memukul benteng penghadang hakisan taman berkenaan.

Walaupun tidak diketahui tinggi sebenar benak yang menyusuri sungai pada waktu itu namun kekuatan percikan gelombangnya hingga mengenai pengunjung membolehkan kita menganggarkan bahawa ketinggian tidak kurang daripada lima meter.

Seorang pengunjung ketika ditemui memberitahu fenomena Benak sentiasa menyusuri Sungai Batang Lupar pada setiap hari namun mungkin tidak sehebat benak yang menyusuri sungai tersebut pada 6, 7 dan 8 April lepas.

“Benak ketika tempoh waktu berkenaan adalah yang tertinggi bagi sepanjang tahun ini iaitu 5.9 hingga 6.4 meter. Kali ini mungkin lebih rendah tetapi sudah cukup untuk membuat hati kita terpesona untuk menyaksikannya,” kata beliau.

Orang ramai di Taman Tebingan Sungai Sri Aman bersurai kira-kira jam 7.10 petang setelah ombak benak menyusuri Dermaga Perdagangan Batang Lupar hingga ke kawasan sungai di Kampung Hulu, Sri Aman.

Terdahulu Benak Batang Lupar berada di kedudukan tangga keempat di belakang Araguari Pororoca, Brazil (tangga pertama), Qiantang Dragon, China (tangga kedua) dan Kampar Bono, Sumatra (tangga ketiga).

Tamat.




No comments:

Post a Comment