Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, April 16, 2012

Majlis Ihtifal Kesenian Islam Zon Sarawak 2012 pada 19 April ini.



SRI AMAN, Jumaat (13 April) – Penjara Pusat Bahagian Sri Aman akan menganjurkan Majlis Ihtifal Kesenian Islam Zon Sarawak 2012 yang akan berlangsung di dewan institusi berkenaan pada 19 April ini.

Program ini akan melibatkan penyertaan para penghuni dari Penjara Puncak Borneo (Kuching), Penjara Pusat Sibu, Penjara Pusat Miri, Penjara Pusat Limbang dan tuan rumah sendiri iaitu Penjara Pusat Sri Aman.

Timbalan Penguasa Penjara Pusat Sri Aman, Ahmad Seman menerusi siaran beritanya memberitahu Majlis Ihtifal Kesenian Islam Zon Sarawak 2012 ini akan melibatkan empat acara utama.

“Empat acara yang bakal diadakan bersempena dengan Majlis Ihtifal Kesenian Islam Zon Sarawak 2012 tersebut adalah Tilawah Al – Quran, Hafazan Al – Quran, Nasyid dan Marhaban.

“Kita yakin majlis seperti ini akan dapat memperkukuhkan akidah umat Islam disamping mempertingkatkan lagi kemahiran para peserta dalam bacaan ayat suci Al – Quran di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Majlis Ihtifal Kesenian Islam Zon Sarawak 2012 terbabit akan bermula seawal jam 8 pagi dengan berlangsungnya Tilawah Al – Quran, Hafazan Al – Quran, Nasyid dan Marhaban di Dewan Penjara Pusat Sri Aman.

Majlis kemudiannya akan diteruskan dengan ketibaan Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan , Seksyen Pemulihan dan Rawatan  iaitu TKPj Haji Darussalan Haji Budin pada jam 3 petang beserta dengan Pengarah Institusi dan Pengarah Penjara Negeri.

Ketibaan beliau diteruskan dengan sesi ucapan oleh pengerusi pengelola dengan pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah cenderahati dilakukan selepas itu.

“Majlis turut diserikan dengan persembahan oleh johan nasyid sebelum Darussalan menyempurnakan upacara penutupan Majlis Ihtifal Kesenian Islam Zon Sarawak 2012,” katanya.

Tamat 

No comments:

Post a Comment